- Iklan -
Rencana

Sukan medium terbaik bagi memupuk integrasi Keluarga Malaysia

Rakyat Malaysia secara umumnya amat sinonim dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Nur ‘Ain binti Sakery
3 minit bacaan
Kongsi
Aksi tangkas regu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang lawanya dari  Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon di pusingan penyingkiran pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza. Gambar: Bernama
Aksi tangkas regu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang lawanya dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon di pusingan penyingkiran pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza. Gambar: Bernama

Sejarah menunjukkan pemimpin pertama yang berperanan sebagai pemangkin kepada keutuhan perpaduan ialah Tunku Abdul Rahman yang juga merupakan perdana menteri pertama di Malaysia.

Demi menyokong aspirasi perpaduan, sukan adalah antara unsur yang dilihat sebagai medium penyatuan pelbagai etnik yang paling berkesan di Malaysia.

Hal ini kerana rakyat Malaysia secara umumnya amat sinonim dengan semangat kesukanan yang tinggi dalam masyarakat.

Contohnya, sewaktu kejohanan Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung pada bulan Julai lalu, sokongan yang diberikan kepada pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak dalam acara keirin disambut meriah oleh seluruh rakyat walaupun tidak melihatnya secara langsung.

Kejayaan ini tentunya menyuntik elemen integrasi antara rakyat apabila masing-masing memberi sokongan di bawah bendera yang sama dan mengenepikan perbezaan etnik.

Dalam pada itu juga, sukan paralimpik yang berlangsung sejurus tamatnya sukan olimpik memaparkan detik berharga buat atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang melakarkan kejayaan sebagai atlet pertama negara yang memperoleh pingat emas dalam kategori 72kg.

Atlet kelahiran Sarawak dan berketurunan Bidayuh itu berjaya membuktikan bahawa perbezaan etnik antara atlet dan jurulatih bukanlah penghalang sebaliknya menjadi kekuatan dalam memperoleh kejayaan apabila beliau turut dilatih oleh Jamil Adam iaitu jurulatih berbangsa Melayu.

Jika dilihat dari sudut pandangan yang berbeza juga, sukan bukan hanya mampu menjadi agen perpaduan masyarakat, sebaliknya turut meraikan mereka yang tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, kita juga dapat melihat pelbagai kejayaan yang diraih atlet negara hasil kerjasama dan persefahaman yang tinggi antara mereka walaupun mempunyai kepercayaan yang berbeza.

Gandingan atlet badminton lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin misalnya telah berjaya menundukkan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan di Kejohanan Terbuka Indonesia.

Pencapaian membanggakan gandingan muda yang sedang meningkat naik ini tidak lain tidak bukan menunjukkan bahawa benteng kejayaan bukanlah disebabkan perbezaan etnik.

Kejayaan yang ditunjukkan ini mengajar kita bahawa selagi kita membawa bendera yang sama di dada, tiada alasan yang dapat mematahkan semangat tali persaudaraan antara kita.

Begitu juga dengan skuad bola sepak kebangsaan yang dibarisi pemain dari berbilang etnik. Skuad negara yang berada di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe ini telah banyak membawa kepada penyatuan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum saling bersinergi dalam menjadi penyokong utama skuad Malaysia.

Buktinya, sokongan dan sorakan daripada kumpulan penyokong Ultras Malaya tetap setia di tepi padang walaupun di mana jua perlawanan diadakan. Oleh sebab itu, kumpulan penyokong ini turut digelar sebagai pemain ke-12 permainan.

Semangat kesukanan ini juga sering dilihat apabila penyokong bola sepak kebangsaan yang merangkumi masyarakat cina, melayu mahupun india duduk bersama di bangku penonton dan menyanyikan lagu sorakan yang sama beramai-ramai. Momen ini sentiasa dianggap sebagai perkara yang mengharukan kerana kita dapat melihat bahawa walaupun negara sering diancam dengan pelbagai cara untuk memecah belahkan masyarakat, masih ada peluang yang terselit untuk kita kembali erat.

Di samping itu, melalui sukan juga, para atlet dapat saling mempelajari pelbagai bahasa. Perbezaan etnik ini sememangnya memberikan pelbagai kelebihan dan peluang dalam mempelajari pekara baharu kepada mereka.

Dalam sebuah temu bual bersama Astro Arena, atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menampilkan kebolehannya yang fasih berbahasa mandarin. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memandang perkara sebegini sebagai perkara yang positif kerana bukan semua negara mampu memupuk semangat toleransi yang tinggi sebagaimana yang ditunjukkan oleh rakyat di negara kita.

Kelebihan ini juga membuktikan bahawa kewujudan perbezaan etnik di negara kita bukan bertindak sebagai petualang yang memundurkan kemajuan intelektual masyarakat.

Namun demikian, dalam setandan pisang, ada yang elok dan tetap ada juga yang buruk.

Begitu juga dengan masyarakat kita. Walaupun sukan sering dianggap sebagai medium utama penyatuan masyarakat di negara kita, tidak dinafikan masih ada segelintir daripada mereka yang berfikiran dangkal mengenai hal tersebut.

Hal ini membuka mata pelbagai pihak apabila terdapat kecaman dan cemuhan berbaur perkauman dilemparkan kepada atlet badminton perseorangan wanita negara, Kisona Selvaduray baru-baru ini susulan prestasinya yang kurang memeberangsangkan di Kejohanan Piala Sudirman pada bulan September lalu.

Menerusi temu bual bersama akhbar Sinar Harian, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan perkara sedemikian tidak melambangkan Malaysia sebagai sebuah keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk. “Tak kira keluarga malaysia kita ini terdiri daripada etnik Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau Murut, mereka juga berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia. Jangan kita hina bangsa, kulit, agama sesiapa juga yang telah berjuang mengharumkan negara,” tambah beliau.

Pada dasarnya, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku bagi sesebuah negara yang sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan. Namun, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya memastikan api perkauman yang timbul ini tidak terus memadam semangat persaudaraan antara kita. Apapun jua keputusan yang dihasilkan oleh atlet negara, kemenangan mereka seharusnya dibanggakan manakala kekalahan mereka sewajarnya dihargai.

Pelbagai kejayaan telah dilakar negara dalam bidang sukan yang membawa kepada perhubungan masyarakat yang lebih erat.

Kejayaan ini juga dapat menempa nama Malaysia di persada antarabangsa seterusnya memperkenalkan kepada masyarakat luar tentang keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Sebagai rakyat Malaysia yang mengutamakan keharmonian kaum, seharusnya kita menolak sekeras-kerasnya pertikaian dan pemisahan kaum yang wujud dan berusaha mengekalkan integrasi antara kita.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.