Pada 17 Oktober 1968, menteri kerja raya, pos dan “talikom” kita ketika itu, V T Sambanthan berucap di Dewan Rakyat, menghuraikan secara ringkas falsafah Deepavali:
“I must refer to Deepavali, for Deepavali is on us on passing away of Narakasura. Narakasura, you might remember was an ASURA, one who was a dictator of those days, destroying people, killing them, doing all sorts of wrong things— a rakshasaa, I should call him—and then he was ultimately beaten by the Lord and he made as a last dying request, recognising that he had caused so much of difficulties and suffering to the people, his death should be recognised as a day of deliverance of freedom and democracy for the people, and so we celebrate Deepavali. For many years now, every Deepavali, we have had occasion to be happy at the thought that which ever dictator which ever Narakasura comes and attacks us we have triumphed and Narakasura of present as of the past has gone away.”
Sambanthan, seorang negarawan menyatakan perayaan Deepavali adalah satu keraian menyambut dengan ria girang kekalahan suatu musuh politik rakyat yang besar.
Ini kerana kuasawan yang dikalahkan itu tidak menghormati rakyat, ia bahkan diberi nama Raksaksa.
Kekalahan kuasawan jahat inilah yang disambut sebagai pesta cahaya, setelah kegelapan yang lama.
Hari ini saya ragu idea dan gagasan murni Deepavali yang disebut-sebut Sambanthan di atas benar-benar difahami dan dimengerti oleh masyarakat India, dan penganut Hindu negara ini.
Ini kerana, saya berpandangan; negara ini kembali diselubungi kegelapan dan kemalangan.
Negara ini sedang dikuasai oleh Parti Narakasura, sejenis muafakat antara aneka macam kelompok Narakasura yang merampas kebebasan dan kebahagiaan masyarakat.
Bagaimana Parti Narakasura ini melakukannya?
Harus disebutkan di sini, ucapan Sambanthan di atas, dalam Dewan Rakyat pada tahun 1968 (beberapa bulan sebelum peristiwa 13 Mei), mengikut konteksnya membincangkan perihal Marcos, bekas pemimpin Filipina yang ketika itu diejek-ejek oleh ahli Parlimen kita.
Marcos digunjing sebagai diktator, perasuah, penyeleweng kuasa, pengkhianat, pemanipulasi politik, penindas rakyat, tiada integriti dan kaki kejahatan.
Hal ini berlaku kerana Filipina tanpa segan silu membuat tuntutan terhadap Sabah.
Agak mengejutkan ucapan-ucapan di Dewan Rakyat ketika itu agak bermutu dan antara yang ikut menyampaikan perbahasan pada tarikh tersebut adalah D A Dago anak Randa (Sarawak), Lim Pee Hung (Alor Star), Abdul Ghani Ishak (Melaka Utara), dan Lim Chong Eu (Tanjong).
Ketika sidang itu, C John Ondu Majakil dari Sabah dengan terang-terangan memanggil Marcos sebagai pemimpin tanpa prinsip; “clear proof that he, Marcos, is a man without principle, absent-minded and insincere, and is a man bankrupt of his political modal.”
Lihat pula Rahmat Daud (Johor Bahru Barat) yang memanggil Marcos sebagai “corrupted minded”.
Bayangkan kalau hari ini, ahli-ahli dalam kerajaan memanggil Presiden Rodrigo Roa Duterte sedemikian.
Hari ini, negara Malaysia kita dijangkiti semua masalah yang dihadap dan dilakukan oleh Marcos dalam tahun 1968.
Ambil sahaja satu penyakit Filipina ketika itu yang demikian berleluasa di negara kita sekarang: Rasuah.
Kita tidak memerlukan Sambanthan datang mengingatkan yang rasuah atau korupsi adalah bahagian dari kegelapan yang diamalkan Narakasura.
Kita malah patut malu, mengenangkan kembali Deepavali yang bakal diraikan nanti bergelumangan dengan rasuah dan korupsi.
Terutama ketika Pilihan Raya Negeri Melaka sedang bergulir terbentang di depan.
Lebih mencengangkan dan menjijikkan ialah rasuah ini menjadi punca tertegak sesebuah kerajaan.
Korupsi menjadi halal di saat sebuah parti Islam berada di dalam pentadbiran.
Panglima perang rasuah seperti SPRM pula terikat kaki tangan untuk menentang gejala sosial gila ini.
Kuasa mereka terhad sekali.
Bahkan hanya habis di tahap siasatan.
Sebaik diadili, lain ceritanya pula nanti.
Rasuah, harus diingat adalah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam.
Orang Islam sepertinya orang Hindu juga menentang kekerasan, pemimpin jahat, kuasawan zalim dan menolak rasuah.
Ketika pilihan raya sedang berlangsung kita tahu rasuah bertukar nama dan terma menjadi pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah/balik wang kecil dan seumpamanya.
Para “Marcos zaman ini” menggunakan semua jalan yang tiada integriti untuk mencapai kegelapan yang digariskan oleh perayaan Deepavali.
Rasuah, harus dinyatakan di sini adalah amat jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah.
Rasuah adalah pemberian yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar.
Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan niat mendapatkan balasan pahala dari Allah semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silatul rahim dan kasih sayang.
Kita tidak perlu minda Sambanthan untuk mengaitkan setiap pemberian yang tiba di kaki kerusi roda, dan pintu rumah rakyat Melaka misalnya sebagai habuan untuk dihamburkan demi undi.
Rakyat Melaka beragama Hindu mahupun Islam, tidak perlu sampai mengerti makna Deepavali untuk memahami yang semua itu adalah rasuah, dan bukannya hadiah atau sedekah.
Jika Hindu menolak rasuah dan korupsi dan kejayaan menentangnya diraikan sebagai satu pesta (Deepavali); dalam Islam, terdapat aspek hukum yang mengikat.
Mereka yang terlibat (memberi dan menerima) mendapat laknat daripada Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah bersabda Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Justeru, adalah menjengkelkan melihat sesetengah dalam kalangan kita meraikan Deepavali dalam keadaan buntut terpalit najis rasuah.
Sangat menjengkelkan melihat penganut Hindu tertentu menyambutkan para perasuah di dalam kempen pilihan raya ini.
Sangat-sangat menjengkelkan melihat para ustaz yang konon enggan menyambut Deepavali – dengan alasan ia perayaan agama kafir – boleh pula merestui fenomena rasuah dan korupsi.
Ini adalah Deepavali paling buruk dalam sejarah Malaysia, jika kita kembali kepada ucapan V T Sambanthan pada bulan Oktober 1968 itu.
Paling tidak tatkala itu para pemimpin dalam kerajaan tahu mana yang betul dan yang batil.
Hari ini lebih menyedihkan, Narakasura, kleptokrat dan kuasawan paling licik kembali dijulang, dan dipilih sebagai pemimpin.