- Iklan -
Rencana

Tolak politik toksik yang memperjudi masa depan negara dan Melayu

Jelas sekali isu pengeluaran KWSP adalah modal politik murahan kerana ketandusan idea mengenai polisi yang bernas bagi membina semula negara.

Rosli Bakar
2 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi amaran dana perlindungan sosial itu telah berkurang susulan pengeluaran pencarum sepanjang krisis Covid-19. Gambar: Bernama
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi amaran dana perlindungan sosial itu telah berkurang susulan pengeluaran pencarum sepanjang krisis Covid-19. Gambar: Bernama

Baru-baru ini, saya tertarik dengan berita di mana barisan Pemuda Umno mengatakan bahawa 97% pencarum KWSP mahukan pengeluaran i-Citra RM10,000.

Malah, ada juga yang membangkitkan isu mengenai keperluan untuk melanjutkan lagi moratorium hingga hujung tahun.

Tapi kita perlu ingat bahawa hanya lebih kurang 20,000 pencarum yang menyertai survei mereka, manakala terdapat lebih dari 15 juta pekerja di Malaysia.

Apakah mereka kini sudah ketandusan idea?

Secara jujurnya, saya orang Melayu yang selama ini memang menyokong Umno. Sejak dulu sehingga kini. Oleh kerana itu, perkara ini amat membimbangkan saya.

Mengapa saya bimbang?

Ia kerana hakikatnya separuh daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dan daripada jumlah ini 55% adalah Bumiputera. Malah, 79% dari mereka yang mempunyai kurang dari RM1,000 simpanan juga adalah Bumiputera.

Semenjak Covid-19 melanda, saya juga telah memanfaatkan pengeluaran KWSP tiga kali. Saya dapat keluarkan RM21,000, tapi ada rakan yang dah keluarkan sehingga RM71,000, tahap maksimum yang dibenarkan.

Saya juga mendapat moratorium automatik, dan juga moratorium bersasar pada Julai lalu. Tidak dinafikan, langkah-langkah tersebut amatlah membantu dalam mengharungi cabaran hidup selepas gaji dikurangkan hampir separuh.

Namun, dengan pengeluaran KSWP serta moratorium, hakikatnya saya hanya membeli sedikit masa dari tanggungjawab membayar hutang.

Betul, keluar RM10,000, saya boleh guna bayar hutang, tetapi bukan sepenuhnya. Hutang masih berjalan, dan mungkin juga meningkat sebab penyusunan semula. Jika kerajaan benarkan pengeluaran lagi, hakikatnya keupayaan saya untuk membayar hutang masih sama.

Apa yang barisan Pemuda Umno ini gagal pertimbangkan secara mendalam adalah isu-isu struktur yang memberi impak kepada prospek kerjaya serta peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan bagi orang Melayu.

Menteri kewangan dan pelbagai ahli ekonomi telah pun memberi amaran bahawa pengeluaran tambahan akan menyebabkan lebih ramai ahli bersara di bawah paras garis kemiskinan.

Melihat hujah-hujah yang diberi oleh mereka yang kononnya pejuang bangsa ini, saya terdorong untuk membandingkan penyokong pengeluaran i-Citra ini dan kumpulan antivaksin.

Mereka boleh dilihat sebagai kumpulan yang hanya mementingkan diri sendiri dan bukan untuk kemaslahatan rakyat.

Kalau setiap kumpulan hanya didorong oleh kepentingan sendiri, maka akan hancurlah negara kita. Malah, pada pendapat saya, mereka ini boleh disamakan dengan jemaah umrah yang tidak divaksinasi, tetapi tetap menunaikan umrah dan akhirnya mengakibatkan ramai jemaah dijangkiti Covid.

Ketika mereka mementingkan diri sendiri, mereka sebetulnya sedang mempertaruhkan keselamatan dan nyawa orang lain!

Bukan salah untuk memperjuangkan pengeluaran KWSP mahupun moratorium, tetapi jika ia hanya bersifat jangka pendek, tanpa apa-apa cadangan untuk memperbaiki isu struktur seperti kenaikan gaji yang berpatutan, pastinya ia membawa lebih banyak keburukan.

Jika pengeluaran ini dibenarkan, ia bakal memberi impak yang buruk, bukan sekarang tetapi dalam 10 tahun akan datang.

Seharusnya setiap dasar kerajaan perlu mengimbangi antara kepentingan semasa rakyat dan kesejahteraan jangka masa panjang mereka.

Dalam 10 tahun lagi, adakah mereka yang lantang memperjuangkan pengeluaran KWSP hari ini akan wujud untuk memperjuangkan simpanan hari tua yang tidak mencukupi?

Saya harap rakyat tidak akan termakan dengan hujah-hujah mengenai pengeluaran KWSP atau moratorium. Jelas sekali ini adalah modal politik murahan kerana mereka ketandusan idea mengenai polisi yang bernas bagi membina semula negara.

Rosli Bakar adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow