- Iklan -
Rencana

Akhirnya Umno jadi pengacau yang caca marba

Untuk merampas kuasa apa sahaja dihalalkan sebilangan pemimpin Umno.

Khairuddin Othman
4 minit bacaan
Kongsi
Logo Umno di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Logo Umno di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Sungguh sedih apabila dikenangkan kesudahan Umno setelah kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan hilang kuasa memerintah negara.  

Pemimpin-pemimpinnya seperti orang hilang arah dan tindakan mereka tidak ubah seperti mana dikatakan oleh presiden ke-40 Amerika Syarikat Ronald Reagan:  “Saya pernah berkata, politik adalah pekerjaan kedua tertua di dunia, dan saya baru tahu bahawa ia juga hampir sama buruknya dengan yang pertama (pelacuran).”    

Untuk merebut semula kuasa dan kehilangan jutaan ringgit yang pernah disapu ketika memegang jawatan di kementerian, agensi kerajaan dan organisasi perdagangan berkaitan kerajaan, ramai pemimpinnya dengan mudah mencampakkan prinsip, integriti dan maruah ke dalam tandas.

Sebilangan besar mereka menjadi “katak”atau “pengkhianat”, melacurkan diri kepada parti lawan asalkan dijanjikan jutaan ringgit atau jawatan berkuasa yang mengawal dana awam supaya boleh meneruskan legasi merompak wang rakyat.

Untuk merampas kuasa apa sahaja dihalalkan. Tindakan sebilangan pemimpin Umno sekarang dilihat seperti kalut atau kata jalanan cacamarba. Mereka sanggup memperkosa janji dengan rakan seperjuangan, memutar-belit kata-kata kesepakatan ahli-ahli, menyembunyikan agenda peribadi dari orang ramai, dan mengacau susunan pentadbiran sehingga menjadi porak-peranda.

Baca sahaja bukti-bukti sejarah buruk yang telah dilakukan oleh pemimpin Umno ini:              

  • Dalam pergelutan untuk merampas kuasa pada Oktober tahun lalu kedua pemimpin tertinggi Umno menandatangani di atas kepala surat parti itu yang ditujukan kepada  Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka menyokong pemimpin PKR bagi menggantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Lebih dasyat lagi, kandungan surat itu dideraf oleh anggota kanan PKR! 
  • Kira-kira enam bulam kemudian tersebar luas rakaman audio mengenai komplot dua orang pemimpin dari Umno dan PKR untuk mempengaruhi ahli Majlis Tertinggi (MT) dan parti itu sendiri agar menerima gabungan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) supaya mereka boleh memerintah negara.
  • Penganalisis politik Zakaria Hamid, mendakwa Umno telah kembali semula ke perangai lamanya. Ada pemimpin Umno inginkan keputusan di mesyuarat MT Umno selari dengan mesyuarat kabinet. Dengan manipulasi golongan kleptokrat dalam Umno, keputusan MT parti boleh menekan kepada perdana menteri. Apatah lagi, Muhyiddin telah tersungkur dan terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri angkara 15 ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepadanya. Bolehkah perdana menteri dari Umno sekarang mempertahankan kebebasan badan kehakiman seperti dipersetujui dalam kenyataan bersama dengan pimpinan parti PH yang kononnya menjadi asas permulaan baru kerjasama politik rentas parti kerajaan Keluarga Malaysia?
  • Golongan kleptokrat dan kluster mahkamah dalam Umno telahpun membuat tekanan supaya kerajaan gabungan pempinan Umno ini menubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campurtangan politik dalam badan kehakiman dan pejabat peguam negara. Adakah ini satu cubaan untuk mempengaruhi RCI supaya keputusannya menyebelahi mereka, dengan itu, pemimpin-pemimpin Umno dibebaskan dari tuduhan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pengelakan cukai pendapatan?
  • Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Howard Lee, berkata Umno menyebabkan Ahmad Faizal Azumu dari parti Bersatu disingkir dari terus menjadi menteri besar negeri itu, pada hal kedua-dua parti adalah rakan dalam gabungan.  Umno kini musuh dalam selimut?
  • Terbubarnya kerajaan Melaka adalah disebabkan pemimpin Umno.  Terdapat beberapa pemimpin Umno yang menyokong Ketua Menteri Umno Sulaiman Mohd Ali. Sebahagian lagi pemimpin Umno menyokong Idris Haron, bekas ketua menteri Melaka sebelum PRU14, untuk dilantik semula selaku ketua menteri. Kerajaan Melaka terpaksa dibubarkan kerana hanya 13 wakil rakyat dari 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri itu menyokongnya apabila Idris didakwa mendalangi tiga lagi wakil rakyat berpaling tadah.  

Ini sahajakah kehebatan pemimpin Umno?  Apabila ia diuji dengan kekalahan pertama di peringkat kebangsaan pada PRU lalu, pemimpinnya sekarang dilihat membuat keputusan yang merapu serta merugikan ahlinya sendiri. Sementara rakan dalam Perikatan Nasional sentiasa mencurigainya.  

Tingkah laku pemimpin Umno yang jijik ini menyukarkan lagi perdana menteri kerana dia juga sentiasa mencurigai kesetiaan mereka. Siapa lagi antara mereka sanggup melacurkan kerusi mereka, menggugat kestabilah kerajaan.   

Rakyat sedar perjuangan membebaskan mereka daripada kemiskinan harta, ilmu dan memastikan keselamatan daripada ancaman alam semulajadi memerlukan kejujuran dan ketabahan yang bertahun lamanya. Dalam kerangka kemiskinan ini, orang Melayu, sebagai kaum majoriti, adalah yang paling ramai.

Apabila ahli politik Melayu bertelagah mengejar kuasa dan kekayaan, kaumnya juga yang menanggung rugi. Perjuangan asal dan murni setelah memegang tampuk pentadbiran untuk membebaskan seluruh rakyat dan bangsanya dari segala bentuk kemiskinan dilupakan. 

Perjuangan politik Melayu telah digantikan oleh budaya menikam dari belakang rakan sebangsa dan agama, melacur diri pada parti lawan dan melompat parti tanpa rasa bersalah menghebahkan rahsia salah laku rakan terdahulu. Adalah mengejutkan apabila seorang “otai reformis” PKR, Mohd Rashidi Mohamed Amin berkata kedua ahli Umno (Idris dan Nor Azman) yang melompat ke PH telah membocorkan “banyak rahsia”.    

“Mereka mendedahkan perbelanjaan projek-projek lalu yang diberikan kepada kroni dan telah menyakiti rakyat Melaka.  Mereka menyampah dengan isu rasuah di negeri ini,” tambahnya.  Adakah mereka mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menyiasat pendedahan projek-projek di Melaka yang diberikan oleh pemimpin Umno kepada kroni itu?   

Sungguh malang betapa rendahnya tahap kejatuhan pemimpin Umno.  Nafsu untuk berkuasa dan tamak kekayaan menjadi perkataan yang kerap dilemparkan kepada pemimpin Umno.  

Telah tiba masanya barisan pemimpin yang ada sekarang digantikan dengan yang lebih jujur, mulia dan bermaruah sebelum rakyat berdoa Umno lebih baik mati, dikapan dan ditalkinkan.      

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian. 

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow