- Iklan -
Rencana

WWF-Malaysia sambut baik penubuhan WCB

Penubuhan WCB merupakan satu langkah baik untuk memerangi pemburuan dan pemerdagangan hidupan liar.

Sophia Lim
2 minit bacaan
Kongsi
Harimau Malaya dianggarkan kurang dari 200 ekor kini dimasukkan ke dalam 'senarai merah' IUCN.
Harimau Malaya dianggarkan kurang dari 200 ekor kini dimasukkan ke dalam 'senarai merah' IUCN.

WWF-Malaysia menyambut baik penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB), yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim baru-baru ini.

Pengumuman ini memberi harapan tinggi dalam perjuangan melindungi Harimau Malaya, dan merupakan satu langkah baik untuk memerangi pemburuan dan pemerdagangan hidupan liar.

Kami merakamkan penghargaan kepada kementerian tenaga dan sumber asli (KetsA) serta Perhilitan atas sokongan besar mereka dalam melawan jenayah hidupan liar. Dengan jumlah Harimau Malaya kurang daripada 200 ekor, ia amat menggalakkan untuk melihat perkembangan terbaru seperti:

Pada bulan Jun, Kabinet setuju melaksanakan sembilan tindakan strategik pemuliharaan Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun dari 2021 hingga 2030.
Pada bulan September, Menteri Ketsa Takiyuddin Hassan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) yang akan dipengerusikan oleh perdana menteri, dan penubuhan Kumpulan Kerja Harimau Malaya (TWG) untuk mencari cara-cara meningkatkan populasi harimau di alam liar.
Pada bulan Oktober, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (pindaan) 2021 yang boleh membantu usaha melindungi hidupan liar Malaysia yang terancam.
Sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif alam sekitar dan biodiversiti dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Oktober.

Selama beberapa tahun, WWF-Malaysia telah mengadvokasi untuk penubuhan unit jenayah hidupan liar di bawah PDRM, seperti WCB, dan penubuhan pasukan seperti MyTTF. Ini menyerupai langkah-langkah yang diambil oleh Nepal dan India seawal tahun 1970-an untuk meningkatkan populasi harimau liar di negara mereka. Inilah yang kami harapkan untuk Malaysia, walaupun ia akan mengambil masa sebelum membuahkan hasil.

Sejak beberapa dekad yang lalu, haiwan terancam di negara kita menjadi mangsa kepada pemburuan haram dan pemerdagangan hidupan liar. Jika masalah ini berterusan,hutan kita akan kehilangan hidupan liar yan penting untuk keseimbangan ekosistem. 

Kesinambungan habitat harimau di alam liar adalah kunci kepada ekosistem hutan yang seimbang dan juga kelangsungan hidup kita.

Apabila kita melindungi habitat harimau, kita turut melindungi pelbagai perkhidmatan ekosistem yang diberikan oleh hutan seperti air tawar, udara bersih, tebatan banjir dan sumber semula jadi yang lain. Semua ini mendatangkan manfaat kepada kita. Lanskap harimau juga menyimpan lebih banyak karbon secara purata berbanding hutan lain di rantau ini, justeru membantu dalam mengurangkan perubahan iklim.

Selama bertahun-tahun, kami telah berjuang untuk melindungi Harimau Malaya di alam liar melalui usaha rondaan, advokasi dan pelbagai mesyuarat untuk membentangkan hasil penyelidikan dan cadangan kami. Dengan penubuhan MyTTF, TWG dan WCB, serta sokongan dari petugas lapangan, Ketsa, PDRM, Perhilitan dan juga Maybank – yang merupakan rakan kongsi kami dalam pemuliharaan harimau – kami akan terus berusaha untuk memulihkan populasi harimau liar di Malaysia.  

Adalah sangat penting untuk kita kekalkan momentum ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, telah menyatakan bahawa Malaysia bakal kehilangan Harimau Malaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tindakan drastik tidak diambil. Pelaksanaan sembilan tindakan strategik adalah sangat kritikal untuk menyelamatkan spesies ini, apatah lagi dengan Tahun Harimau kian menjelang. Marilah bersama menyelamatkan ikon negara daripada kepupusan.

Sophia Lim pengarah eksekutif WWF-Malaysia