- Iklan -
Kolum

Menghadapi antivaksin untuk melawan Omicron

Huraian terperinci diperlukan untuk membezakan kumpulan-kumpulan yang keseluruhannya dipanggil sebagai antivaksin.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dunia, termasuk Malaysia sedang melawan varian Omicron virus Covid-19 di dua barisan depan.

Pertama, virus itu sendiri. Kedua, golongan yang dipanggil sebagai antivaksin.

Banyak lagi perkara mengenai Omicron yang tidak diketahui tetapi gelombang baru varian ini sedang melanda Unted Kingdom, Perancis dan negara-negara lain.

Bagi Malaysia, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, gelombang Omicron ini adalah “imminent”, iaitu sesuatu yang dijangka pasti berlaku.

Maka, apa yang boleh dilakukan ialah berusaha melambatkan kedatangan gelombang itu, sementara menanti hasil penyelidikan mengenai varian itu, serta cara mengatasinya.

Antara langkah segera yang dilakukan oleh kementerian kesihatan ialah mempercepatkan suntikan penggalak bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca dari enam kapada tiga bulan.

Suntikan penggalak ini bukanlah menjamin kekebalan tetapi ia mengurangkan impak jangkitan dan selanjutnya melengahkan sebarang gelombang Omicron.

Ramai orang yang sudah lengkap dua dos vaksin enggan mengambil suntikan penggalak atas pelbagai sebab.

Tetapi cabaran besar yang dihadapi oleh kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia adalah penentangan dari golongan antivaksin.

Lebih-lebih lagi apabila ditemui bahawa ada jemaah umrah yang tidak lengkap vaksin pulang membawa Omicron.

Apabila disiasat maka didapati ia berkaitan pula dengan mereka yang antivaksin.

Maknanya perbuatan golongan antivaksin akan menjejaskan usaha pihak berkuasa untuk membendung Covid-19.

Golongan antivaksin ini adalah suatu fenomena dunia.

Ia merujuk pada pelbagai jenis kumpulan yang menentang prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal Covid-19 hinggakan kepada mereka yang mempercayai teori konspirasi dan pendukung kebebasan.

Huraian terperinci diperlukan untuk membezakan kumpulan-kumpulan yang keseluruhannya dipanggil sebagai antivaksin.

Ini kerana antivaksin boleh menjadi label yang mengelirukan.

Lagipun setiap kumpulan ini mencerminkan persekitaran politik, sosial dan budaya masing-masing yang berbeza.

Dalam minggu lalu, ketika kerajaan Belanda bersiap sedia hendak menghadapi Omicron, beribu orang mengadakan demonstrasi dan rusuhan untuk membantah SOP bagi membendung Covid-19 khususnya mengenai larangan mereka yang tidak bervaksin lengkap mengunjungi kedai makan dan minum.

Mereka ini bukanlah antivaksin secara khusus, tetapi ada antaranya hanya menentang SOP dan diskriminasi terhadap golongan yang tidak bervaksin.

Asas kepada bantahan mereka ini adalah hak dan kebebasan untuk pergi ke mana-mana.

Mereka tidak mahu virus Covid-19 dan SOP menjadi penghalang.

Golongan ini menolak hujah kerajaan bahawa perkhidmatan kesihatan adalah terhad untuk menampung pesakit Covid-19 apabila berlaku gelombang wabak.

Walaupun mereka adalah pendokong kebebasan, tetapi dalam hal melawan Covid-19, mereka juga dilabel sebagai antivaksin.

Di Malaysia, golongan antivaksin bernada agama.

Sebahagiannya merupakan pendukung “teori konspirasi”.

Merek ini percaya bahawa Covid-19 dan vaksin ini adalah ciptaan suatu konspirasi Yahudi untuk menguasai dunia terutama umat Islam.

Ia dikaitkan pula dengan apa yang dipanggil illuminati dan Dajal.

Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggap sebagai tali barut konspirasi ini.

Tetapi tidak semua pendukung teori konspirasi ini berpegang kepada kepercayaan itu.

Ada yang percaya Covid-19 dan vaksinnya merupakan konspirasi kapitalis yang mahu mengaut keuntungan berpanjangan.

Vaksin direka bentuk supaya negara-negara terus membelinya bagi membolehkan mereka kaya-raya.

Namun begitu, tidak semua golongan antivaksin ini pendukung teori konspirasi.

Ada kalangan mereka yang menjadi antivaksin lama sebelum muncul Covid-19.

Mereka menolak apa jua bentuk vaksin.

Ada antara mereka pula menolak perubatan moden.

Mereka adalah penyokong perubatan alternatif dan primitif.

Ia juga bermaksud mereka menolak penggunaan ubat-ubatan berasaskan bahan kimia.

Mereka cenderung pada penggunaan ubatan herba.

Ada pula antara mereka adalah pendukung apa yang dipanggil sebagai perubatan Islam atau syifa.

Mereka mengutamakan perubatan yang menggunakan doa dan bacaan-bacaan tertentu.

Jadi, antara mereka inilah muncul golongan antivaksin.

Maknanya, golongan antivaksin ini tidak monolitik.

Mereka muncul dalam pelbagai bentuk.

Kebanyakan pula tidak memahami hujah-hujah antivaksin ini, apatah lagi apa yang melibatkan teori konspirasi.

Kebanyakan mereka hanya terpengaruh dengan penceramah-penceramah agama yang antivaksin.

Sementara ada pula yang terpengaruh dengan berita palsu yang tersebar luas di media sosial, baik berpunca dari dalam atau luar negara.

Satu lagi fenomena adalah berbentuk “anti-establishment”.

Mereka mengkritik usaha vaksinasi kerana kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Maka segala apa yang dilakukan oleh kerajaan termasuk kementerian kesihatan diragui.

Lebih-lebih lagi menteri kesihatan adalah orang Umno.

Maka curiga mereka adalah terhadap pembelian vaksin dan siapa yang memperoleh keuntungan daripadanya.

Walaupun mungkin mereka tidak menjadi antivaksin tetapi kecaman mereka terhadap kementerian kesihatan menguntungkan pihak antivaksin.

Terdapat pula antara mereka yang takut pada suntikan.

Mereka bimbang terhadap kesan sampingan tetapi enggan mengambil tahu mengenai perkara ini.

Mereka bukanlah sebahagian daripada golongan antivaksin.

Tetapi oleh kerana mereka enggan mengambil vaksin sama ada jahil atau malas, dari segi label, mereka menjadi antivaksin.

Dalam pada itu, bilangan golongan antivaksin ini dipercayai berubah-ubah.

Sememangnya ada golongan antivaksin yang tegar.

Tetapi lebih ramai orang antivakin yang bersifat sementara mengikut keadaan.

Ini kerana kebanyakannya tidak memahami atau memikirkan dengan masak hujah-hujah dari kedua-dua pihak, provaksin atau antivaksin.

Pada awal vaksin Covid-19 diperkenalkan, saya ada berjumpa dengan beberapa orang di kampung yang enggan mengambil vaksin.

Mereka terpengaruh dengan maklumat yang tertular dalam media sosial.

Tetapi apabila jangkitan meningkat hingga berlaku kematian di kampung mereka, maka ia memberi kesan untuk mereka menolak hujah antivaksin.

Penguatkuasaan undang-undang juga mendorong golongan antivaksin untuk turut menerima vaksin, termasuk juga kesan dari peraturan dua dos untuk memasuki premis dan masjid.

Tetapi ada juga yang melanggar peraturan ini kerana tiada penguatkuasaan.

Tetapi setelah dua tahun berlalu dan dunia tidak kembali kepada normal, ada sebahagian orang kembali menjadi antivaksin.

Lebih-lebih lagi apabila dicadangkan supaya orang ramai mengambil suntikan penggalak.

Maka keraguan timbul bahawa kemungkinan cara WHO dan pihak berkuasa menangani Covid-19 ini tidak betul.

Keadaan ini menambahkan bilangan penyokong antivaksin.

Tetapi dos penggalak adalah penting untuk melawan Omicron.

Kerjasama orang ramai adalah perlu bagi mengatasi Covid-19 yang belum adanya tanda-tanda pengakhiran.

Varian-varian baru pula mungkin timbul.

Tidak ada kaedah magik atau jalan pintas bagi melawan virus ini.

Mungkin apa yang dilakukan WHO ada kesilapannya.

Tetapi dunia hari ini bergantung pada sistem dan kaedah saintifik untuk mengatasi wabak ini.

Antivaksin boleh mengkritik dan menimbulkan keraguan tetapi buat masa ini tiada kaedah alternatif kepada sains dan birokrasi perkhidmatan kesihatan global.

Dalam keadaan ini, usaha melawan Omicron dan varian-varian akan datang berlaku di dua barisan depan.

Pertama, penyelidikan, perakuan dan pelaksanaan tindakan oleh pihak berkuasa.

Kedua, usaha penjelasan dan penyebaran maklumat dan kesedaran supaya golongan antivaksin dapat dibendung untuk menghalang mereka daripada menjejaskan usaha melawan wabak ini.

Cabaran kedua ini tidak boleh dipandang ringan.

Jika majoriti rakyat menyokong antivaksin, usaha melawan Covid-19 secara kaedah berasaskan sains boleh gagal.