Saya terbaca kenyataan Anwar Ibrahim yang disiarkan Sinar Harian berkenaan respons beliau terhadap cabaran membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor oleh Shahrir Abdul Samad (Umno).
Respons pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu cukup lunak dan positif seolah-olah menyambut seruan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor pula setelah kerajaan negeri Melaka dijatuhkan ketua Umno Melaka (ketika itu) sewaktu rakyat masih bergelut dengan masalah ekonomi dan wabak Covid-19.
Saya tidak tahu apa keutamaan PH dan Umno dalam soal ini, adakah nyawa rakyat, pemulihan ekonomi negara atau berpakat merebut kuasa dengan memprovokasi wujudnya PRN demi PRN hingga akhirnya boleh meruntuhkan kerajaan Malaysia yang sedia ada ini sebelum hujung tahun depan?
Mengadakan PRN seperti yang sedang berlangsung di Melaka sekarang ini tidaklah percuma. Ia memakan kos yang begitu besar iaitu RM46 juta seperti yang dianggarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sudah tentu ia wang kerajaan yang juga merupakan wang rakyat hasil kutipan cukai.
Paling hipokrit apabila Anwar berkata: “Tapi soalnya kita tak panggil orang jahat atau bodoh. Kita lawan dengan cara baik.” Benarkah pihak Anwar tidak pernah melabel seteru-seteru politiknya dengan pelbagai label negatif dan cercaan?
Dato’… Jangan lupa YouTube masih wujud jika generasi baru mahu lihat bagaimana “bakal perdana menteri” sejak di zaman Reformasi 1998 melempiaskan perkataan “bodoh” dan “jahat” yang biasa digunakan dalam pertuturan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.
Dan saya pun terfikir adakah berlawan secara baik seperti yang disebut oleh Anwar itu bermaksud menerima “katak berprinsip” yang menjatuhkan kerajaan negeri? Jika begitulah taktiknya, maka seakan-akan wujud “MoU” antara Anwar dan Umno dalam soal merealisasikan PRN.
Anwar perlu mengaku secara terbuka adakah beliau merestui akan membawa PH (bersama DAP) untuk bentuk kerajaan jajaran baru dengan Umno-BN andainya kedua-dua belah pihak tiada majoriti membentuk kerajaan negeri Melaka dan mungkin juga di Johor jika PRN terjadi?
Muhammad Faiz Bin Na’aman adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow