- Iklan -
Kolum

Mengapa harga barangan meningkat?

Harap-harap varian Omicron Covid-19 tidak mengganas sehingga dunia terpaksa menutup pintu ekonomi.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Banyak perniagaan yang ada hari ini kebanyakannya masih nyawa-nyawa ikan kerana wabak Covid-19.

Petani, nelayan dan mereka yang di dalam industri ternakan yang berjaya menempuh perintah kawalan pergerakan (PKP) kesemuanya cedera parah.

Ketika sayur, ikan, ayam lembu dan udang yang diternak tidak dapat dijual dan terpaksa dibuang, ramai yang tidak merasa kesian.

Bukan itu sahaja, pasaran kepada makanan mentah juga berkurangan.

Banyak restoran yang tidak berjaya bertahan PKP.

Ramai rakyat yang menganggur dan dikenakan potongan gaji menyebabkan kuasa membeli jatuh merudum.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu pula menyebabkan harga barangan mentah melonjak.

Nilai Ringgit yang rendah menyusahkan lagi keadaan.

Selain itu, mereka terpaksa berdepan dengan kesusahan mencari pekerja yang sanggup bekerja di bawah kepanasan matahari.

Gaji pekerja luar negara, disebabkan permintaan yang tinggi, turut naik mendadak.

Rakyat Malaysia sendiri tidak mahu bekerja di sektor sebegini.

Aliran tunai semua perniagaan hari ini menjadi meruncing, kerana masing-masing tidak dapat membayar pembekal.

Pembekal pula diletakkan di dalam situasi dilema.

Menghentikan bekalan akan menyebabkan syarikat pelanggan lingkup dengan lebih cepat, dan semua hutang tidak dapat dipungut.

Meneruskan bekalan dengan kredit hutang pula menambah risiko jika syarikat pelanggan tetap tumbang pada akhirnya.

Sendiri pula menghadapi masalah aliran tunai kerana bekalan yang dijual belum dibayar, dan bekalan baru yang ditempah memerlukan tunai segera.

Berdepan dengan situasi ini, selain menaikkan harga barangan untuk melawan peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan pasaran, apa lagi cara untuk perniagaan mereka bertahan?

Oleh itu, harga barangan meningkat. Itu satu kemestian.

Cuma ia perlu dikawal agar inflasi tidak terlalu tinggi.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, percayalah tiada peniaga yang akan memikirkan cara untuk menurunkan harga barangan.

Tepuk dada tanya diri, siapalah yang sanggup turunkan gaji sendiri pada waktu ini?

Tahun 2022 bakal lebih mencabar berbanding tahun 2021.

Harap-harap varian Omicron Covid-19 tidak mengganas sehingga dunia terpaksa menutup pintu ekonomi.

Jika tidak, semua akan terkena.

Melainkan mereka yang hanya memikirkan pilihan raya perlu diawalkan.