- Iklan -
Rencana

PKR untuk siapa?

Kasihan pada akar umbi PKR yang penat berjuang demi idealisme, namun kemudian dirosakkan oleh kegelojohan pemimpin.

Nomy Nozwir
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Malam tadi ada seorang sahabat yang menyokong PKR bercurhat dengan aku. Dia akui dia agak celaru dengan situasi sekarang menjelang PRN Johor kali ini.

Celaru dengan Pakatan Harapan (PH) dan partinya yang menggunakan lambang berbeza, dan bercelaru tentang hala tuju parti itu yang sudah semakin hilang arah dari tujuan asal.

Aku ada ramai kawan dari parti ini. Ada yang menyokong PKR sebab mak ayah mereka merupakan penyokong gerakan reformasi 1998. Lepas mak ayah sudah tua, mereka adalah generasi kedua yang menyambung perjuangan reformasi.

Kebanyakan orang yang macam kawan aku berniat ikhlas, dia dan keluarga percaya kepada idea bahawa negara ini memerlukan reformasi dan Renaissance untuk mencapai potensinya.

Pada usia aku dalam umur 14, 15 tahun, aku tak ada pandangan politik yang jelas. Pada masa itu aku cuma mahu pergi gig dan dengar konsert band underground.

Dalam masa itu juga tiap-tiap minggu ada demo reformasi, dan tiap-tiap kali FRU baling tear gas dan kejar demonstran, mereka akan masuk ke dalam gig dan polis masuk ke dalam dan buat rush.

Polis yang asyik rush gig menjadi punca kenapa aku benci kepada Mahathir Mohamad. Jadi, sedikit sebanyak aku ada sedikit perasaan empati terhadap penyokong PKR, walaupun ada masanya kami berbeza pendapat.

Melihat keadaan PKR lepas PRN Melaka dan PRN Sarawak, secara jujurnya aku rasakan parti ini sudah menyimpang jauh daripada memperjuangkan idealisme mereka.

Mereka yang menyokong PKR terdiri daripada pelbagai latar masyarakat, dari pelbagai kaum, agama, dan kelas. Ada yang kaya tinggal di Bangsar ada yang miskin duduk PPR di Lembah Pantai.

Ada yang di tengah kota di Bandar Tun Razak, ada yang di sub urban seperti Bangi, dan ada yang di kampung seperti di Felda Pasak Kota Tinggi. Ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Murut. Ia adalah sebuah idea yang pada mereka, adalah masa depan Malaysia yang baik.

Semua orang dalam akar umbi parti ini melalui pelbagai rintangan dan halangan. Pergi sana pergi sini demi parti pakai duit sendiri. Berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.

Tetapi apabila mereka ada seorang presiden yang tak sudah-sudah asyik mahu mengejar tampuk kuasa, dan sering membuat percaturan yang membingungkan, dan gelojoh dalam melakukan tindakan, bagi aku sebagai orang luar, aku melihat amatlah meletihkan memikul pemimpin yang macam ini.

Berapa ramai reformis sejak 1998 yang sekarang ni dah tinggalkan parti ini? Chandra Muzaffar, Ezam Mat Noor dan Ruslan Kassim antaranya.

Ini belum lagi cerita orang seperti Lokman Adam, Azmin Ali dan ramai lagi yang pernah berada dalam parti itu.

Tetapi Anwar tidak pernah nampak semua ini. Dia tak nampak betapa susah pengikutnya membawa idealisme ini. Apa yang dia nampak cuma dia mahu dapat kuasa.

Langkah 16 September, Langkah Kajang, Langkah Port Dickson, Langkah Melaka (cuba nak jadikan Idris Haron KM Melaka namun tercetusnya PRN Melaka) Langkah Layang-Layang, berapa banyak langkah yang pada akhirnya tersadung dan melingkupkan parti.

Aku banyak berkawan dengan mereka di dalam parti ini. Rata-ratanya mahu memperjuangkan idealisme yang mereka percaya, yang sama ada aku setuju atau tidak itu belakang cerita, tapi perjuangan mereka tidak mengenal erti penat lelah.

Tetapi dari Istana Sungai Long, dia membuat keputusan sembrono, dengan menerima nasihat pembantunya yang namanya macam nama orang Sepanyol itu.

Akibatnya yang menerima kekalahan teruk itu adalah penyokong parti dan akar umbi sendiri.

Rasanya sempat lagi untuk dia lepaskan jawatan dan serahkan obor kepada generasi muda dalam parti ini. Kerana parti ini sepatutnya ditubuhkan demi sebuah idea, bukannya demi satu sosok yang mahu jadi perdana menteri tak sudah-sudah.

Pada aku, Anwar sudah jadi semacam leprechaun – watak mistikal folklore Ireland, yang mencari hujung pelangi untuk mendapat emas. Malangnya, pelangi itu cuma biasan cahaya matahari dan si leprechaun tak berjumpa dengan emas yang dicari.

Kalau kalah teruk dalam PRN Johor ini – tolonglah bersara dengan terhormat. Kasihan pada akar umbi yang penat berjuang demi idealisme mereka, namun kemudian dirosakkan oleh kegelojohan pemimpin.

Nomy Nozwir adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow