- Iklan -
Kolum

Mengharapkan sinar kebaikan 2022

Namun jika dilihat pada tahun lalu, ketika 2020, harapan yang serupa pernah ditampilkan untuk tahun 2021.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Tahun 2021 berakhir dengan suasana tekanan bagi Malaysia dan adakalanya dirasakan bahawa tidak akan berlaku perubahan kepada keadaan lebih baik untuk tahun 2022.

Banjir, kehilangan harta-benda, kemusnahan hutan, korupsi, kelemahan kepimpinan ahli-ahli politik, kegagalan jentera kerajaan, ancaman varian Omicron Covid-19. keadaan ekonomi belum pulih dan pelbagai tekanan menjadikan rakyat berasa lemas.

Apabila membaca media massa dan sosial, maka yang terpapar hanyalah kisah-kisah buruk tentang negara dan rakyat Malaysia. Hinggakan ada netizen yang menulis: ” Setiap kali buka FB. Tak ada langsung berita positif pasal Malaysia. Apa dah jadi Malaysia ini.”

Juga tular satu tulisan yang turut disiarkan oleh media massa mengenai seorang bekas warga negara Malaysia yang berhijrah ke Barat. Tulisan yang enggan mendedahkan namanya menyatakan bahawa beliau tidak menyesal meninggalkan Malaysia.

Suasana Malaysia di hujung 2021 adalah suatu keadaan yang penuh marah, kesal, kecewa dan rasa tidak puas hati.

Tetapi keadaan yang tertekan ini bukan saja berlaku di negara ini, ia turut dirasakan di seluruh rantau Asia Timur.

Ancaman Covid-19 masih tidak reda. Dari Jepun, Korea Selatan, China hinggalah ke Australia, virus itu masih mengganggu penduduknya.

Begitu juga dengan bencana alam yang dikaitkan dengan perubahan iklim. Taufan di Filipina, kebakaran hutan di Australia dan banjir di China.

Pertembungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China pada tahun 2021 menambahkan gelora geopolitik dari Laut China Utara hingga ke Laut China Selatan.

Pakatan Aukus yang membawa kepada pembinaan kapal selam nuklear Australia tidak menjanjikan rantau yang lebih tenteram.

Di peringkat global, persaingan antara Barat dan Rusia juga meningkatkan ketegangan.

Ia bukanlah Perang Dingin baru. Rusia bukanlah Soviet Union. Tetapi tentera British dihantar ke Ukraine untuk menghadapi kemarahan Rusia.

Dalam pada itu, perubahan iklim sudah dirasai di seluruh planet.

Musim sejuk kali ini lebih dingin daripada tahun-tahun terdahulu di tempat-tempat tertentu.

Pada waktu sama, suhu tinggi lebih panas daripada sebelum ini.

Jerman dan beberapa tempat di Eropah turut dilanda banjir.

Sementara pelawanan terhadap Covid-19 menghadapi cabaran baru di seluruh dunia.

Daripada Omicron yang mula dikesan di Afrika Selatan kini memaksa perintah duduk di rumah di kawasan tertentu di United Kingdom, Perancis dan Jerman.

Maka jika menonton siaran berita di televisyen negara-negara di seluruh dunia, maka boleh dinyatakan: ” Setiap kali buka TV, Tak ada langsung berita positif pasal dunia. Apa dah jadi dunia ini.”

Jadi tidak menghairankan, ada sekumpulan manusia berusaha keras hendak meninggalkan planet ini.

Sebagai langkah awal, para bilionair pergi melancong ke angkasa.

Ia merupakan satu detik rehat bagi mereka daripada keserabutan masalah di bumi.

Apa yang berlaku pada tahun 2021 adalah sesuatu yang sudah berlalu.

Bukanlah tidak ada kebaikan pada tahun itu tetapi sifat manusia, media sosial dan pemberitaan kisah-kisah buruk akan mendominasi naratif.

Namun sememangnya Malaysia dan dunia berada dalam keadaan buruk, pada peringkat masing-masing.

Tetapi tahun 2022 baru bermula.

Harapan orang adalah tinggi supaya 2022 adalah berbeza, dan lebih baik dari 2021.

Tetapi harapan ini hanya boleh tercapai dengan bertindak.

Maknanya ini adalah sinar kebaikan untuk tahun 2022. Oleh kerana ia belum berlaku, maknanya ia masih boleh diharapkan.

Namun jika dilihat pada tahun lalu, ketika 2020, harapan yang serupa pernah ditampilkan untuk tahun 2021.

Tetapi rupanya keadaan pada tahun 2021 adalah lebih buruk daripada 2020. Bukan saja dari segi melawan Covid-19 di negara ini, tetapi juga dalam perkembangan politik negara.

Bagi Barisan Nasional (BN), 2021 mungkin dilihat sebagai tahun pencapaian berbanding 2020.

Kini mereka menerajui kerajaan setelah menumbangkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Mereka dapat mengikat Pakatan Harapan (PH) melalui MoU.

Ditambah pula mereka tidak perlu berpakat dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

BN menang besar dalam pilihan raya negeri Melaka.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan sekutu BN pula turut menang besar dalam pilihan raya negeri.

Jadi, pencapaian itu dirasakan boleh membawa kemenangan kepada BN jika pilihan raya umum diadakan pada tahun 2022.

Pembangkang pula sedang berpecah-belah. PN dan PH akan tentunya memecahkan undi penentang BN. Begitu juga dengan parti kecil lain seperti Pejuang dan Muda.

Namun, kemarahan rakyat ketika banjir melanda negara pada bulan Disember 2021 khususnya di Taman Sri Muda dan Pahang ditujukan pada kerajaan BN.

Bukan saja kerajaan BN yang ada sekarang tetapi kerajaan-kerajaan terdahulu. Ini kerana masalah sekarang berasal dan berkembang dari cara negara ini ditadbir sejak dahulu.

Mungkin walaupun dengan segala kemarahan dan kekecewaan itu, BN tetap akan menang dalam pilhan raya akan datang, tetapi tahun 2022 amat berbeza daripada era terdahulu.

Tentunya ia tidak sama dengan tahun 2012 dan 2002 ketika mana BN kuat.

Generasi sekarang sudah berubah. Anak-anak muda yang baru berpeluang untuk mengundi mempunyai fikiran berbeza daripada golongan yang terdahulu.

Mereka tidak menghargai, atau malah tidak dapat menerima naratif yang ada. Baik pada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Satu lagi ciri-ciri masyarakat sekarang ialah pengaruh media sosial dan netizen.

Bagaimana ia mencorak naratif masyarakat dapat dilihat semasa banjir baru-baru ini.

Kerajaan dan parti politik berusaha untuk mengendalikan naratif dan pengaruh yang dijana oleh media sosial.

Hanya ada kalanya mereka berhasil tetapi dalam banyak perkara, media sosial mempunyai kesan tersendiri yang berlainan.

Maka pada tahun 2022, perkara ini berkembang untuk muncul dalam bentuk lain.

Mungkin rakyat akan melupakan soal banjir dan kelemahan jentera kerajaan.

Tetapi mungkin ia menjalar kepada perkara lain.

Rakyat hendak tahu umpamanya, mengenai asal usul Taman Sri Muda, projek Canal City yang dibatalkan dan mengapa banjir itu menjadi begitu buruk.

Sementara soal penggondolan hutan, pembalakan dan banjir bukan saja di Pahang tetapi juga di Kedah dan Kelantan akan dipersoalkan.

Pihak-pihak yang berkaitan terus akan ditanya,dan tentunya perkara ini berkait dengan BN, dulu dan sekarang.

Kebanyakan rakyat negara ini tetap mahu tinggal di Malaysia.

Tidak semua yang mampu berhijrah akan meninggalkan negara ini.

Termasuk mereka yang mempunyai kemampuan memperoleh kerja lebih baik di negara maju.

Negara ini mungkin kehilangan banyak bijak pandai kerana mereka berhijrah. Tetapi tidaklah kesemuanya. Sesiapa yang tinggal akan berusaha memperbaiki keadaan.

Begitu juga dengan planet bumi.

Walaupun usaha dilakukan untuk pergi ke angkasa lepas, ia lebih kepada penyelidikan dan pelancongan.

Tetapi akhirnya manusia tetap mahu kekal berada di bumi serta memperbaiki keadaan.

Dalam tahun 2022, usaha akan terus dilakukan untuk melawan Covid-19 dan perubhan iklim walaupun golongan konservatif yang antisains dan antivaksin tetap wujud.

Tahun 2022 tetap mempunyai sinar kebaikan untuk manusia meletakkan harapan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.