- Iklan -
Kolum

Rezeki halal atau haram?

Ini kerana rezeki haram ini tidak menimbulkan rasa jijik seperti termakan daging haiwan haram.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk melaksanakan tugas di pejabat.

Apabila pekerja itu meminta habuan daripada pihak ketiga untuk melaksanakan tugasnya, apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji dengan tugas menjaga pembelian barangan syarikat.

Apabila pekerja itu meminta habuan atau komisyen daripada pembekal demi memastikan barangan itu dibeli daripada pembekal tersebut, apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk mencari kontraktor.

Kontraktor itu menjanjikan habuan 3% jika syarikatnya dipilih.

Apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk mengatur jadual bos.

Namun, pekerja itu meminta habuan daripada mereka yang ingin berjumpa bosnya sebelum jadual dimuktamadkan, apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk menyelia harga-harga tawaran tender daripada para pesaing.

Namun, pekerja itu menjual maklumat tender kepada pihak pesaing tertentu untuk memastikan kemenangannya, apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk menyelia permohonan-permohonan tanah.

Namun, pekerja itu meminta bayaran bantuan untuk mengangkat surat itu ke peringkat tertinggi.

Apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk melaksanakan undang-undang dan memberikan hukuman.

Namun, pekerja itu boleh mengubah keputusan berdasarkan bayaran diterima.

Apakah rezeki ini halal atau haram?

Seseorang pekerja dibayar gaji untuk menguruskan harta negara.

Namun pekerja itu mendapat habuan dengan memberikan surat sokongan kepada kawan-kawannya.

Apakah rezeki itu halal atau haram?

Rezeki haram ada di mana-mana.

Lebih menakutkan, ia boleh dilakukan oleh sesiapa saja, dan di mana-mana sahaja.

Perangi rasuah bukan satu perkara yang mudah.

Bahkan, kebanyakan kita perlu melakukan rasuah tanpa sedar.

Rasuah menyenangkan perasuah.

Tetapi ia merumitkan perkara yang senang, dan melonjakkan kos serta merosakkan sistem.

Ia barah masyarakat.

Dan barah ini sangat berleluasa di sektor-sektor yang memerlukan kebenaran dan kelulusan pihak berautoriti.

Duit adalah pelincir rasuah dan ketidaktelusan adalah pelindung aktiviti rasuah.

Membanteras rasuah bermula daripada rakyat sendiri.

Jika rakyat sendiri sanggup membayar untuk mendapatkan kepentingan sendiri yang tidak patut dinikmati, rasuah akan terus berleluasa di dalam bentuk rezeki halal.

Mengapa rasuah bahaya?

Ini kerana rezeki haram ini tidak menimbulkan rasa jijik seperti termakan daging haiwan haram.

Malah, ia menjadikan seseorang terasa ia seorang yang bertuah.

Itu hebatnya kanser ini.

Kita semua mungkin adalah pembawanya tanpa sedar.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.