Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ini, Anwar Ibrahim ada membangkitkan tentang pinjaman yang diberikan kepada Genting Hong Kong yang antaranya melibatkan bank-bank dari Malaysia. Dan beliau meminta saya menjelaskan bagaimana pinjaman ini diluluskan.⠀
⠀
Di sini saya ingin memberi sedikit penjelasan tentang isu tersebut.
Pertama, tentang peranan menteri kewangan dalam proses kelulusan pinjaman. Hakikatnya, keputusan untuk memberi pinjaman bukan ditentukan oleh menteri kewangan, kementerian kewangan atau pemegang saham tetapi oleh bank-bank itu sendiri.
Setiap bank mempunyai proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian kredit oleh jawatankuasa kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka.
Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi, dan selagi bank-bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara mereka.⠀
⠀
Isu kedua dibangkitkan ialah tentang peranan Khazanah, KWSP dan PNB sebagai pemegang saham di dalam bank yang terlibat. Dalam hal ini, pemegang saham tidak terlibat di dalam operasi harian sesuatu syarikat.
Operasi harian bank diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri. Jika menteri kewangan atau pemegang saham campur tangan di dalam urusan harian bank-bank di Malaysia, jelas sekali ini tidak betul dari sudut governans dan tadbir urus.
Saya yakin, sebagai seorang bekas menteri kewangan, Anwar juga sedia maklum tentang perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat.⠀
⠀
Ketiga, mengenai isu pinjaman tanpa cagaran, ingin saya tekankan bahawa hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan. Bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.
Tambahan pula, dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum pandemik Covid-19 melanda. Genting Hong Kong ini adalah syarikat dalam sektor libur, termasuklah pelancongan.
Namun, ketika Covid melanda, banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan.⠀
⠀
Harus diingat bahawa bukan sahaja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong malah turut melibatkan bank-bank dari luar negara.
Semua bank-bank ini juga turut perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman. Adakah Anwar ingin memberi gambaran bahawa semua bank-bank dari luar negara ini juga telah bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?⠀
⠀
Akhir sekali, mengenai isu pinjaman diberi kepada syarikat perjudian seperti Genting.
Masyarakat Malaysia merangkumi pelbagai kaum, dan hari ini, sektor perbankan Islam Malaysia amat progresif, dan ini membolehkan perbezaan di antara aset-aset syariah dan konvensional.
Jadi, kalau isu ini benar-benar penting, mengapa semasa Anwar menjadi menteri kewangan, tiada arahan dikeluarkan kepada bank-bank tempatan supaya tidak memberi pinjaman kepada Kumpulan Genting?⠀
⠀
Pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali. Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa bank-bank yang terlibat, dan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya, amatlah berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.⠀
⠀
Sektor perbankan sebenarnya telah mengalami banyak penambahbaikan berbanding tahun 1998 iaitu semasa Asian Financial Crisis dan Anwar memegang tampuk kementerian kewangan. Nisbah pinjaman tak berbayar (non-performing loan – NPL) pada Disember 1998 melonjak ke 18.6%.
Pada waktu itu juga, nisbah perlindungan kerugian pinjaman (loan loss coverage ratio – LLC) hanya di tahap 55.9% iaitu untuk setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar.⠀
⠀
Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia telah diperkukuhkan dan kini lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tak berbayar hanya 1.4%, termasuklah peruntukan NPL separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.
LLC pula kekal kuat pada tahap 131.5% berbanding 55.9% pada 1998. Jadi, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran.⠀
⠀
Saya harap penerangan ini dapat menjelaskan sebarang kemusykilan yang timbul. Terima kasih.⠀
Tengku Zafrul Aziz adalah menteri kewangan Malaysia.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow