- Iklan -
Kolum

Banjir Taman Sri Muda jadi titik mula suatu kesedaran baru

Maknanya sesiapapun menjadi kerajaan pada masa akan datang wajar melihat keseluruhan faktor apa yang menyebabkan banjir.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Banjir di Taman Sri Muda minggu lalu, yang kini sudah surut bukan saja masih mengganggu penduduknya tetapi juga sebahagian rakyat negara ini.

Bagi penduduknya, mereka tentulah sibuk membersihkan kediaman masing-masing dan meneruskan hidup dengan menanggung kerugian besar.

Bagi sebahagian rakyat negara ini yang aktif dalam media sosial turut terkesan perasaan atas tragedi yang memberi pelbagai makna kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Banjir bukan saja berlaku di Taman Sri Muda hujung minggu lalu.

Ia juga berlaku di kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

Tetapi apa yang berlaku di situ adalah suatu yang istimewa kerana ia mendedahkan kelemahan negara ini, baik pada peringkat kerajaan mahupun masyarakat.

Dengan terdedahnya kelemahan ini, ia mencetuskan kesedaran baru bagi mereka yang mahu memperbaiki keadaan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengakui kelemahan kerajaan dalam kegagalannya bertindak cepat bagi membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda.

Berita ini tersebar di seluruh dunia dengan ia disiarkan oleh stesen televisyen NHK, DW, BBC dan Al-Jazeera.

Malaysia sebelum ini jarang sangat mengalami bencana untuk dijadikan bahan berita.

Bagi rakyat Malaysia, kesusahan yang ditanggung oleh mangsa sepatutnya tidak sebesar itu jika sistem dan struktur kerajaan berjalan lancar.

Perdana menteri juga menyebut bahawa bukan saja kerana kelemahan kerajaan persekutuan tetapi juga semua pihak.

Maksudnya daripada kerajaan negeri hinggalah kepada pihak berkuasa tempatan.

Malah bagi saya, pihak swasta, seperti pemaju yang terlibat turut wajar bertanggungjawab.

Serta juga masyarakat setempat, iaitu dalam perkara-perkara berkaitan persekitaran.

Malah banjir di Taman Sri Muda juga berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa terdahulu, menjangkau 40 tahun lalu.

Saya pernah pergi ke Taman Sri Muda pada tahun 1997.

Pada masa itu tidak banyak bangunan yang dibina seperti sekarang.

Saya pergi ke kawasan paling hujung taman itu dan berdiri hampir dengan sungai.

Lalang dan pohon sendayan memisahkan jalan dengan sungai.

Di seberang kawasan perumahan itu adalah ladang kelapa sawit.

Saya memerhati bahawa air penuh di sungai dan ia mengalir perlahan menuju kuala.

Sementara kawasan perumahan itu dirasakan begitu rendah.

Terdetik dalam hati saya ketika itu ialah kalaulah air melimpah dari sungai, ia merupakan sesuatu yang tidak mustahil, pasti rumah-rumah teres akan ditenggelami air.

Saya juga pernah melalui kawasan Subang Jaya, Kelana Jaya dan Puchong sebelum dibangunkan pada tahun 1980-an.

Ketika itu ia penuh dengan lombong-lombong bijih timah.

Dari jalan, kelihatan lombong-lombong itu penuh dengan air.

Apabila lombong-lombong itu dikambus dan dibina bangunan-bangunan, tentu menjadi persoalan, ke manakah air itu disalurkan?

Apabila hujan lebih daripada biasa, sempatkah ia mengalir ke laut tanpa membanjiri kawasan perumahan?

Dengan pembinaan banyak kilang, tentulah mereka memerlukan pekerja.

Maka datanglah penghijrah yang ramai dari luar Selangor.

Taman Sri Muda didirikan di atas ladang getah dan kelapa sawit, Merton Estate yang terletak di Mukim Klang.

Syarikat asalnya kemudian menjual ladang itu kepada syarikat lain yang memajukannya.

Projek pembangunan itu dilaporkan bermula pada tahun 1982 dan dirasmikan oleh menteri besar Selangor pada ketika itu, Ahmad Razali Ali setahun kemudian.

Pada masa itu banyak kawasan lombong dan getah di seluruh Selangor bertukar wajah untuk menjadi kawasan perumahan, komersial dan perindustrian.

Hulu Klang, Bangi, Serdang, Puchong, Petaling dan Damansara pesat membangun.

Dengan pembangunan itu ramai orang yang mengaut keuntungan, baik dari kalangan ahli perniagaan atau pun ahli politik.

Taman Sri Muda diapit oleh Sungai Klang dan Sungai Damansara.

Sungai Klang ini membawa air dari Genting Klang dan Ulu Klang.

Air ditambah dari Sungai Ampang dan kemudiannya dari Sungai Gombak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lunpur.

Pada tahun 1995, NST menyiarkan gambar dan laporan mengenai Taman Sri Muda mengalami banjir akibat limpahan air Sungai Klang dan Sungai Damansara walaupun tidak ada hujan di kawasan itu.

Minggu lalu ketika ramai orang marah dalam media sosial mengenai banjir itu, tersebar satu maklumat bahawa Taman Sri Muda itu asalnya merupakan kawasan penampungan air berlebihan.

Maknanya kawasan itu tidak wajar menjadi taman perumahan.

Ia seharusnya menjadi tempat takungan air untuk menghalang kawasan lain daripada banjir.

Apabila ia dibangunkan juga, pemaju wajar mendirikan benteng bagi menghalang air sungai daripada masuk kawasan perumahan.

Walaupun dikatakan pemaju berjanji tetapi ia tidak dibina.

Ada warganet yang menuntut supaya siasatan dilakukan dan masalah ini ditangani.

Tetapi apa yang dialami oleh Taman Sri Muda dirasakan juga berlaku di tempat lain.

Banyak kawasan yang dirasakan wajar menjadi rizab untuk menjadi tempat penampung air diambil bagi pembinaan rumah.

Ketika keghairahan untuk membuat pembinaan dengan mengaut keuntungan atas keperluan rumah oleh rakyat, perkara-perkara ini kelihatannya bukan menjadi keutamaan, apatah lagi apabila difikirkan bahawa banjir hanya berlaku beberapa tahun sekali.

Juga ketika berlaku banjir baru-baru ini, tular video bahawa pada bulan November, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning, Ganabatirau yang perwakilannya meliputi Taman Sri Muda marah-marah kepada Jabatan Pengairan Saliran kerana mereka tidak membaiki alat pengepam air yang rosak sedangkan kemungkinan banjir berlaku pada Disember.

Memang benar berlaku banjir dan pengepam itu tidak berfungsi.

Peristiwa ini membawa kepada persoalan kepada kecekapan jabatan-jabatan kerajaan.

Ada satu persepsi dalam kalangan sebahagian masyarakat bahawa jentera kerajaan tidak bekerja secara jujur, cekap dan bersungguh-sungguh.

Maknanya bukan saja mereka mempersoalkan mutu kerja ahli politik yang berjawatan tetapi juga pegawai dan kakitangan kerajaan.

Tetapi kecaman paling besar semasa banjir ini adalah terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara atau Nadma yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ditambah pula kenyataan menteri dan pengerusi agensi yang meningkatkan lagi kemarahan orang ramai.

Kemarahan ini disuarakan secara bertubi-tubi oleh ramai warganet.

Ia memberi tekanan kepada kerajaaan untuk bertindak.

Perkara ini turut dibawa oleh pihak pembangkang ke Parlimen tetapi dihalang oleh speaker.

Media sosial dan media massa internet memainkan peranan besar dengan memberi kesedaran baru terhadap kelemahan kerajaan dalam bersiap sedia menghadapi bencana.

Bukan saja kerajaan tetapi juga pihak berkuasa terdahulu.

Maknanya sesiapapun menjadi kerajaan pada masa akan datang wajar melihat keseluruhan faktor apa yang menyebabkan banjir.

Pada masa akan datang keadaan akan lebih teruk lagi kerana perubahan iklim dan pemusnahan hutan yang lebih besar.

Kerajaan pula perlu diberi tekanan untuk berubah bukan saja oleh parti politik tetapi juga NGO, sektor swasta dan persatuan-persatuan penduduk.

Peranan mereka bukan saja memberi bantuan semasa banjir dan pasca banjir tetapi juga usaha mengelak banjir.

Sebarang bencana pasti memberi kesan kepada sektor swasta juga.

Maka ia bermakna bencana yang menimpa Taman Sri Muda akan menjadi permulaan bagi suatu kesedaran untuk berubah.

Jika negara dan rakyat tidak berubah, bencana ini akan berulang untuk menimpa generasi akan datang dengan keadaan lebih buruk.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.