Ketika banjir besar melanda Pahang yang menyebabkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup, rakyat yang terpaksa berulang-alik menggunakan negeri Pahang sebagai pengantara dikejutkan dengan prestasi memberangsangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di media sosial.
Laman Facebook JKR Pahang hampir setiap masa memaparkan Pelan Laluan Alternatif (Banjir) Bagi Negeri Pahang untuk rakyat meneruskan perjalanan di seluruh negeri Pahang, dari Kuantan ke Kuala Lumpur, mahupun jalan menyelusur ke Gua Musang, Kelantan.
Petanya yang dipaparkan ke Google Drive cukup jelas menunjukkan jalan persekutuan yang boleh dilalui setiap masa termasuklah jalan alternatif Kuantan-Kuala Lumpur melalui Kuala Pilah mahupun Segamat dan jalan ke Gua Musang.
Setiap pertanyaan pengguna Facebook memohon jalan alternatif juga dijawab dengan baik dan cepat berdasarkan situasi semasa.
Insiden banjir ini juga menyebabkan rakyat mula menumpukan perhatian kepada laporan-laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi.
Kehebatan Jabatan Meteorologi adalah di aplikasinya MyCuaca.
Ramai yang tidak pernah memuat turun aplikasi MyCuaca ini di IOS mahupun Android.
Sedihnya, ramai yang tidak pernah tahu kewujudan aplikasi tersebut, termasuklah yang mengkritik jabatan itu.
Tahniah kepada Jabatan Meteorologi kerana mempunyai aplikasi yang bertaraf antarabangsa.
Perlu diingatkan Jabatan Meteorologi di bawah kementerian alam sekitar dan air adalah jabatan yang sama memberikan data kepada penerbangan antarabangsa serta lalu lintas maritim.
Oleh itu, laporan mereka sentiasa terkini dan boleh dipakai.
Jika tidak, sudah tentu banyak musibah yang tidak disengajakan berlaku.
Namun begitu, rakyat Malaysia sememangnya kurang mengambil tahu mengenai cuaca.
Tepuk dada tanya sendiri, ada sesiapa yang tengok ramalan cuaca sebelum merancang perjalanan di Malaysia?
Contohnya, mereka yang bekerja di Lembah Klang, ada sesiapa yang menyemak ramalan cuaca dan merancang untuk pulang lebih lewat hari ini untuk mengelakkan hujan petir?
Biasanya, apabila hujan sudah turun, barulah dirancang keputusan sama ada meneruskan perjalanan mahupun tidak.
Jarang kita membuat sebaliknya.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang tidak pernah banjir, usahkan laporan Jabatan Meteorologi bahkan berita ribut petir pun tidak diambil kisah.
Tahniah kepada JKR Pahang dan Jabatan Meteorologi yang membawa sinaran positif di tengah kemelut banjir ini.