Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.
Di tengah ibu kota, di sebuah kafe yang namanya akan segera mengundang perhatian – Liberal Latte – sekumpulan peminat buku sedang berhimpun.
Kumpulan ini terdiri dari pelbagai lapisan usia, aneka warna kulit, rencam orientasi seksual, warna-warni faham politik, berjenis cara fikir dan hadir mewakili segala bentuk kerjaya.
Mereka menamakan diri mereka The Classic Challengers, suatu jemaah atau barangkali usrah buku yang kerana ketagihan bahan bacaan; bertemu pula saban minggu dan bulan untuk mengupasnya.
Seorang kepalanya, Naz Ghazali akan memberikan tugasan; minggu mendatang misalnya yang akan diuliti ialah buku oleh, katakan, Eka Kurniawan.
Mereka akan beramai-ramai membacanya meski sulit (atau mudah untuk segelintir mereka) dan memberikan pelbagai sudut pandang, tafsiran sendiri, hujah balas, argumen sokongan dan cuba sedaya upaya menyelidik lapis-lapis makna yang dihantar pengarang (kalau-kalau ada yang tertinggal).
Mereka juga mungkin akan bergosip (andai ada) tentang profil sasterawan atau penulis yang diberi perhatian itu.
Selain Naz, pengasasnya juga ikut serta, iaitu Zahirah Amoi, Vic, Aini dan Ed Yong ikut membantu.
Pilihan kelab ini adalah karya kanun, buku ranum yang memenangi hadiah atau mana-mana teks yang difikirkan memberi impak besar dalam masyarakat dunia.
Mereka bermula dengan My Name is Red oleh Orhan Pamuk, menjalar kepada The Name of The Rose, Catch 22, Midnight’s Children The Picture of Dorian Gray, dan Of Mice and Men.
Pada tahun 2018 misalnya mereka membincangkan 26 buah buku.
Ia meningkat kepada 44 buah buku pada tahun 2019.
Memang asalnya banyak buku luar diketengahkan tetapi acap kali juga buku tempatan diangkat menjadi bualan.
Sesungguhnya kehadiran parti buku ini memberikan kesegaran yang keren.
Peserta atau ahli kelab ini tidak segan silu menyatakan pandangan. Atau, sekiranya ingin membantah.
Tidak pula tertib mengampu, bahkan berani mengkritik apatah menyanggah; kadang-kala usrah kecil itu menjadi gegak gempita oleh sorak-sorai.
Acap kali pula mengundang macam seru dan analisis. Ada yang hadir dari kejauhan.
Bukan semua dari Lembah Kelang. Saya harus katakan, mereka bukanlah elitis seperti dijangkakan.
Parti Buku ini adalah satu perikatan maha rasional dek inti perbincangannya yang tidak tergelincir dari tema sedia ada.
Ia juga muafakat bebas rasial yang begitu memikat.
Parti buku ini merupakan pakatan harapan yang sebenar dalam era – buku sudah makin luput – oleh gangguan media sosial, dan tumpuan terhadap medium video dan sebagainya.
Alkisahnya, minggu lalu saya diajak untuk hadir ke parti buku ini.
Pemuja-pemuja buku ini meminta saya berbicara tentang novel ke-24 saya dengan judul Profesor (terbitan Buku Fixi 2017) yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh teman baik saya, Brigitte Bresson, sebagai The Professor (terbitan Gerak Budaya 2020).
Saya dijemput “membebel” tentang novel ini.
Saya menjelaskan bahawa ia adalah mengenai hak asasi manusia.
Satu lapangan yang saya secara tidak sengaja terjerumus dan berkincah di dalamnya sejak tahun 2010.
Hanya protagonisnya mungkin sedikit berbeda dari kebiasaan kerana mempunyai pandangan yang sedikit lain.
Sedikit sebanyak, bagaimana saya mengarang novel ini dijelaskan, dan hubungannya dengan karya-karya terdahulu saya seperti Tuhan Manusia dan Perempuan Nan Bercinta.
Saya juga membabarkan tentang novel terbaru saya, Koro, bakal terbit awal 2022 di Indonesia.
Seterusnya ada sesi tanya jawab yang sememangnya panjang.
Saya memberitahu bagaimana saya memerlukan sebuah ruang naratif yang dapat dimanfaatkan dengan nota dan khutbah, kuliah dan debat – khusus – bagi menyampaikan wacana balas mengenai persoalan relativisme budaya.
Soalnya bukan sangat tentang bagaimana karya saya itu dibahaskan oleh penggemar-penggemar buku ini, tetapi sebetulnya saya ingin menunjukkan terdapatnya nukleus budaya dan seni yang berada di luar lingkungan arus perdana.
Mereka bukan terdiri dari orang sastera dan seni, tetapi penikmat yang berbahagia dengan seni dan sastera.
Vic misalnya memberitahu saya yang setelah banyak tahun bersara, membaca adalah satu keamanan yang luar biasa.
Dia membaca bersungguh-sungguh dan nampaknya arif apa yang ditanya.
Masalah dengan kelab buku yang ada pada dekad lalu ialah – sekarang semua orang boleh menjadi penulis – audien kelab buku dekad lampau ingin turut menulis.
Maka kelab-kelab tersebut mencipta penulis dan bukan pembaca bermutu.
Saya selalu menyatakan, jika semua akan menulis, siapa yang akan membaca dengan cermat, rapi dan seterusnya tergamak mempertengkarkan.
Ini kerana pengarang akan sentiasa menjaga hati pengarang lainnya.
Apabila saya menghujahkan kelab buku seumpama ini bukan dari lingkaran arus perdana, ia juga bermaksud mereka cukup mandiri dan independen untuk mendanai diri, berbincang dan bertingkah, tidak bersetuju secara damai, dan mengkritik dengan yakin.
Bila saya katakan bebas; bukan kerana mereka boleh menyediakan bingka ubi kayu setelah setiap acara.
Bebas, kerana mereka tidak mudah ditawan oleh cengkaman politik misalnya, kerana buku sahaja sudah amat membebaskan buat mereka.
Nukleus seni begini membentuk jaringan lain yang seterusnya membina satu perkaitan social capital yang kukuh.
Di negara-negara yang penghuninya suka dan merupakan pembaca berat, katakan Perancis; kelab buku seperti The Classic Challengers ini adalah puak yang berpengaruh.
Mereka adalah parti yang perlu dipengaruhi kerana parti buku ini memberikan undi.
Bukan setakat memberi undi, ia membentuk cara berfikir pengundi.
Kelab buku begini menghidupkan dan menyalakan pengarang meskipun mereka sudah mati, atau hilang luput ditelan zaman.
Pembaca jenis ini menyalakan kembali karya-karya yang sudah tergusur dari rak buku baik di toko, kutub khanah atau kampus.
Mereka membawa ke tengah apa yang disangka marjinal.
Mereka mengapungkan idea yang mungkin diredam dan terbenam.
Mereka tidak membiarkan seniman menjadi lemas seorang diri karam dalam pusaran di muara pengetahuan; kerana mereka pembaca yang bukan sekadar meramaikan, tetapi pembaca yang memberitahu pembaca lain – kau baca buku ini dan pastikan ia beredar lagi dan terus lagi – mengakibatkan idea dalam buku yang mungkin bermula dengan sekadar cetakan seribu naskah, nanti akan bercambah.
Mereka pembaca yang mempersetankan misalnya, buku haram.
Buku misalnya boleh diharamkan. Tetapi parti buku begini tak boleh dihapuskan.
Cukup lima puluh pembaca setia yang mengerti, kuasa jahat yang memusuhi pemikiran dapat dialahkan.
Ini parti bukan parti huha hahu, ia adalah parti yang menggugat. Parti buku bukan parti beku.