- Iklan -
Kolum

Korupsi oleh Pramoedya

Bosku membawa sama rakyat, orang bawah dan mereka yang terpedaya juga ke pintu lahanat.

Faisal Tehrani
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Pada tahun 1953, sasterawan besar Indonesia yang cukup dikenali di Malaysia, dan seluruh dunia tentunya ada mengarang sebuah novel yang kurang disebut orang.

Dapatlah dikatakan novel ini agak langka dan sukar diperolehi.

Malah yang masih ada di pasaran dalam talian, mungkin sahaja edisi bajak (cetak rompak).

Judul novel ini ialah “Korupsi”.

Yang saya punya adalah edisi terbit semula oleh Hasta Mitra pada tahun 2002.

Karya klasik ini bukanlah hasil benak Pram yang terbaik, pun ia tetap menggigit kerana tema pilihannya yang jarang-jarang ada, khusus pada waktu itu.

Dalam novel ini yang menggunakan sudut pandang pertama – aku – adalah seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat selama lebih dua dekad.

Meskipun beliau adalah seorang pegawai, dengan dikurniai sejumlah anak-anak yang meningkat dewasa, ia mendorong Bakir dalam satu situasi mendesak.

Anak-anak ini ternyata pintar dan perlu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kesempitan hidup ekoran inflasi serta keadaan ekonomi yang tidak begitu sihat, menyebabkan watak aku ini perlu mencari jalan keluar.

Salah satu jalannya ialah menyewakan bahagian hadapan tanah dan rumahnya kepada sebuah keluarga berbangsa Cina yang berniaga di situ.

Pun, watak ini masih dihurung keadaan mencekik sehingga serasa kelemasan.

Satu jalan singkat yang nampaknya kelihatan di hadapan mata tidak lain tidak bukan adalah melakukan korupsi.

Sebagai seorang pegawai menjaga jabatan atau bahagian pesan-memesan barangan (tender); beliau memang mempunyai kuasa meskipun tidak sebesar mana, untuk menentukan syarikat mana yang layak atau tidak layak diberi kontrak kecil besar.

Maka oleh keadaan kian melemaskan, watak aku ini mulai digaru dan disapa untuk melakukan korupsi:
“Berkali-kali kata itu bergetar dengan hebatnya baik di mulut maupun di hati: korupsi, korupsi, korupsi. Akhirnya teguhlah niatku untuk mengerjakannya juga. Berdengung kata itu: korupsi, korupsi, korupsi. Tiap dinding dan tiap benda di kamar serasa merasa ikut menggigilkan kata yang itu-itu juga: korupsi! Korupsi!”

Seruan dan bisikan agar melakukan korupsi itu asal-muasalnya diteroka dengan menjual barangan pejabat secara senyap.

Memang pada mulanya watak itu ada berasa ragu, takut-takut dan demikian waspada kiranya perbuatan itu diketahui orang.

Akan tetapi, oleh sebab rasuah atau korupsi sudah mengental dalam sistem, dan menjadi norma; watak dalam novel Korupsi ini mewajarkan perbuatannya itu:
“Orang-orang lain berbuat begitu juga. Apa salahnya aku mulai mencoba-coba! Mereka bisa punya mobil, malah ada yang mendirikan rumah tiga buah dalam setahun, dan sekaligus pula. Mengapa aku tidak boleh? Mereka hingga sekarang hidup senang, dan tidak ada satu polisi pun bisa menangkap. Dan kalau kubelitkan demikian rupa, dari satu partai barang bisa kukeluarkan uang pembelian dua kali.”

Untuk mendamaikan hatinya yang dilanda keresahan, watak ini akhirnya mencipta-cipta sendiri falsafah hidup untuk berkorup, yang bunyinya:
“Sesungguhnya hidup baik menjadi hak tiap orang. Usaha untuk bisa demikian bukanlah kejahatan, tetapi kewajiban.”

Malah, Bakir percaya kepada pewajaran untuk merasuah bahawa kononnya korupsi boleh membuka ruang untuk melakukan kebaikan.

Dalam konteksnya, Bakir percaya dia boleh menumbuhkan anak-anaknya, atau memberi sedikit “kekayaan” kepada staf-staf bawahnya yang juga tersepit dalam hidup.

Ya, bukan sedikit koruptor menyumbang hasil korupsi untuk orang naik umrah atau haji, atau membunuh lembu kambing ketika Hari Raya Korban.

Ada jiwa haiwan akan mudah terbeli.

Dalam keadaan itu “contoh teladan” untuk melakukan korupsi ini tidak lain tidak bukan adalah para menteri.

Pram menyebutkan “ahli Parlimen”, ya kalau di peringkat negeri – katakan Melaka yang baru selesai pilihan raya – misalnya ia adalah ahli Dewan Undangan Negeri.

Pada mereka itulah korup besar dapat menjadi “panduan” buat korup kecil seperti watak dalam novel ini:
“Dan karena pimpinan yang baik itu sesungguhnya sudah lama aku harus menjadi kepala jawatan, barangkali juga menteri. Tak mengerti aku mengapa keadaanku tinggal bobrok sedang orang yang dahulu hanya klerk-ku belaka kini sudah menjadi anggota parlemen.”

Di sini Pram dengan tajam mencekam seraya menggigit memberitahu kita bagaimana adanya menteri, ahli Parlimen, atau Yang Berhormat yang memanjat tangga kekuasaan, meskipun asalnya hanyalah orang berpekerjaan biasa-biasa (dalam novel ini sekadar kerani) malah tanpa pendidikan yang tinggi.

Tentu, kita boleh membayangkan di Malaysia juga.

Supaya perbuatan korupsinya tidak diketahui, watak aku ini melonggarkan peraturan-peraturan di ofis supaya dia terlihat budiman dan baik.

Maka dari satu kejahanaman dan kecelakaan, ia menjadi berganda berlipat dan membuka pelbagai lagi ruang kerosakan.

Untuk memujuk hatinya melakukan rasuah itu, Bakir menetapkan ia bukan mencuri atau menyamun harta negara, tetapi “mengambil barang kerana terpaksa”.

Dia malah mengguna dan menunggangkan agama dengan harapan Tuhan memahami bahawa ia berkorup kerana ia mengharapkan keadilan Ilahi:
“Apa? Aku ini pencuri dan tidak sepatutnya menyebut nama Tuhan. Mengapa tidak? Tuhan mahakuasa dan karenanya berkuasa mengijinkan aku mencuri. Ya, Tuhan di manakah keadilanmu? Ah, seharusnya ada satu Tuhan yang pekerjaannya mengurus kepentingan para pencuri. Tetapi aku bukan pencuri. Tidak! Kalau orang mengambil barang karena terpaksa, dia bukan pencuri, tetapi harus dikasihani dan dianggap sebagai orang yang harus – Ya, apa harus kukatakan? Aku bukan pencuri, karena itu bukan pekerjaanku yang sesungguhnya.”

Bakir malah bercita-cita dengan melakukan korupsi itu dia akan menjadi mewah dan akhirnya menjadi menteri dan di situ, dengan kuasa sebagai menteri dia akan dibesar-besarkan oleh rakyat dan orang bawah, dan dia juga dapat menjadi kebal dari semua undang-undang.

Korup besar memang ditakuti oleh hakim dan mahkamah. Malah dilepaskan sewenang-wenangnya. Polis bahkan melindungi mengiringi korup besar ini, dan bukannya menahan mereka:
“Lihat dan tunggu si Bakir jadi kepala jawatan, menteri malah, dengan bendera pada mobilnya dan dikawal serombongan polisi lalu lintas, kalian harus meminggir dan memandangi daku dengan tercengang-cengang. Kalau sekali jadi menteri, semua jalan akan terbuka dan kalian tak biasa jual tampang di depanku.”

Inilah jalan rasuah atau korupsi menjadi barah yang menular dalam masyarakat dan perlahan-lahan merebak dalam sistem kehidupan dan menjadi satu kebudayaan babi.

Tanpa sedar korupsi ini memamah segalanya.

Dalam novel Korupsi ini, watak aku akhirnya tanpa sedar terheret dalam kancah demi kancah kekalutan.

Hidupnya yang asal aman dan harmoni dengan keluarga, kini berantakan.

Rumah tangganya hancur, dia mengejar perempuan jelita.

Kemudian dia terjerut dalam lingkaran atau rangkaian para korup yang saling bantu membantu.

Makin dia tidak melihat jalan pulang.

Meskipun hatinya kadang-kala dilanda keraguan dan peringatan oleh aneka korupsi dilakukan, pun, dia perlu menutup aibnya, nama baik bapanya seorang lelaki budiman.

Perlahan-lahan watak ini menjual pula maruah diri.

Dia sedar orang mengatakan tentangnya, dan apa yang diumpat dinista itu adalah benar.

Tetapi watak dalam Korupsi ini sentiasa menghasut hatinya sendiri bahawa konon ia berada di pihak yang benar.

Nampak tidak ada yang berperangai babi begini?

Untuk itu ia mulai membayar para staf bawah, misalnya drebar keretanya dengan harapan drebar itu akan terliurkan wang sesen dua dan tolong menutupkan korupsi atau nama comotnya.

Maka duit lagi berhamburan, rasuah berleluasa.

Staf bawahnya yang kembung dengan sogokan meneriak-neriakkan kesyukuran bahawa watak si korup ini adalah sejenis bosku yang baik.

Padahal jenis bosku seperti ini adalah korup dan sentiasa diintai syaitan serta malaikat maut.

Bosku membawa sama rakyat, orang bawah dan mereka yang terpedaya juga ke pintu lahanat.

Novel Korupsi ini meskipun sangat sarat nilai didaktisnya tidak menjadikan agama sebagai satu unsur perdananya.

Ini kerana Pram ingin sengaja memperlihatkan bahawa orang-orang kecil yang menerima rasuah, atau melakukan rasuah dan naik setingkat-setingkat sehingga boleh berumah besar, dan berkenderaan hebat tatkala menjadi menteri itu sebetulnya tidak pernah memikirkan pun agama dalam setiap pertimbangannya.

Tentu ada bisikan fitrah agar berbuat yang benar dan lurus.

Namun, orang seperti ini akan memilih fitnah berbanding fitrah.

Ini kerana mereka adalah cucu cicit Qabil, si korup pertama pembunuh Habil.

Watak seperti aku ini tentulah ada di dunia kita sebenarnya.

Bahkan kita melihatnya dengan mata kepala sendiri.

Kepala korup seperti dalam novel Korupsi karya Pramoedya ini tentu sahaja ada dalam kalangan kita, malah seperti dipamerkan oleh Pram, betullah ada yang jadi YB, dan jadi menteri.

Bila jadi menteri dipuja puji. Padahal macam babi.

Kita mungkin tidak begitu percaya atau perasan, kerana si korup seperti watak Bakir ini menabur wang ringgit yang membuatkan kita leka dan lupa.

Kita bahkan menyanjungnya.

Kita tidak sedar dia membawa kita sama jurang neraka.

Bukan sahaja tidak sedar, kita malah meraikan dan menyertai pesta ke neraka itu.