Harga barang yang semakin naik setiap tahun ini bukan perkara baru buat rakyat Malaysia. Setiap kali harga barang ini naik ia memberi kebimbangan kepada rakyat Malaysia yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dan tambahan pula di sewaktu pandemik ini ramai yang terjejas dari segi sumber pendapatan dan pekerjaan.
Kenaikan harga barang ini masih menjadi tanda tanya kerana ada harga barang yang naik hampir 200% dari harga semasa. Semua pihak menuding jari antara satu sama lain tetapi apa yang mengecewakan kita gagal memahami permasalahan secara kolektif. Ramai yang membangkitkan isu ini adalah ketamakkan orang tengah (kartel), petani serta penternak, harga bahan bakar, cukai perkhidmatan dan banyak lagi.
Antara langkah yang boleh dilakukan untuk membendung kenaikan harga barang adalah;
Pertama – kerajaan perlu perketatkan penguatkuasaan dan pemantauan yang menyeluruh bermula dari awal proses pengeluaran dan pembuatan. Sekiranya ia hanya dipantau ketika proses jual beli sahaja tidak mencukupi walhal, di dalam asas supply chain management (SCM) ia pengurusan rantaian bekalan ialah pengurusan aliran barangan dan perkhidmatan dan termasuk semua proses yang mengubah bahan mentah kepada produk akhir. Ia melibatkan penyelarasan aktif aktiviti sampingan perniagaan untuk memaksimumkan nilai pelanggan dan memperoleh kelebihan daya saing dalam pasaran (Fernando, 2021).
Dengan penguatkuasaan daripada permulaan proses melibatkan pembekal bahan mentah untuk penghasilan produk dan pembuatan mampu mengawal selia harga bekalan untuk penternak dan petani dalam membendung manipulasi harga bahan mentah. Ini tidak diambil kira lagi dengan manipulasi orang tengah. Orang tengah adalah pihak yang akan memasarkan produk ini dipasaran.
Oleh yang demikian, mekanisma yang terbaik untuk memastikan harga dapat dikawal adalah dengan kerajaan sendiri menjadi orang tengah untuk membantu produk ini berjaya dipasarkan di pasaran dengan agensi yang sedia ada ia harus dipertingkatkan lagi dan diberi penekanan yang serius. Agensi ini perlu mengadaptasi proses pengurusan bekalan rantaian secara menyeluruh termasuk pengangkutan dan logistik, kawalan kualiti dan perkhidmatan pelanggan “after sales service” tanpa mengharapkan kebergantungan terhadap pihak ketiga.
Malaysia berpeluang mencipta nilai tambahan kira-kira RM9-11 bilion sepanjang dekad akan datang, yang menyumbang kira-kira 12.1% kepada KDNK, jika daya saing rantaian bekalan dipertingkatkan melalui perkhidmatan pengangkutan dan logistik yang lebih cekap. Dengan mengurangkan kos rantaian bekalan dan akhirnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara kerana Bank Dunia telah menganggarkan bahawa pengurangan 10% dalam kos pengangkutan boleh meningkatkan hasil perdagangan sebanyak 20% (Harlina Suzana Jaafar, 2008).
Kedua – menurut (Noh, 2021) berdasarkan penelitian MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar, negara berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata sebanyak 18% bagi bulan Oktober serta November lalu dan diunjurkan keadaan yang sama akan berlarutan ke bulan ini. Keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan.
Dasar kerajaan yang mengalakkan import hanya boleh menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek. Dengan dasar import ini ia tidak menjamin masalah ini mampu diselesaikan untuk jangka masa panjang.
Mengambil dasar Jepun mereka mengambil langkah proaktif dengan mengukuhkan lagi jaminan bekalan makanan mereka sewaktu pandemik berlaku adalah satu tindakan yang bijak. Mereka tidak mengharapkan import kerana ia jelas satu risiko yang tidak boleh
menjamin bekalan untuk rakyat mereka.
Jepun memilih untuk melaksanakan penekanan didalam jaminan bekalan makanan untuk mengekalkan keseimbangan populasi. Mereka yakin dengan penekanan di sektor pertanian dan teknologi mampu meningkatkan kapasiti simpanan bekalan “stockpile” dalam menjamin bekalan makanan terutama jika pandemik berlaku (Neo, 2021).
Antara sebab kenapa hal ini tiada kesudahan adalah kerana kerajaan tidak memberi penekanan penuh kepada dasar “food security” negara. Jaminan bekalan makanan ini perlu menjadi agenda utama dalam menangani kekurangan bekalan makanan negara. Kerajaan sewajarnya memberi penekanan dengan lebih khusus. Sebagai contoh; kerajaan boleh
mengalakkan lagi graduan yang sedang menganggur untuk terlibat dalam membangunkan
agenda nasional ini.
Dengan peluang sedia ada ini, ia mampu mengurangkan tahap pengangguran dalam negara.
Namun begitu, hasil tinjauan mendapati graduan ini tidak diberi penekanan secara jelas dan proses birokrasi yang ketat yang membuat mereka tidak yakin untuk menceburi bidang ini.
Jika ia melibatkan “food security” ini seharusnya pendekatan yang lebih mesra perlu
ditekankan. Begitu juga segelintir penternak dan petani mempunyai dilemma yang
menghantui mereka.
Ketiga – dilema penternak adalah perkara yang perlu dipandang serius oleh kerajaan.
Hasil tinjauan mendapati penternak dan petani ini menghadapi masalah dalam menjayakan hasil produk mereka. Hal ini telah disentuh di awal artikel ini di mana tiada kawalan yang ketat dalam rantaian bekalan menjadikan kos operasi mereka bertambah kerana bahan mentah ini bukan dikawal oleh mereka.
Mereka memerlukan bekalan mentah ini dalam memastikan kesinambungan pengeluaran produk mereka mampu direalisasikan. Oleh yang demikian, mereka terpaksa untuk menaikkan harga produk mereka yang mendorong kepada peningkatan harga asas produk sudah tinggi dan ini tidak termasuk harga orang tengah yang mengambil untung berlipat kali ganda dipasaran.
Mereka juga menghadapi masalah untuk memasarkan produk mereka dipasaran. Hal ini telah membuatkan mereka memerlukan orang tengah untuk produk mereka dipasarkan tetapi diakhir gelombang kemarahan rakyat ia telah ditujukan kepada petani dan penternak sedangkan mereka adalah pihak yang penting dalam memastikan bekalan makanan terjamin. Usaha mereka seakan – akan tidak dihargai dan mengundang rasa putus asa dalam meneruskan kerjaya mereka.
Dilema mereka tiada kesudahan kerana saban tahun peningkatan jumlah penglibatan penternak dan petani semakin berkurangan kerana faktor harga bekalan yang naik dan hasil pendapatan yang tidak setimpal.
Akhir sekali, dalam memastikan agenda bekalan makanan mampu ditangani kerajaan perlu beri penekanan kepada rantaian bekalan. Hapuskan kebergantungan terhadap orang tengah, kurangkan kebergantungan kepada import dan membela nasib penternak dan petani dengan membantu mereka memasarkan produk mereka secara terus. Kerajaan sebagai penggubal dasar polisi tidak hanya tertumpu kepada menetepkan harga siling dan harga lantai tetapi disarankan untuk terlibat secara langsung di dalam rantaian bekalan (supply chain) dalam memastikan bekalan makanan terjamin disamping harga yang terkawal.
Habib Mazlan adalah pembaca MalaysiaNow.