- Iklan -
Kolum

Cinta Baghdad

Semua cinta aku gagal. Ertinya semua cinta aku ini agung dan perlu diingati.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Penyair, novelis dan dramatis tersohor Victor Hugo (1802 -1885) yang merupakan seorang warga Perancis pernah berkata: “Hidup ini adalah bunga dan madunya ialah cinta”.

Aku percaya dan amat yakin dengan kata-kata ini.

Semenjak aku pandai memakai seluar dalam, aku sudah cuba mencari cinta.

Ahli falsafah China, Lao Tzu (571 Sebelum Nabi Isa) pernah berkata: “Perjalanan seribu batu itu bermula dengan satu langkah”.

Aku juga percaya akan kata-kata ini. Malah aku sudah berjalan beribu-ribu batu untuk mencari apa yang Hugo katakan sebagai bunga dan madu.

Aku sendiri pernah berkata bahawa: “Cinta yang agung itu adalah cinta yang gagal”.

Cinta yang gagallah yang menjadi ingatan. Uda gagal meminang Dara.

Maka ianya menjadi kisah cinta yang agung untuk orang Melayu.

Cinta Romeo terhadap Juliet dihalang yang akhirnya membawa tragedi.

Ali dan Nino bercinta tapi cinta mereka dihalang kerana berlainan agama.

Semua kisah-kisah cinta yang gagal ini akan menjadi cinta agung dan terus menjadi ingatan.

Bayangkan apa akan terjadi jika Uda berjaya meminang dan berkahwin dengan Dara.

Sembilan bulan selepas kenduri kahwin Dara melahirkan anak pertama, kemudian dapat anak kedua, ketiga hinggalah ke anak cucu.

Pasti Usman Awang (1929-2001) tidak akan mengagungkan kisah cinta Uda dan Dara ini.

Halangan dan kegagalan menjadikan cinta itu agung.

Lagi menyayat hati pengakhiran cinta itu, lagi agung taraf kesuciannya.

Beratus kali jatuh cinta

Aku sendiri sudah lupa berapa ratus kali aku jatuh cinta.

Semua cinta aku gagal. Ertinya semua cinta aku ini agung dan perlu diingati.

Sekurang-kurangnya aku sendiri wajib terus mengingati kisah cinta itu.

Walaupun kisah cinta aku tidak diteaterkan oleh Usman.

Pada tahun 1977 aku sampai untuk kali kedua ke kota Baghdad, Iraq.

Kali pertama pada tahun 1975. Kali pertama aku hanya berniat untuk singgah.

Kali kedua ini agak berlainan. Aku mencari tempat suaka.

Aku ingat lagi setelah hampir dua bulan tinggal di hotel, aku berpindah ke asrama belia kota Baghdad.

Asrama ini tidak jauh dari pusat kota.

Tidak jauh dari Jalan Abu Nawas. Dan tidak jauh dari tebing Sungai Dajlah.

Asrama ini menjadi tempat tinggal aku yang berjangka panjang.

Ertinya, tuan rumah National Union of Iraqi Students (Nuis) tidak perlu mengeluarkan dana yang banyak untuk membayar sewa hotel.

Aku menghabiskan masa membaca. Di Baghdad aku sempat membaca “The Selected Work of Kim Il Sung”.

Aku selesai membaca empat jilid.

Dari kitab ini aku faham tentang konsep dan idea “juche” atau berdikari sebagai ideologi Korea Utara.

Aku membaca buku Kim kerana tidak ada buku lain yang dapat aku capai.

Buku kulit keras Kim Il Sung ini aku temui dalam almari buku asrama belia.

Pada tahun 1977, kedai buku di Baghdad tidak ada menjual buku dalam bahasa Inggeris.

Iraq ada satu akhbar dalam bahasa Inggeris, “Baghdad Observer”.

Pejabat akhbar ini selalu aku datangi kerana kawan aku anak Palestin bernama Muhamad Zam Zam bekerja sebagai penterjemah.

Di asrama belia ini aku mula berkenalan dengan anak-anak muda dari luar negara.

Ada anak muda Arab warga Perancis, ada anak muda dari Morocco, ada dari Sudan dan dari Tunisia.

Dasar Iraq cukup terbuka, membenarkan sesiapa sahaja warga Arab datang masuk ke Iraq.

Tanpa banyak soal jawab. Bayangkan ketika ini Iraq cukup kaya dan lumayan dengan bahan bakar minyak.

Baghdad jadi tumpuan

Justeru ramai anak muda Arab datang untuk melamar kerja dan ada yang menyambung pelajaran.

Arab dari Eropah datang untuk mengenal dan melawat Iraq negara yang penuh dengan sejarah kuno dan sejarah tamadun manusia.

Tamadun umat manusia semuanya  bermula di Sumeria.

Ini wilayah Mesopotamia, lembah subur antara dua sungai iaitu Sungai Dajlah dan Sungai Furat atau Tigris dan Euphrates.

Wilayah kota Baghdad ini termasuk dalam wilayah tamadun Sumeria hingga ke Teluk Parsi.

Di asrama ini, aku berkenalan dengan Sam. Dia ini anak muda 20-an berasal dari Sudan.

Dia melintas dari Sudan mengikut jalan darat ke Mesir.

Beberapa bulan tinggal di Kaherah kemudian naik kapal terbang masuk ke Iraq.

Sam berniat hendak ke Kuwait untuk mencari kerja.

Aku panggil dia Sam, seperti nama watak Sam pemain piano dalam filem Casablanca (1947).

“Sam Baghdad” kurus langsing tidak segemuk “Sam Casablanca”.

Aku juga berkenalan dengan Luca anak muda 20-an dari Colombia.

Luca sedang berjalan merayau-rayau dari Amerika Latin ingin menuju ke India dan singgah di Baghdad.

Dari Baghdad Luca berniat hendak ke Kuwait untuk mencari kapal ke India.

Asrama ini agak besar. Aku rasa boleh memuat 100 katil dan ada satu bilik khas untuk perempuan.

Ada ruang tamu dan bilik rehat.

Asrama ini lengkap, ada dapur untuk memasak. Ada penjaga dan pekerja.

Malah kain baju juga boleh dibasuh jika betul diatur.

Ada makcik orang Iraq yang boleh membasuh dengan memberi sedikit “baksheeh”.

Di sebelah dapur ada bilik kecil ruang makan. Selesa duduk di sini.

Ketika aku mula sampai asrama ini tidak ramai penghuni. Asrama agak kosong.

Ada seorang lelaki pertengahan umur berasal dari Mesir.

Dia bekerja di Baghdad. Mungkin kerana susah mendapat rumah sewa dan dia bertugas dengan kerajaan maka dia boleh terus tinggal di asrama.

Sama seperti aku yang menjadi tetamu jangka panjang.

Lelaki Mesir ini tinggal lebih lama dari aku. Mungkin sudah setahun.

Ketika ini juga aku berjaya berkenalan dengan pelajar Melayu dari Patani.

Ikatan setiakawan aku dengan warga Patani ini sudah terikat lama.

Ketika aku di Universiti Malaya lagi, aku diberi pencerahan tentang perjuangan rakyat Patani.

Juga tentang gerakan nasionalis Barisan Revolusi Patani (BRN).

Dari pembacaan aku mendengar nama Pok Yeh dan Pok Su. Dua sosok yang dicap sebagai pengganas oleh Siam.

Aku juga pernah mendengar nama Haji Karim pemimpin BRN.

Jalinan sejarah yang terikat dari Kuala Lumpur ini menjadikan aku rapat dengan pelajar Petani dari kumpulan BRN.

Gerakan pembebasan Patani ini juga terbahagi kepada kumpulan dan garis politik yang berbeza.

Gadis manis Arab

Aku selalu merayau-rayau dengan Sam.

Bila bosan dengan Arab dan nak merasa cakap Melayu aku ke daerah Adhamiah, perkampungan pelajar Patani. Aku keluar makan dengan mereka.

Bila aku ingin tahu tentang perkembangan politik, aku singgah di pejabat Baghdad Observer berjumpa Muhamad Zam Zam.

Hidup aku agak selesa di kota Baghdad. Cuma aku tiada kekasih. Kalau mengikut Lao Tzu aku sudah berjalan lebih dari seribu tapak.

Tapi kalau mengikut Victor Hugo aku ada bunga, tapi tiada madu.

Tidak jauh dari Asrama ini ada kawasan rumah banglo.

Kawasan perumahan yang agak lumayan, tempat orang berada.

Aku selalu menapak menggunakan jalan di hadapan kawasan perumahan ini untuk mengambil bas masuk ke dalam kota.

Hanya ada lima buah banglo di wilayah ini.

Banglo akhir yang hampir dengan jalan besar, agak “special” bagi aku.

Aku ternampak ada seorang anak gadis di rumah ini.

Bila Sam dan Luca menjadi warga asrama, kami bertiga sering melintas di hadapan rumah gadis itu.

Biasanya kami akan melintas di hadapan rumah ini selepas jam lima petang. Ini ketika panas berkurangan.

Aku perhatikan setiap kali Sam, Luca dan aku melintas di hadapan rumahnya, anak gadis ini akan keluar menyapu.

Pada mulanya aku tak sedar tetapi apabila rutin ini aku amati, maka aku rasa ada sesuatu.

“Kau ada girlfriend Arab ke?” Aku bertanya pada Dolah pelajar dari Patani.

“Mana boleh…. bahaya… ini bukan di Bangkok atau di Kuala Lumpur… bahaya.. bahaya.”

Dolah berkata dengan serius.

“Bahaya macam mana?” Aku mahukan penjelasan.

“Ada aib… kalau keluarga tahu anak dara ada boyfriend.. ini aib untuk nama keluarga. Kena bunuh nanti… Sham kau jangan main-main.” Dolah memberikan penjelasan.

Satu petang Sam, Luca dan aku lalu di hadapan banglo ini.

Si minah itu sedang menyapu halaman rumah.

“Look… she knew our timing… she is always there pretending to sweep the garden.”

Aku beri maklumat ini kepada Luca dan Sam.

“Isham…. this is not Europe, this is Arab country. Very dangerous… you don’t know these Iraqi”

Sam anak Sudan tahu akan budaya Arab, memberi amaran tentang masyarakat Iraq yang konservatif.

“She is good looking… why not? Never say never… Isham your only failure is not trying.”

Luca memberi galakan dengan falsafahnya.

Aku hanya gagal jika aku tidak mencuba. Kata-kata Luca ini melekat dalam fikrah aku.

Aku masih berjalan dengan niat mencari madu.

Lalu aku pergi berjumpa kawan Palestin aku Muhamad Zam Zam.

Sosok ini graduan Jabatan Inggeris lulusan Baghdad Universiti.

Pasti dia boleh memberi aku pencerahan.

“When you are in campus.. do you have a girlfriend?”

Aku bertanya sama ada ketika dia belajar, dia mempunyai kekasih.

“Very strange question.” Jawapan dari Zam Zam.

“I think Arab girls are cute and sexy.” Aku membocorkan berahi aku terhadap gadis Arab.

“Don’t think about it… or you are dead. Honour killing is a tradition here. Sex is only after marriage…this is not your Melbourne.”

Zam Zam memberikan amaran. Kemudian Zam Zam bersurah tentang budaya konservatif Iraq.

Lalu aku diberi pencerahan tentang aib atau “honour killing”.

Jika anak gadis didapati mempunyai kekasih dan mengadakan hubungan sulit, ini akan mencemarkan nama keluarga.

Ayah, abang atau adik lelaki wajib bertindak membersihkan nama keluarga.

Untuk membersihkan nama keluarga, anak gadis ini akan dibunuh . Kematian itu bertujuan membersihkan nama keluarga.

Aku juga memberi penerangan tentang perkara yang sama dalam budaya Melayu.

Aku beritahu Zam Zam pada satu ketika dulu dalam budaya Melayu ada juga konsep “menconteng arang di muka” atau memalukan nama keluarga.

Tetapi di Malaysia kemodenan berjaya menghapuskan budaya dan konsep “menconteng arang” ini.

Bercinta dan meniduri kekasih sebelum berkahwin bukan lagi satu yang ajaib dan memeranjatkan dalam masyarakat Melayu hari ini.

Tunggul-tunggul dan saki bakinya fahaman konservatif masih ada.

Gaya hidup moden di bumi tropika sedang mencairkan sikap menjaga tepi kain orang.

Mengikut Zam Zam di Iraq anak gadis yang didapati mempunyai kekasih mungkin akan dibunuh secara gelap untuk membersihkan “arang” di muka keluarga.

“Lebanon, Morocco and Tunisia … they are cool.. Beirut is Paris for the Arabs.”

Zam Zam mengakui negara Arab di Utara Afrika lebih terbuka kerana pengaruh Perancis.

Paling kolot ialah Arab di negara-negara Teluk Parsi.

Setiap petang ketika aku melintasi banglo itu si minah itu berada di halaman.

Dia menyapu atau membersihkan pasu bunga.

Aku sedar bahawa si minah ini tahu aku berada di hadapan rumah.

Dia boleh melihat kami sedang menapak di jalan.

Malah aku juga yakin si minah ini tahu kami yang menapak di hadapan rumah bukan warga Iraq. Kami orang luar.

Hampir tiga minggu di Iraq Luca dan Sam di Iraq.

Kami sudah melawat Karbala dan Najaf. Apa yang perlu di lawati sudah kami lawati.

Akhirnya Luca dan Sam membeli tiket bas menyambung perjalanan ke Kuwait.

Kini aku tiada kawan. Aku masih dengan rutin biasa melintasi banglo itu menuju ke jalan besar untuk masuk ke dalam kota.

Si minah itu dengan rutinnya menyapu halaman ketika aku lalu.

Kalau di Kuala Lumpur aku faham tanda makna bahasa badan yang sedang di tunjukkan oleh gadis Arab ini.

Di Kuala Lumpur rutin dari minah ini memberi makna: “Datanglah, apa tunggu lama-lama”.

Pada masa yang sama, aku juga tidak mahu menjadi Majnoon yang tergila akan Laila.

Kata-kata Luca: “Aku akan gagal jika aku tidak mencuba”.

Falsafah Luca ini sentiasa bermain dalam fikrah aku.

Memberanikan diri

Maka pada satu petang yang permai ketika aku di hadapan banglo itu, ketika si minah itu sedang menyapu kata-kata Luca berdesing dalam kepala aku. Aku menapak menuju ke pintu banglo.

Seperti penyamun nak pecah rumah aku memerhatikan keadaan sekeliling.

Mata aku mencari-cari jika ada jantan Arab ternampak apa yang sedang aku lakukan.

Dari pintu aku mengarah ke halaman rumah dan terus berhadapan dengan si minah yang aku tak tahu namanya.

“Shoolonak anta…kif ha laak?”

“Apa khabar?” Ayat Iraq yang aku hafal.

“Me?”. Aku menampar dada aku. Di hadapan aku Si Minah yang cun, langsing dan bergetah. Jantan aku tercabar.

“Me… me.. name Isham… from Malaysia.” Aku memperkenalkan diri.

Gadis ini hanya tersenyum. Dia tidak berkata apa-apa. Tapi aku tahu yang dia faham apa yang aku tuturkan.

“Ana Malaysia…. ziarah Baghdad.. anta name?” Bahasa Arab pasar keluar dari mulut aku.

“Speak English?” Aku bertanya. “La.. la.. la.”

“La” ini perkataan yang aku faham. Ertinya tidak.

Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku hilang akal. Kalau di Melbourne aku pasti akan mengajak gadis ini ke pub atau ke cafe.

Tapi aku di Baghdad, kota Harun Al-Rasheed, kota Abu Nawas.

Tapi Baghdad juga kota Sharizad dan Fareeda, kota 1001 malam. Kota “Alif Layla Wa Laila”.

Kitab yang penuh dengan kisah-kisah erotik wanita Arab yang memberahikan tubuh badan jantan hitam walaupun jantan hamba abdi.

Apa yang berlaku di hadapan minah Arab ini ialah “aku sedang menyerah”.

Konsep dan budaya menyerah ini wujud dalam budaya Melayu Negeri Sembilan.

Bila jantan datang masuk menyerah ke bilik anak dara, maka tidak ada jalan keluar melainkan di ijab kabul.

Justeru rumah Wan Timah aku di Chenor ada loteng. Di loteng tingkat atas tempat anak-anak gadis tidur di waktu malam. Susah untuk jantan masuk “menyerah”.

Hampir 10 minit aku berhadapan dengan gadis ini. Akhirnya aku mengambil langkah mengundur.

Aku keluar dari kawasan rumah. Aku teringat akan Luca dan Sam.

Kalau Luca ada di hadapan aku pasti, dia akan memberi “lima” kepada aku.

“Isham kamu tidak gagal…. kamu sudah mencuba.” Ini ayat Luca.

“Kamu mencuba bukan di Paris, bukan di London, bukan di Melbourne tapi di Baghdad, di negara Iraq yang konservatif. Salut. Tahniah.”

Kata-kata Luca yang akan menyedapkan hati aku.

Sesampai di asrama aku nampak ada satu kumpulan Mat Salleh dan Minah Salleh baru sampai.

Beg dan “rucksack” mereka masih lagi bersepah di ruang tamu.

Mereka muda cun, jambu dan bergetah.

“Welcome.. where are you people from?” Aku bertanya dari mana mereka datang.

“From Poland.” Suara jantan menyahut.

Poland negara Eropah Timur Negara yang menjalin hubungan baik dengan Saddam Hussein dan Arab Baath Socialist Party, parti yang memerintah Iraq.

Aku melintasi bakal penghuni baru asrama ini di pintu utama.

Aku memberi perhatian kepada sosok-sosok ini.

Kejantanan aku tercabar.

Aku terus menjual senyum dalam usaha mencari madu.

Mata jantan aku sedang memberi perhatian kepada gadis Poland.