Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melabuhkan tirai.
Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), dua-dua terbabas teruk.
Barisan Nasional (BN) menang bergaya.
Sejurus selepas PRN, muncullah telahan-telahan pihak menang dan yang kalah.
Yang kalah mencari alasan, yang menang pula mula mencatur ingin mendapatkan kemenangan yang lebih besar.
Kejayaan memenangi 21 kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan menyakinkan BN bahawa mereka boleh menawan Putrajaya secara bersendirian.
Sebab itulah, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat.
Kekalahan teruk PH pula menyebabkan situasi mencari kambing hitam untuk dipersalahkan.
Ramai yang cepat menyatakan bahawa PRN Melaka adalah referendum kepada kepimpinan Anwar Ibrahim, di mana partinya PKR gagal mendapat sebarang kerusi.
Ada pula yang menyalahkan peratus keluar mengundi yang rendah.
Tapi, mengapa peratus keluar mengundi rendah di kalangan penyokong PH dan bukannya BN atau PN?
Ada yang menyatakan ia adalah undi protes terhadap tindakan Anwar menerima kata politik.
DAP yang kehilangan empat kerusi yang dimenanginya pada PRU14 dengan tangkas mengingatkan Umno bahawa PRN Melaka bukan ukuran kejayaan PRU15.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata rancangan Umno untuk mengadakan PRU15 lebih awal boleh “membawa maut” kerana keadaan di peringkat kebangsaan mungkin jauh berbeza daripada senario di Melaka.
Jika ia adalah jalan maut untuk Umno, mengapa DAP bertindak menghalangnya?
Pembaca boleh cuba garu kepala.
Di sebelah PN yang hanya memenangi dua kerusi pula mencari sinar di dalam kemendungan.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin tetap berasa yakin bahawa gabungan politik itu akan menjadi saingan kuat kepada BN pada masa akan datang.
Manakala Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man melihat kemajuan di dalam peningkatan undi parti Islam itu berbanding PRU14.
Telahan ikut lagu mana pun hanyalah mengikut selera hati.
Jangan terlebih buat telahan.
Hakikatnya, BN memasuki pertandingan ini dengan memegang kerusi perdana menteri.
Itu kelebihan terbesar.
Jika perdana menteri masih di tangan PN yang berketuakan Muhyiddin, situasinya akan menjadi seperti PRN Sabah.
Apakah ada pilihan lebih baik untuk rakyat Melaka antara ketiga-tiga gabungan politik yang bersaing di Melaka di dalam situasi kucar-kacir ini selain daripada memilih siapa yang menduduki kerusi perdana menteri?
Faham-faham jelah.