Selangor merupakan negeri yang paling sedih apabila berdepan isu berkaitan dengan air.
Sepanjang tahun, rakyat bergelut dengan ketiadaan air yang kerap ekoran pencemaran di empangan.
Namun, hujung minggu lepas, Selangor berdepan dengan masalah air bah luar biasa setelah menerima 48 jam hujan tanpa henti.
Shah Alam dan Klang adalah bandar yang paling teruk terjejas.
Waktu ini kena saling-saling membantu.
Ahli-ahli politik perlu kurangkan bercakap dan berpolitik.
Gila apabila ada ahli politik yang menyalahkan Jabatan Meteorologi, yang sudah memberikan amaran.
Sewel jika ada ahli politik yang menyerang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melawat kawasan banjir.
Di Selangor ini, tak ramai orang yang pernah merasai air banjir sebegitu besar, banyak dan cepat naik sepanjang hidup mereka.
Oleh kerana tidak pernah mengalami banjir, tiada siapa yang akan teringat untuk memindah perabot apabila melihat hujan lebat tanpa henti, meskipun Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut kuning mahupun merah.
Jika tahu hujan lebat akan datang, apakah sesiapa dapat menjangka air bah di Shah Alam dan Klang sebegitu teruk?
Apakah ada sesiapa yang mampu bersedia menghadapinya?
Rumah dan kawasan yang tak pernah ada rekod kena banjir berdekad lamanya, terkena banjir.
Bencana alam kali ini tidak memerlukan sesiapa untuk menuding jari.
Hujan sebulan turun dalam masa 48 jam, dan bertemu air pasang.
Gabungan ini tiada manusia dapat menjangka apa yang akan berlaku.
Jangan salahkan ahli politik
Rakyat juga usah menyalahkan ahli-ahli politik.
Siapa yang tak marah apabila berada dalam kesusahan?
Tapi elakkan mencipta salah faham yang tidak perlu.
Contohnya ada rakyat di Parlimen Kota Raja yang marahkan wakil rakyat mereka Mohamad Sabu kerana tidak muncul.
Bukan beliau tidak muncul.
Selepas melawat pusat pemindahan banjir di Jalan Kebun, beliau turut tersekat di kesesakan jalan raya sehingga jam 2.00 pagi hari Ahad.
Keesokan harinya, beliau terus mencari jalan mengharungi banjir untuk menjenguk rakyat di Parlimen Kota Raja.
Saya bukan penyokong parti beliau, tapi saya cuma nyatakan untuk mengelakkan tuduhan tidak benar.
Sekarang waktu rakyat Malaysia berganding bahu.
Pertama, belajarlah jaga mulut masing-masing.
Ketika Kelantan ditimpa musibah air bah besar dahulu, macam-macam tuduhan dan tuding jari diberikan terhadap kerajaan Kelantan meskipun ketika itu mereka juga berdepan dengan hujan luar biasa.
Kali ini, berhemahlah di dalam tutur kata.
Tuhan dah tunjuk apabila hujan luar biasa, negeri paling maju seperti Selangor pun tidak terselamat.
Hujan luar biasa bukannya boleh dielak.
Bahkan Singapura juga pernah banjir dengan hujan luar biasa.
Yang diperlukan ialah tangan yang membantu bukan mulut yang mengungkit.
Ahli politik, jika tidak membantu, sila diam.
Dan usah menuding jari siapa turun padang, siapa tidak.
Baik tunjuk apa bantuan yang boleh diberikan.
Banjir sudah cukup menyusahkan, jangan memburukkan keadaan lagi.