- Iklan -
Rencana

Tentang mata wang kripto

Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau terlibat mempromosi mata wang kripto.

Dr Mahathir Mohamad
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Saya tidak menggunakan mata wang kripto. Saya juga tidak galak orang menggunakan mata wang tersebut. Saya pegang kepada wang fiat, atau wang fizikal.

Jika ada promosi dalam iklan atau laman sesawang yang kononnya saya galakkan guna mata wang kripto, ianya adalah palsu.

Pejabat saya sebelum ini ada buat laporan terhadap iklan jenis ini yang kononnya saya melabur dan menggalakkan kegunaan mata wang kripto ini.

Iklan-iklan tersebut palsu. Saya difahamkan ada yang terpedaya. Sesetengah iklan itu seolah-olah disiar media tempatan.

Saya difahamkan media tempatan juga sudah dimaklumkan dan mereka sudah buat laporan kepada pihak berkuasa.

Pihak awam perlu maklum bahawa perkara seperti ini tidak mudah ditangani kerana pelbagai laman sesawang dan iklan palsu dapat dibangun dengan cepat.

Tutup satu, timbul sepuluh.

Penipuan dan pemalsuan mengguna nama saya berlaku sebelum zaman media sosial dan internet lagi. Dari dulu juga ada yang terpedaya dengan promosi palsu peluang niaga yang kononnya libatkan diri saya.

Ada laporan dibuat dan tindakan diambil. Ada yang tidak. Sesiapa yang sangsi, boleh periksa dengan pejabat saya. Saya tidak pernah dan tidak akan terlibat dengan apa-apa skim cepat kaya.

Selain itu ada yang percaya laporan palsu yang saya ada kekayaan berbilion.

Semasa dalam kerajaan saya sudah isytihar harta. Kalau ada yang masih hendak percaya saya ada kekayaan berbilion, terpulanglah.

Yang nyata manusia bermacam ragam. Ada yang cerdik, ada yang kurang. Ada juga yang pandai tak terikut.

Mahathir Mohamad adalah bekas perdana menteri Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow