- Iklan -
Kolum

Siapa bakal terbabas di Melaka?

Apakah PRN Melaka bakal mewujudkan DUN tergantung di mana tiada pihak yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Pertandingan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka seperti ulang tayang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bezanya ketika PRN Sabah, kerusi perdana menteri dipegang oleh Bersatu manakala ketika PRN Melaka kali ini kerusi perdana menteri dipegang Umno.

Semasa PRN Sabah, PAS berkorban tidak bertanding.

Pengorbanan itu dihargai dengan melantik seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan dari PAS.

Untuk PRN Melaka, PAS masuk bertanding di bawah lambang PN.

Ini tiada beza dengan apa yang berlaku di Sabah, kerana lambang PAS tidak digunakan.

Yang ada ialah pertembungan antara PN, BN dan PH.

Pertembungan ini sudah pastinya mewujudkan persepsi tidak baik terhadap kerajaan persekutuan, terutamanya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Ismail amat rapuh, dan perdana menteri tidak berkuasa sepenuhnya untuk mengelakkan peperangan tiga penjuru, serta nyawa politiknya amat bergantung pada mood partinya sendiri.

Ketika PN dan BN gagal memeteraikan rundingan satu lawan satu di Melaka, PH pula “menjaringkan gol sendiri” dengan menerima “katak” politik menjadi calon iaitu dua bekas Adun Umno, Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

Keputusan itu tidak disokong oleh DAP, kerana ia menyebabkan PH dipandang hipokrit kerana sebelum ini mereka lantang memperjuangkan akta lompat parti.

Namun ini tidak bermakna DAP akan keluar dari PH.

Pemimpin parti itu sekadar merintih di media demi menunjukkan kepada para penyokong bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan PKR dan Amanah.

DAP sedar bahawa tindakan PKR dan Amanah ini akan menjejaskan sokongan bukan Melayu terhadap PH.

Tetapi bagi PKR dan Amanah, barangkali mereka merasakan Idris dan Azman dapat membawa undi pengundi Melayu yang boleh membantu di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka bertanding.

Apa tidaknya, PKR dan Amanah terpaksa bertembung dengan BN dan PN di majoriti kerusi yang bermajoriti pengundi Melayu kerana hampir semua kerusi yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang besar berada di tangan DAP.

Apakah PRN Melaka bakal mewujudkan DUN tergantung di mana tiada pihak yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan?

Jika ya, kemungkinan besar jajaran politik baru akan menjadi kenyataan selepas selesainya PRN Melaka.

Jika jajaran politik baru berlaku di Melaka, bagaimana pula dengan nyawa kerajaan persekutuan selepas selesainya PRN Melaka?

Selamat datang ke era baru permainan “sotong politik” Malaysia.

Musim satu bermula di Melaka hari ini.