Penganjuran perhimpunan haram #TangkapAzamBaki yang diadakan di kawasan Stesen transit aliran ringan (LRT) Bangsar semalam dilihat gagal kerana tidak mendapat sambutan dan hanyalah cubaan meraih perhatian masyarakat, selain bertujuan memberi imej buruk kepada negara, kerajaan dan institusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika masyarakat gigih menghadapi cabaran semasa seperti Covid-19, kos sara hidup yang meningkat, perhimpunan haram anjuran anak muda pembangkang bukan hanya menyusahkan pihak berkuasa yang terpaksa mengawal keadaan, malah menjejaskan mata pencarian rakyat yang perlu bekerja keras menampung keperluan hidup.
Tidakkah penganjur dan penyokongnya sedar perhimpunan ini hanya untuk kepentingan individu? Bagaimana pula dengan suara majoriti rakyat yang mahu meneruskan kehidupan dengan aman damai?
Apakah suara majoriti ini tiada tempat dalam sistem demokrasi yang kononnya diperjuangkan pembangkang? Sehingga sanggup berhimpun mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal yang berisiko mencetuskan kluster Covid-19 baru.
Meskipun begitu nampaknya strategi mereka pun tidak berjaya. Mengikut laporan media, hanya lebih kurang 100 orang yang hadir ke perhimpunam tersebut. Laungan di media sosial seolah-olah lantang tetapi realitinya perhimpunan haram itu tidak disambut oleh majoriti rakyat.
Penganjur sepatutnya profesional dan rasional menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dan bukannya turun berhimpun demi meraih laba politik masing-masing.
Jelas sekali himpunan berkenaan mencerminkan sikap penting diri sendiri dan menunjukkan kepentingan terhadap politik.
Mereka yang terbabit dalam himpunan itu sepatutnya berlaku matang bukan bertindak memburukkan lagi keadaan kestabilan negara sehingga mencetuskan kegusaran rakyat.
Ironinya, mereka mengajak orang ramai melakukan protes jalanan tetapi tiada langsung kelibat pemimpin parti tertinggi sendiri yang hadir.
Maka yang jelas sebenarnya adalah konflik dalaman parti pembangkang sendiri dan ini adalah isyarat yang jelas ia menunjukkan bahawa pengaruh ketua pembangkang dalam pakatan itu semakin lemah.
Ataupun mungkin juga ada di kalangan mereka yang berasa jemu dengan demonstrasi jalanan seperti ini dan ingin melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai pemimpin kerajaan negeri.
Jika dikaji dengan teliti, ini adalah strategi politik kepada mereka sama ada kehadiran ke perhimpunan itu mendapat sambutan atau sebaliknya. Jika mendapat sambutan, mereka boleh berkata sokongan rakyat kepada pakatan semakin meningkat meskipun tanpa kelibat mereka dan jika berkurangan, mereka akan beri alasan mereka sibuk berkhidmat untuk rakyat.
Berbalik kepada perhimpunan haram, apakah yang ingin dibuktikan dengan mengadakan perhimpunan sedemikian?
Berdasarkan pemerhatian, tindakan mengadakan perhimpunan seumpamanya adalah lebih kepada gerakan politik bagi mengekalkan sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang.
Menggunakan sentimen rasuah, pakatan pembangkang dilihat cuba meraih simpati masyarakat di negara ini dan dunia supaya menyebelahi mereka yang kononnya memperjuangkan isu-isu rasuah.
Tetapi yang jelas mereka hanya cuba mewujudkan tekanan kepada kerajaan kononnya telah berlaku salahguna kuasa dalam SPRM dan agensi itu perlu dirombak. Tiada apa pun yang mereka buktikan, ia lebih kepada untuk meraih simpati masyarakat semata-mata.
Perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan asalnya dirancang diadakan di pusat tumpuan ramai iaitu di pekarangan kompleks membeli-belah terkenal Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kemudian bertukar ke LRT Bangsar. Kenapa Bangsar dan bukannya di tempat lain?
Jawapannya mudah kerana selepas Sogo, Bangsar menjadi pilihan penganjur perhimpunan memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan masyarakat.
Mereka tahu sekiranya mereka memilih Dataran Merdeka, perhimpunan mereka akan kelihatan tidak berjaya kerana kurang mendapat sambutan. Di Bangsar mereka boleh mendakwa masyarakat yang menaiki LRT turut menyertai mereka supaya mereka nampak ramai. Itu sahaja.
Kumpulan pemuzik jalanan Caliph Buskers yang menjadi penghibur tetap di Sogo dilaporkan memberi amaran kepada penganjur perhimpunan haram itu supaya membatalkannya demi kelangsungan rezeki pemuzik jalanan di kawasan berkenaan.
Akhir sekali, golongan ini berhimpun berhimpun mahu memperjuangkan keadilan undang-undang namun tidak sedar tindakan mereka itu telah melanggar undang-undang kerana berhimpun beramai-ramai?
Pelik bin ajibkan mereka berjuang kononnya tidak mahu orang melanggar undang-undang tapi hari ini terbukti mereka sendiri pula yang melanggar undang-undang.
Tuan Saleh Tuan Faiz adalah pembaca MalaysiaNow.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow