Dengan hormatnya saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan beberapa orang ahli Parlimen dan juga pemimpin parti yang membidas dan menuduh saya menolak usul untuk membahaskan isu banjir di Dewan Rakyat pada 20 Disember 2021.
Saya ingin memberi penerangan mengenai perkara tersebut.
Pertamanya, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya telah menolak usul untuk membahaskan isu banjir pada hari tersebut. Sebenarnya, tidak ada satu pun usul yang dibuat oleh mana-mana ahli Parlimen untuk membahaskan isu tersebut.
Apa yang terjadi ialah pada hari tersebut, Dewan Rakyat sepatutnya mendengar pembentangan menteri kesihatan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021.
Namun demikian, pembentangan tersebut tidak dapat dibuat kerana proses libat urus di antara pihak menteri kesihatan dan pihak pembangkang belum tamat dan terdapat isu-isu mengenai RUU tersebut yang perlu diselesaikan.
Pembentangan RUU tersebut merupakan satu-satunya agenda di dalam aturan urusan mesyuarat pada hari tersebut.
Tanpa apa-apa notis terdahulu, tiba-tiba ahli Parlimen Bagan bangun untuk meminta penerangan menteri mengenai isu banjir.
Sebenarnya, mengikut Peraturan Mesyuarat, tidak ada prosedur di mana seseorang ahli Parlimen itu boleh meminta penerangan menteri. Ahli-ahli Parlimen hanya mempunyai hak untuk memberikan soalan-soalan untuk jawapan lisan. Pada hari tersebut, tiada soalan untuk jawapan lisan menteri yang dibuat oleh mana-mana ahli Parlimen.
Malah pada hari tersebut, soalan untuk jawapan lisan juga tidak dimasukkan di dalam aturan urusan mesyuarat.
Sejurus selepas itu, ahli Parlimen Pokok Sena dan disusuli oleh ramai lagi ahli Parlimen dari blok pembangkang, termasuklah Lembah Pantai, bangun untuk membahaskan soal banjir tersebut.
Saya menjawab bahawa perkara tersebut tidak berada di dalam aturan urusan mesyuarat. Maka saya tidak mempunyai kuasa langsung untuk membenarkan apa-apa perbahasan seperti yang diminta.
Ahli-ahli Parlimen semuanya sedia maklum akan hal ini kerana mereka merupakan ahli-ahli Parlimen berpengalaman. Namun saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian.
Keduanya, saya ingin memberikan penerangan tentang prosedur perbahasan. Perbahasan hanya akan diadakan sekiranya ada Usul, sama ada usul untuk mencadangkan sesuatu perkara ataupun usul untuk membentangkan rang undang-undang. Notis usul itu perlu diberikan secara bertulis kepada saya.
Bagi hal-hal yang tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, satu usul di bawah Aturan 18(1) perlu dibuat kepada saya sehari terlebih awal. Untuk hal banjir ini, ahli-ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui Whatsapp dan sebagainya sebelum hari tersebut (20 Disember 2021).
Malah, satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Disember 2021. Namun, tidak seorang pun yang berbuat demikian.
Mengapa perlu ada usul? Usul diperlukan kerana beberapa sebab:
- Sebelum sesuatu perkara itu dibahaskan, saya perlu mengemukakan masalah kepada Dewan untuk dibahaskan dan dijawab oleh pihak menteri. Tanpa usul, apakah masalah yang hendak saya kemukakan untuk dibahas?
- Usul juga diperlukan supaya pihak menteri yang berkenaan dapat membuat persiapan untuk menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan. Tanpa usul, bagaimanakah pihak kementerian ataupun menteri dapat bersedia untuk menjawab? Malah, bagaimanakah hendak ditentukan kementerian ataupun menteri yang mana yang perlu hadir untuk menjawab?
- Usul juga diperlukan untuk sesuatu masalah itu dibahaskan dengan bertatacara dan sempurna. Ianya akan menghalang ahli-ahli Parlimen daripada membahaskan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan isu di dalam usul tersebut.
Saya bukannya hendak mengekang hak ahli-ahli Parlimen daripada membahaskan isu-isu semasa yang penting dan yang perlu disegerakan.
Namun, Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabatnya menjadi kedai kopi dengan membangkitkan apa saja isu secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Tidak ada Parlimen di negara-negara Komanwel yang membahaskan apa-apa isu yang dipetik daripada udara sesuka hati dan pada bila-bila masa saja tanpa mengikut peraturan dan aturan urusan mesyuarat. Bayangkan pada mana-mana hari pun dan bila-bila saja, tiba-tiba seseorang ahli Parlimen boleh bangun sesuka hati dan menghendaki apa-apa isu untuk dibahaskan walaupun perkara tersebut tiada dalam agenda mesyuarat.
Saya komited kepada pembahasan terbuka mengenai apa juga isu dan masalah yang dihadapi rakyat. Malah di bawah jagaan saya, saya telah mewujudkan sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas dan mengadakan sekretariat buat pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia bagi membolehkan proses semak dan imbang diperkukuhkan.
Tuduhan terhadap saya adalah berniat politik dan saya tidak akan terjerumus di dalam kancah politik yang tiada penghujungnya.
Azhar Azizan Harun adalah Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow