Itu asas kepada rayuan saya kepada Panel Penasihat Lembaga Disiplin. Ada tiga aspek yang saya persoalkan mengenai keputusan menggantung saya selama enam tahun ini.
Pertama, aspek keputusan yang dibuat oleh Tribunal Lembaga Disiplin.
Soalannya, besar sangatkah kesalahan saya sehingga saya digantung selama enam tahun? Apa asas dan justifikasi apabila tribunal memutuskan hukuman ini?
1. Saya didakwa atas tiga kesalahan:
i. Memfitnah presiden berkenaan surat sokongan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
ii. Mengkritik presiden secara terbuka.
iii. Menghasut dengan cara memuat naik berita-berita mengenai saya yang disiarkan oleh media di laman Facebook saya.
Berkaitan perkara pertama, saya yakin tribunal tidak bertanya pun kepada pihak istana, menteri-menteri yang saya namakan sebagai saksi yang mengetahui tentang kewujudan surat tersebut malah sudah ada pengakuan mengenai kewujudan surat sokongan tersebut.
Berkaitan perkara kedua, yang tribunal dakwa sebagai “kritikan” hanyalah tajuk-tajuk yang media gunakan. Jika mereka membaca kandungannya, ia bukan kritikan sama sekali, ia hanya pandangan terhadap apa yang berlaku dan cadangan tentang apa yang perlu dilakukan oleh presiden untuk memulihkan keyakinan ahli.
Jadi, tribunal tidak wajar menghukum gantung enam tahun keahlian saya hanya kerana tajuk akhbar.
Mengenai dakwaan ketiga, bagaimana mungkin perbuatan memuat naik berita yang telah disiarkan oleh media ke Facebook peribadi saya boleh dianggap perbuatan menghasut? Tidakkah ia nampak sangat tidak wajar dan janggal?
Jadi kalau ketiga-tiga dakwaan tribunal ke atas saya tidak mempunyai asas, agak sukar untuk difahami kenapa saya dihukum dengan hukuman yang berat, iaitu enam tahun penggantungan, ia sama sahaja seperti mahu mematikan karier politik seseorang.
Saya tidak pernah memaki hamun presiden, menggunakan kata-kata kesat terhadap beliau, menuduh beliau dan timbalan presiden merompak duit, tidak pernah menyerang ahli keluarga beliau, tidak pernah membocorkan rakaman perbincangan mesyuarat sulit Umno atau tidak disabitkan dengan kesalahan rasuah dan politik wang.
Adakah kerana faktor-faktor lain? Jika atas faktor-faktor lain, kenapakah saya tidak didakwa atas faktor-faktor tersebut? Tiada sebarang penghakiman dan justifikasi diberikan mengenai hukuman ini seperti yang dibuat oleh mahkamah selepas menjatuhkan hukuman. Jadi sehingga sekarang saya tidak tahu apakah justifikasi Tribunal Lembaga Disiplin apabila menjatuhkan hukuman ini.
Perkara kedua yang menjadi asas rayuan saya adalah aspek proses untuk mengesahkan keputusan Lembaga Disiplin Umno oleh Mesyuarat Pengurusan Umno Malaysia dan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Perkara ini adalah proses parti yang pada pandangan saya, telah berlaku pelanggaran peraturan yang jelas dan membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa.
Untuk mengesahkan keputusan hukuman tribunal, laporan tribunal perlu dibawa kepada Mesyuarat Pengurusan Umno dan Mesyuarat MKT Umno. Dalam kedua-dua mesyuarat, saya dimaklumkan justifikasi dan fakta kes saya tidak dibentangkan, yang dibentangkan hanyalah keputusan tribunal dan tujuan pembentangan hanyalah untuk disahkan oleh anggota mesyuarat.
Berlaku pula pelanggaran peraturan apabila pengadu, iaitu Tengku Adnan sendiri ada dalam mesyuarat tersebut. Adakah keputusan Mesyuarat Pengurusan dan Mesyuarat MKT yang turut dihadiri oleh pengadu ini sah?
Ada ahli MKT yang memaklumkan kepada saya yang mereka tidak diberikan maklumat mengenai kes saya dan dalam mesyuarat MKT, Tengku Adnan pula bersuara mahukan hukuman dikenakan kepada saya.
Saya dimaklumkan oleh beberapa ahli MKT, Tengku Adnan menggambarkan seolah-olah kes saya ini adalah isu bahagian. Jadi timbul satu lagi persoalan, sahkah keputusan tersebut. Saya ini dihukum atas isu bahagian atau tiga dakwaan tadi?
Jadi saya minta panel rayuan untuk lihat semula keabsahan proses menjatuhkan hukuman ini.
Ketiga, keabsahan dan motif aduan yang dibuat oleh ketua Umno Putrajaya.
Seperti yang saya nyatakan dalam surat rayuan dan kenyataan media sebelum ini, Tengku Adnan tiada locus standi untuk membuat aduan dan cara dia mendapatkan tanda tangan AJK bahagian dan ketua-ketua cawangan boleh dipertikaikan kerana dicemari dengan tekanan dan penggunaan wang.
Saya yakin Tribunal juga tidak memanggil saksi-saksi yang telah membuat akuan bersumpah (SD) bagi mengesahkan perkara ini.
Atas ketiga-tiga asas ini, saya mohon panel rayuan untuk meneliti semula rayuan saya.
Saya berterima kasih terhadap semua anggota panel yang bersikap terbuka dan sudi mendengar hujah-hujah rayuan saya dan berharap mereka dapat mempertimbangkan semua hujah tersebut secara adil.
Tun Faisal Ismail Aziz adalah timbalan ketua Umno Putrajaya.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow