Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember depan sekali lagi bakal menjadi ujian kekuatan dan masa depan parti-parti bertanding khususnya Pakatan Harapan (PH) yang kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.
Melaka dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi landskap politik. Kedua-dua ini merupakan “deposit tetap” kepada Barisan Nasional (BN) sebelum Sarawak keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada parti-parti dari negeri itu sendiri.
Sebelum DUN Sarawak dibubarkan, GPS menguasai 68 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (6), DAP (5), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas masing-masing satu kerusi.
Tumpuan sudah tentunya kepada PH yang menjadi “the biggest loser” dalam PRN Melaka baru-baru ini. Dalam pilihan raya tersebut parti-parti komponen PH tewas teruk. Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding 11 kerusi tewas kesemuanya termasuk hilang kerusi di Machap Jaya kepada MCA. Perikatan Nasional (PN) yang bertanding kali pertama pula menang dua kerusi.
DAP pula hanya berjaya mengekalkan empat kerusi iaitu Bandar Hilir, Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Kesidang dan tewas empat lagi kerusi tradisi yang disandang sebelum ini iaitu Duyong, Gadek, Pengkalan Batu dan Bemban. Amanah pula sekadar mengekalkan kerusi Bukit Katil.
Kekalahan di beberapa kubu kuat yang menjadi deposit tetap mereka sebelum ini bukan sahaja mengejutkan malah memalukan lebih-lebih lagi di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu. Sebelum ini tidak ada sesiapa yang terfikir DAP dan PKR akan tewas di kerusi-kerusi tradisi mereka yang sudah berpuluh tahun tidak mampu ditembusi parti lawan.
Para pengundi dan penyokong PH menghukum calon-calon mereka di Melaka bukan kerana kelemahan calon dan jentera pilihan raya tetapi dek perbuatan serta tindak-tanduk para pemimpin mereka di peringkat pusat terutama Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang yang didakwa enggan mendengar suara hati akar umbi parti.
Tanpa mempedulikan suara hati ahli-ahli parti, Anwar dan Guan Eng menerima bekas ADUN Umno untuk mewakili PH dalam PRN Melaka. Sebelum ini suara-suara menentang memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik antara kerajaan Pusat dan PH sudah lantang kedengaran tetapi kedua-dua pemimpin PH itu tetap meneruskannya.
Ahli-ahli parti dan penyokong PH menyifatkan tindakan pemimpin mereka yang bersetuju dengan persefahaman itu sebagai hipokrit kerana pernah menolak tawaran yang hampir serupa malah lebih baik yang dicadangkan oleh perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin ketika itu.
Persefahaman itu juga menyebabkan ahli-ahli Parlimen PH lebih banyak “kunci mulut” daripada bercakap tentang isu-isu penting yang berlaku dalam negara seperti isu permohonan hartanah bernilai RM100 juta bekas Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini. Anwar selaku ketua pembangkang sekadar bersuara selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat. Jika tidak kerana Dr Mahathir, isu tersebut akan tenggelam begitu sahaja.
Kalau dulu Anwar dan Guan Eng bukan main lantang menjuarai daripada sekecil-kecil isu apatah lagi isu besar sebegini. Tetapi sekarang tidak lagi mungkin kerana “terhutang budi” kepada kerajaan ekoran persefahaman tersebut.
Berbeza dengan PN yang secara jujur memutuskan tidak akan bertanding pada PRN Sarawak, PKR dan DAP awal-awal lagi sudah bercakaran berhubung pembahagian kerusi. Gabungan itu juga memutuskan tidak akan menggunakan logo PH sebaliknya logo parti masing-masing yang dilihat sebagai satu lagi petanda kekalahan teruk pakatan itu.
Pergolakan ini semakin ketara melihat kepada kenyataan terbuka Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke bahawa PH tidak boleh secara berterusan menamakan Anwar sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri daripada PH setelah parti tersebut kalah teruk dalam PRN Melaka.
Menurut Anthony Loke, PH perlu memberi tumpuan lebih kepada agenda reformasi bukan hanya tentang mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri malah sudah sampai masanya kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dan presiden PKR dikaji semula.
Kenyataan terbuka dan berterus terang ini merupakan satu lagi tamparan hebat kepada Anwar yang sebelum ini dikecam teruk akibat kekalahan besar di Melaka. Khabarnya, kenyataan ini juga menyebabkan Anwar “menggelupur” sehingga terpaksa mencari dan mengerah beberapa ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan beliau.
Melihat kepada perkembangan terbaru ini, PH berhadapan dengan pilihan raya negeri sebagai sebuah parti yang parah di Melaka. Luka parah ini tidak akan sembuh sebaliknya terus membusuk di Sarawak.
Saladin Hassan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow