- Iklan -
Editorial

Kebanjiran ahli politik musim bencana

Rakyat biasa membuktikan mereka tidak memerlukan publisiti untuk membantu mangsa terjejas akibat banjir.

Abdar Rahman Koya
3 minit bacaan
Kongsi

Ahli-ahli politik dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang menjadi sasaran kecaman kerana mementingkan kemas kini media sosial dengan gambar-gambar memaparkan mereka turun ke kawasan banjir, ketika politik pecah belah berterusan di sebalik banjir terburuk yang melanda negara sejak 2014.

Gambar dan video – ada yang diubah suai dan dipotong bagi menjayakan mesej mereka – hanyalah sebahagian daripada bahan dalam talian yang disiarkan di media sosial oleh tentera siber politik tetapi dilihat orang awam sebagai jenaka, sindiran dan kemarahan selepas ia tular sewaktu bencana banjir, yang setakat ini meragut lebih 30 nyawa.

Antaranya ialah klip video menteri besar Selangor “menyelamatkan bayi” dari tingkat satu sebuah rumah, sambil aksi “berani” itu dirakamkan oleh kamera yang diletakkan secara strategik.

Ataupun imej wajah Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar yang menghiasi kotak bantuan.

Ataupun Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkayak meninjau kawasan banjir, yang kemudian berehat untuk makan tengah hari ketika bajunya habis terpalit lumpur, iaitu apa yang disifatkan seorang pengulas sebagai satu bentuk “narsisisme” ahli politik dalam berdepan dengan banjir.

Tidak ketinggalan juga gambar seorang ahli Parlimen di pusat peranginan salji di Iran, tanpa menyedari gambar itu tidak kena pada tempat dan masaya, seperti mana gambar Najib Razak yang bermain golf di Hawaii ketika banjir besar 2014 menyebabkan 200,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Malah penjelasan Hasanuddin Yunus, ahli Parlimen Hulu Langat dari Amanah itu, juga tidak jauh bezanya dengan alasan yang diberikan Najib sebelum ini – iaitu beliau melakukan “diplomasi golf” bersama Barack Obama demi “kepentingan negara”.

“Kepentingan negara” itulah yang menjadi alasan Najib ketika perbicaraan kes rasuahnya, hujah yang dilemparkan balik kepada beliau oleh hakim Mahkamah Rayuan yang menyifatkannya “memalukan negara”.

Hasanuddin pula mendakwa beliau terlibat misi tiga negara di Turki, Pakistan dan Iran, bertemu tokoh penting bagi membincangkan projek kebajikan dan perumahan untuk pelarian.

Hasanuddin nampaknya tidak berhenti di situ dalam misi kemanusiaan bagi menyelamatkan dunia. Selang beberapa hari, beliau tampil dengan alasan “kepentingan negara”, apabila berkata beliau turut mempromosi minyak sawit Malaysia kepada pemimpin Iran!

Ketika semua ini berlaku, pemimpin utama parti politik sibuk menyalahkan sesama sendiri.

Baik di Selangor atau di Putrajaya, pertikaman lidah secara terbuka itu hanya menunjukkan mereka jahil akan peranan dan tanggungjawab mereka.

Rakyat biasa Malaysia juga tidak arif tentang karenah birokrasi yang menjadi sifat mana-mana kerajaan, namun ketika saat terdesak mereka membuktikan pekerja parti dan tukang ambil gambar tidak perlu dalam membantu mangsa.

Sama ada kawasan kampung di Hulu Langat, perumahan kos rendah di Klang atau pangsapuri di Shah Alam, orang ramai menunjukkan sifat kemanusiaan dalam menyelamatkan mangsa-mangsa banjir, bukannya macai dalam talian atau penyokong mereka yang sibuk beremosi menghangatkan lagi pertikaian dalam kalangan ahli politik.

Sekitar dua dekad lalu, ketika tsunami melanda beberapa kawasan seperti Aceh dan Sri Lanka, muncul apa yang digelar sebagai “pelancong bencana”, di mana pelawat bertopengkan pekerja amal turun bagi menyaksikan kemusnahan alam yang sebelumnya hanya dilihat dalam filem Hollywood.

Hari ini, kita melihat sendiri bagaimana “ahli politik bencana” sama ada dari kerajaan negeri atau persekutuan, menunggang isu banjir untuk menutup kegagalan mereka dalam menangani krisis itu, dengan meredah lumpur dan but kuning berkilat.

Sedangkan banjir yang berlaku adalah bencana yang berlaku setiap tahun dan penduduk di Shah Alam, terutamanya yang tinggal di Taman Sri Muda dan Batu Tiga, tidak melihat sebarang usaha serius bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Jika sebahagian usaha promosi diri sendiri di media sosial itu digunakan untuk merancang langkah pencegahan banjir, rakyat sanggup menutup mata walaupun ada wakil rakyat yang memberi alasan terperangkap di luar negara kerana membantu “ibu tunggal” di tengah jalan Amsterdam.

Hakikatnya, generasi demi generasi penduduk di kawasan miskin Selangor, sama ada di Taman Sri Muda di Shah Alam atau Taman Dato Harun di Petaling Jaya tidak tahu apa maknanya hidup di “negeri paling kaya” di Malaysia itu.

Terdapat beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, dan Shah Alam yang dilihat terabai, mirip dengan zon perang.

Pokok-pokok yang tumbuh liar, lalang, longkang tersumbat, bahan buangan pembinaan walaupun projek sudah lama siap, sampah sarap yang tidak dikutip, semua ini adalah masalah yang mudah diselesaikan jika ada kesungguhan dari seorang wakil rakyat.

Tetapi ramai daripada mereka lebih berminat tersenyum untuk kain rentang ucapan perayaan, yang kekal tergantung walaupun musim raya sudah lama berlalu.

Ahli-ahli politik bersungguh-sungguh menunjukkan mereka prihatin kepada rakyat dengan bergelumang dengan lumpur untuk dirakamkan kamera.

Mereka seronok mendapat pujian dalam kemas kini media sosial dan komen tentera siber yang mereka sendiri bayar.

Mereka tidak sedar yang diri mereka itu terpalit lumpur yang menjijikkan rakyat.