Aku ingat lagi ketika dalam darjah tiga pada tahun 1959, aku mula kenal baik dengan Majid Ali.
Anak Cikgu Ali ini empat tahun lebih tua daripada aku.
Adiknya bernama Hamzah yang satu kelas darjah lima dengan abang aku, Anuar Rais.
Cikgu Ali sudah pencen. Pernah menjadi guru di Sekolah Umum Batu Serambai sebelum Inggeris balik kampung.
Sesudah pencen keluarga Ali membuat kerja kampung seperti memelihara lembu, ayam dan itik yang tidak jauh dari Sekolah Umum Batu Serambai.
Ertinya tidak jauh dari rumah guru sekolah di mana aku tinggal.
Majid anak sulung Cikgu Ali belajar di Goverment English School (GES), Kuala Klawang.
Majid ada basikal. Dia ke sekolah mengayuh basikal.
Apa yang menarik tentang Majid selain daripada basikalnya ialah “remos” fesyen rambutnya.
Majid menyikat rambutnya sama seperti rambut Elvis Presley (1935-1977).
Aku mengenal nama Elvis ini juga dari Majid. Aku melihat gambar Elvis ini dari Majalah Filem.
Setiap bulan Majid akan membeli Majalah Filem.
Aku akan menumpang membaca Majalah Filem ini di rumah Cikgu Ali.
Awalnya aku tidak kenal siapa dia Elvis ini.
Kemudian Majid memberitahu bahawa Elvis ini seorang penyanyi “rock and roll” dari Amerika.
Aku juga tak tahu apa bendanya rock and roll ini.
Tapi aku tahu remos Majid hampir sama dengan Elvis.
Budak-budak Kampung Batu Serambai semua kenal dengan Majid.
Majid menjadi ikutan bila dia berbasikal dan memakai kepala tali pinggang hitam yang bertulis rock n roll dengan remos Elvis.
Aku tak ada modal, justeru aku hanya memerhatikan Majid dan basikalnya.
Aku juga memberahikan basikal. Satu hari nanti aku juga ingin memiliki sebuah basikal aku sendiri.
Di rumah ada basikal jenis Raleigh tapi ini bukan milik aku. Ini abah aku punya.
Pekan Kuala Klawang ada panggung Ruby Theatre.
Panggung ini hanya menayangkan filem-filem dari syarikat filem Cathay.
Dari panggung Ruby aku mengenali pelakon Nordin Ahmad, Latifah Omar, Roseyatimah, Mustafa Maarof, Mahmud Jun, Wahid Satay dan Aman Belon.
Aku tidak dibesarkan menonton filem Melayu keluaran Syarikat Shaw Brothers.
Justeru aku tidak menonton filem P Ramlee (1929-1973) dan filem-filem lakonan Zaiton, Normadiah, Jins Shamsudin, Aziz Jaafar, S Kadrisman, Omar Rojik, Saadiah, Ibrahim Pendek atau Wak Mustarjo.
Dengan membaca Majalah Filem milik Majid aku boleh mengikuti perkembangan filem-filem Melayu terbitan Shaws Brothers dan Cathay Keris.
Sesekali aku baca juga berita filem Orang Putih.
Aku rasa pada tahun 1964 berita tersebar sebuah panggung akan dibuka di Petaling.
Panggung Rex ini akan menayangkan filem-filem Shaw Brothers.
Ini satu perkembangan baru yang amat menarik.
Peminat filem Melayu warga Jelebu kini ada peluang untuk menonton filem garapan dan lakonan P Ramlee.
Petaling ini pekan kecil. Dua deret rumah kayu orang Cina di kiri kanan jalan utama ke Kampung Baru Titi.
Pekan Petaling di simpang tiga jalan hendak masuk ke Kampung Gagu.
Pekan Petaling ini hanya ada tiga buah kedai runcit, sebuah kedai kopi dan dua buah kedai membeli getah.
Tapi semua orang Jelebu akan sampai ke Petaling bukan untuk “shopping” atau bercanda-canda.
Di atas bukit pekan Petaling ini letaknya Hospital Petaling, Hospital Besar Jelebu.
Hospital menjadikan pekan kecil Petaling ini penting.
Bila Panggung Rex didirikan ianya menjadi satu lagi tarikan kepada warga Jelebu untuk datang ke Petaling.
Panggung papan ini berlantaikan tanah. Beratap kanvas dan zink.
Bila hujan turun, bunyi titisan air boleh mengganggu penonton.
Jika hujan lebat ada kemungkinan air meleleh masuk ke dalam panggung.
Kerusi di Rex tidak semolek Panggung Ruby.
Ini kerusi tangan kedua atau “second hand” yang berkemungkinan ada pijat.
Dengan berdirinya panggung Rex ini, pada Hari Raya warga Jelebu mempunyai pilihan.
Boleh menonton Nordin Ahmad dan Latifah Omar di Ruby atau P Ramlee dan Saadiah di Rex.
Di panggung Rex inilah pertama kalinya aku menonton filem Antara Dua Darjat (1960).
Filem ini garapan dan lakonan P Ramlee.
Aku kagum dengan filem ini walaupun sudah lima tahun diterbitkan.
Satu hari Majid memberi tahu aku filem Elvis, Jailhouse Rock (1957) akan sampai ke Petaling.
Aku ada juga menonton filem Inggeris, filem perang atau “koboi”.
Aku hanya bijak melihat gambar bergerak.
Tak tahu apa buah butir kata-kata dari para pelakon.
Yang aku kenal ialah hero dan orang jahat. Watak-watak ini wajib dikenal awal.
Wajib dikenal juga minah bergetah kekasih hero.
Bila sudah kenal semua watak-watak ini maka tidak susah untuk aku mengikuti aksi tembak menembak atau bunuh membunuh.
“Jailhouse Rock … ini filem apa?” Aku bertanya pada Majid.
“Cerita Elvis dalam jel…dia masuk jel dalam lokap… aku dah tengok dulu di Seremban.”
Majid bercerita dengan bangga.
“Filem koboi ke?” Aku bertanya lagi.
“Filem rock n roll.” Majid menjawab sambil menggoyangkan pinggul dan badannya.
Aku merasa pelik. Aku belum pernah mendengar filem rock n roll.
“Pergilah tengok rock n roll Elvis….aku pun nak tengok sekali lagi.” Majid meyakinkan aku.
Ketika itu tiket paling murah harganya 40 sen. Aku wajib ada 50 sen.
Duit tiket dan modal untuk mengunyah kuaci dan gula-gula.
Agak mustahil juga nak mencari 50 sen dengan sekelip mata.
Petang itu aku terjumpa Ayen yang setahun lebih tua daripada aku.
Nama penuh Raja Ibrahim anak kepada Raja Husin, tukang main silap mata yang tersohor di Negeri Sembilan.
“Majid kata filem Elvis sampai ke Petaling… nak gi?” Aku membuat cadangan.
“Bila? Elvis rock n roll tu ke ? Penyanyi tu? Dia berlakon juga ke?” Ayen pun tahu siapa Elvis ini.
“Malam lusa. Kau ada basikal? Kalau ada kita naik berdua.” Aku memberi cadangan.
“Kalau jumpa Tauke Lim… dia boleh beri kita masuk free. Dia kenal Pak Engku…dulu Pak Engku rekomen dia dapat JP.”
Ayen bersurah bagaimana tuan panggung dianugerahkan pingat Jaksa Pendamai (JP) dari Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Pak Engku, Raja Husin ayah Ayen yang melobi.
Hari tayangan sampai. Petang itu aku hanya ada 40 sen. Cukup untuk beli tiket. Tapi kalau Tauke Lim ada aku yakin kami dapat masuk percuma.
Ayen berjaya mendapatkan satu lagi basikal untuk aku. Maknanya aku tak perlu membonceng. Ini basikal tua tapi masih boleh dikayuh.
Kami sampai ke Petaling pukul lapan lebih.
Filem pusingan pertama sedang diputar. Kami menunggu tayangan kedua.
Bakal penonton tidak ramai. Sementara menunggu aku melihat poster dan gambar filem yang sedang dan yang akan ditayang.
Aku lihat gambar iklan wayang, “Now Showing”, Elvis berdiri memakai baju penjara.
Elvis dalam lokap. Aku lihat juga gambar filem Cina “Coming Soon”.
Gambar-gambar ini penting untuk menarik bakal penonton.
Bosan juga menunggu tayangan tamat.
Lalu aku mengintai di celah dinding papan panggung yang retak. Mata aku memerhati.
Aku nampak Elvis berkata-kata kemudian dia main gitar dan ramai orang yang ikut dia menari seperti Majid menggoyangkan pinggulnya.
Hebat Elvis ini. Aki jadi berahi. Aku tak sabar nak menonton.
Tayangan pertama selesai. Kami menunggu pintu tiket dibuka. Hanya ada lapan orang bakal penonton yang menunggu tayangan kedua.
Tiba-tiba penjual tiket muncul dari dalam bilik tiket dan berkata: “Tak ada tayangan kedua… orang tak ramai. Khalas.”
Bayangkan betapa kecewanya hati aku malam itu.
Lima batu aku mengayuh basikal dengan niat yang suci untuk menonton Elvis Presley bermain gitar, menyanyi dan bertandak.
Tayangan Jailhouse Rock dibatalkan.
Ramai juga penonton yang keluar dari panggung.
Mereka kelihatan senyum gembira terhibur oleh Elvis, bukan seperti aku yang kecewa.
Ayen dan aku mengheret basikal mengekori penonton yang keluar. Ramai juga penonton yang berbasikal pulang.
Aku nampak beberapa abang-abang dari Kampung Ulu Jelebu dari Kampung Sarin.
Beberapa anak muda dari Kampung Chenor yang mukanya pernah aku lihat.
Jalan raya kosong tidak berkereta. Ada yang memasang lampu basikal dan ada yang tidak.
Malam agak terang. Mungkin bulan purnama berlalu empat lima malam yang lalu.
Tetapi cahaya bulan masih ada. Basikal lama aku tidak ada dinamo untuk lampu basikal.
Untuk selamat aku mengekor basikal Ayen.
Tiba-tiba hampir sebatu untuk sampai ke pekan Kuala Klawang, aku ternampak beberapa sosok sedang mengheret basikal. Aku tak tau apa yang berlaku.
Tiba-tiba bila aku sampai rupa-rupanya dua mata-mata menahan tiga penunggang basikal yang tidak berlampu.
Ayen dan aku sampai di hadapan mata-mata.
“Turun.. turun… tak ada lampu.” Mata-mata memberikan arahan.
Dengan takut aku turun dari basikal. Ayen terus mengayuh kerana basikal dia berlampu.
“Tok… bulan torang Tok, buek apo pasang lampu? Ado lampu tuhan ….den pakai lampu tuhan.”
Suara salah seorang dari Orang Kena Tahan (OKT) yang mengheret basikal.
“Jangan banyak cakap, semua pergi balai.” Arahan mata-mata.
Lima OKT mengheret basikal sejauh satu batu menuju ke rumah pasung di tepi pekan Kuala Klawang.
Bila kami sampai ke rumah pasung aku nampak Ayen dan dua anak muda dari Kampung Chenor dan Sarin sedia menunggu kami.
Kami OKT dibawa masuk ke bilik lokap kecil. Bilik lokap ini berjaring besi.
Aku boleh nampak apa yang berlaku di luar.
Kami berlima, empat lelaki dewasa dan aku seorang kanak-kanak duduk di atas kerusi panjang.
Di luar aku perhatikan mata-mata sedang membuat kerja.
Aku merasa gentar juga bila ditangkap.
Siapa pun jika di tangkap mata-mata pasti takut. Bila masuk lokap aku lagi gentar.
Tapi dengan abang-abang yang ada bersama dalam lokap menjadikan ketakutan aku tidak memuncak.
“Kao takut ko jang?” Abang dari Kampung Sarin bersuara.
“Sampai bilo kito di sini?” Aku bertanya tanpa dapat jawapan.
Kemudian aku dengar suara mata-mata di luar lokap.
“Ada penjamin di sini…pergi cari mak bapak untuk jamin budak ni.”
Aku terdengar suara mata-mata memberi arahan kepada Ayen dan kawan-kawan di luar yang sedang menunggu.
Ayen beredar. Kami dalam lokap duduk menanti penjamin. Hampir satu jam kemudian seorang lelaki sampai untuk menjamin abang Kampung Sarin.
Seorang OKT keluar. Tinggal kami berempat menunggu
“Tadi kito nengok cerito Elvis dalam jel. Ni kito pulak kono masuk jil.”
Abang dari Ulu Jelebu membuat lawak.
“Jang kau tak sekolah ko?” Dia bertanya pada aku.
“Sekolah…. esok pagi sekolah.” Aku memberi jawapan.
“Ekao minat Elvis ko ni? Tadi dio main gitar dalam lokap. Den kok ada gitar pun malam ni den pun boleh main.”
Abang Ulu Jelebu ini bangun bergaya memetik gaitar dan menggoyang-goyangkan pinggul sama seperti yang dilakukan oleh Majid.
Kami semua ketawa terhibur.
“Dalam jel pun Elvis tak takut. Den pun samo.. den tak takut kito bukan pencuri. Basikal den tak do lampu.” Dia memberi penjelasan.
Aku berfikir Ayen akan mengayuh cepat. Dia akan ke rumah aku. Keluarga aku pasti semua sudah tidur. Pasti mereka terperanjat mendengar berita aku kena tangkap.
Aku tahu abah aku akan datang menjamin. Tapi aku juga takut apa yang akan dilakukan kepada aku. Apakah aku akan kena rotan? Ini merisaukan juga.
Dua penjamin sampai. Dua OKT bebas.
Tinggal aku dengan abang Ulu Jelebu. Kami berpandangan.
Aku hairan kenapa tak ada siapa datang menjamin dia. Ulu Jelebu tidak jauh berbanding dengan kampung aku di Batu Serambai.
“Cilako… tak berlampu pun salah.”
Abang yang berumur 20-an ini bangun sambil membetulkan rambutnya.
Kemudian dia menggoyangkan pinggulnya seperti Elvis.
Kami sama-sama terbarai ketawa.
“Den jadi Elvis dalam lokap.” Dia terus duduk.
Hampir jam 2.00 pagi Abah aku sampai. Dia berurus dengan mata-mata.
Kemudian aku keluar dari lokap.
Yang aku tinggalkan dalam lokap seorang diri abang dari Ulu Jelebu.
“Kemana tadi?” Abah bertanya.
“Nengok wayang dengan Ayen.”
“Basikal sapa ni?” Abah bertanya pendek.
“Pinjam dari Ayen.”
Abah aku menghulurkan sebiji lampu picit untuk memastikan aku tidak sekali lagi di tangkap mata-mata.
“Bulan depan kena bicara.” Abah aku menerangkan ringkas.
Kami mengayuh tiga batu untuk sampai ke rumah. Inilah perjalanan basikal paling sunyi untuk aku.
Esok paginya aku masih sempat mengambil bas ke sekolah.
Dalam kelas aku bercerita pada Jamaludin kawan sebelah bangku tentang aku kena tangkap kerana basikal tak berlampu.
Berita ini merebak. Semua nak tahu apa yang terjadi.
“Kau tengok Jailhouse Rock ke?” Zul bertanya.
“Tak jadi tayang.”
“Kena tangkap? Ada bicara ke?” Jamal bertanya.
“Bulan depan…court Klawang.” Aku memberi penjelasan.
Lepas rehat jam 10.00 pagi aku merasa letih.
Bila masuk jam 12.00 letih dan mengantuk terkumpul.
Aku tak cukup tidur. Kelas Bahasa Inggeris Mister Lee aku menangkup muka ke atas meja. Kemudian aku tertidur.
Tertiba aku terdengar suara: ”Sir.. sir police catched him sir..last night. Bicycle no lamp.”
Aku terperanjat dan terus terjaga.
Aku ingatkan tuan hakim di depan aku. Salah.
Mister Lee berdiri di tepi meja aku. Mister Lee memandang muka aku kemudian beredar tanpa melakukan apa-apa.
Aku menjadi segar kembali sehingga loceng akhir berbunyi untuk bersurai pulang.