- Iklan -
Kolum

Rakyat Malaysia sayangkan harimau

Harimau adalah haiwan yang dekat di hati rakyat Malaysia, khususnya bagi orang Melayu di semenanjung.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sejak tiga minggu lalu, timbul isu yang berkaitan dengan harimau.

Ia bermula dengan serangan harimau ke atas seorang penoreh getah di Gua Musang dan diikuti dengan pembunuhannya dan perbincangan bagaimana pembalakan memusnahkan habitat mereka.

Penjelasan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan bahawa pembalakan tidak menjejaskan kehidupan harimau menimbulkan kemarahan orang ramai yang tergambar dalam hantaran dan komen di media sosial.

Isu kepupusan harimau ini berkait pula dengan penghapusan hutan di negara ini.

Ia ada hubungan dengan pengurusan alam sekitar yang tidak memuaskan hati orang ramai.

Pengurusan alam sekitar ini pula berkait dengan pembalakan serta bencana banjir yang menjadi isu bulan lalu.

Ahli politik PAS yang menerajui kerajaan negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan, serta juga kementerian alam sekitar dan air mempunyai imej bukan saja tidak berprestasi tetapi juga kurang menghayati soal-soal alam sekitar, perubahan iklim, kepentingan biodiversiti dan hidupan liar.

Ada persepsi dalam kalangan rakyat terpelajar bahawa golongan konservatif agama kurang memahami dan menghayati soal-soal alam sekitar itu.

Ekoran itu, masyarakat Islam yang sering mendengar ceramah agama turut kurang menyedari soal alam sekitar itu.

Adalah kebetulan bahawa Tahun Baru Cina kali ini menyaksikan giliran harimau sebagai haiwan zodiak dalam kalendar mereka.

Maka bagi sambutaan tahun ini, gambar dan patung harimau dapat disaksikan di banyak tempat perniagaan di negara ini.

Tetapi harimau yang menjadikannya salah satu daripada 12 haiwan zodiak itu berasal dari China Selatan.

Ia dikenali sebagai South China tigers atau Harimau China Selatan dan merupakan subspesies Panthera tigris tetapi populasi khusus yang tinggal di wilayah tertentu.

Dari segi subspesies, ia sama dengan harimau di Malaysia yang dikenali sebagai Malayan tigers.

Harimau Malaya adalah populasi khusus subspesies yang berada di Semenanjung Malaysia.

Harimau tidak mengenal sempadan dan ia boleh bergerak dari Thailand Selatan sampailah ke Johor.

Harimau Malaya yang dianggarkan kurang dari 200 ekor kini dimasukkan ke dalam “senarai merah” IUCN. Gambar: AFP

Pada abad ke-19, harimau masih ada di Singapura.

Ada catatan dan gambar oleh pegawai kolonial British menunjukkan mereka berjaya membunuh harimau di pulau itu.

Kulit harimau itu kemudian dijadikan hamparan di ruang tamu pemburu itu.

Ada satu catatan pada awal abad ke-20 yang menyatakan bahawa seorang pegawai British di Woodlands terlihat seekor harimau berenang di Selat Teberau menuju Johor.

Beliau mencatatkan bahawa haiwan itu mungkin adalah harimau terakhir Singapura.

Jata negara Singapura mempunyai seekor harimau sebagai tanda hubungan pulau itu dengan Malaya.

Johor mempunyai dua ekor harimau pada jata negerinya seperti juga Malaysia.

Jata negeri Johor diwujudkan lebih awal dari Malaysia yang turut mengambil harimau sebagai haiwan nasional.

Tetapi jata negara Malaysia yang mempunyai dua ekor harimau itu merupakan lanjutan kepada lambang Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat.

Keretapi Tanah Melayu juga mengambil harimau sebagai lambangnya.

Majlis Perbandaran Kuala Lumpur semasa pentadbiran kolonial turut meletakkan kepala harimau pada lambangnya.

Menurut sejarah Kuala Lumpur, kawasan Damansara mempunyai banyak harimau hinggakan pekerja yang membersihkan hutan di situ enggan bekerja.

Kini lambang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengekalkan lambang kepala haiwan itu.

Harimau adalah haiwan yang dekat di hati rakyat Malaysia, khususnya bagi orang Melayu di semenanjung.

Ada antara kanak-kanak yang membesar dengan cerita-cerita rakyat tradisi berkaitan harimau.

Lebih-lebih lagi mereka yang membaca buku-buku cerita kanak-kanak dan seterusnya kesusasteraan klasik.

Ada permainan bernama “Pukul Berapa Datuk Harimau”.

Sasterawan lepas merdeka turut menghasilkan novel yang mempunyai harimau dalam penceritaannya.

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam novelnya, “Rentung” turut menceritakan mengenai perjuangan hidup seorang petani di kampung Banggol Derdap yang berdepan dengan ancaman harimau.

Kisah ini pernah dijadikan filem oleh Salleh ben Joned dengan judul “Harimau Harimau”.

Novel Rentung pernah menjadi teks sastera di sekolah.

Saya membaca novel ini pada tahun 1970-an ketika di sekolah rendah.

Dalam novel itu terdapat gambaran bagaimana ngauman harimau kedengaran dari gunung.

Harimau itu kemudiannya turun ke pinggir kampung dan bertembung dengan petani.

Banggol Derdap berada di Kedah.

Pada zaman Shahnon membesar di situ tentunya hutan masih banyak di negeri itu.

Bilangan harimau juga tentulah juga masih banyak.

Ia menjadi ancaman kepada petani yang sawahnya berada di pinggir hutan.

Kini hutan Kedah sudah bekurangan dan harimau di negeri itu sudah lama tidak kedengaran.

Semasa zaman kanak-kanak saya, orang tua-tua menceritakan bagaimana harimau berkeliaran di kawasan hutan di sekitar Parit Raja, Batu Pahat.

Mereka memanggil harimau sebagai “macan” dan ngauman mereka dapat didengar pada waktu malam.

Macan adalah perkataan bahasa Jawa.

Lama dahulu terdapat juga Harimau Jawa dan Harimau Bali.

Mereka sudah lama pupus.

Tetapi Harimau Sumatera masih ada.

Kesemua harimau itu datang dari subspesies sama.

Ini kerana pada satu masa dahulu semenanjung, Sumatera, Jawa dan Bali bercantum.

Maka harimau dari semenanjung berjalan hingga ke Bali.

Dalam filem, watak harimau turut dipaparkan dalam cerita Si Tora, Harimau Jadian yang diarahkan oleh P Ramlee.

Saya menonton filem itu pada tahun 1970-an di televisyen.

Harimau jadian atau “weretiger” itu merupakan legenda Malaya dan Siam.

Tetapi Tora itu adalah perkataan Jepun yang bermakna harimau.

Ia juga bermaksud serangan garang.

Ketika Jepun menyerang Pearl Harbour, Hawaii, mereka menjerit Tora! Tora! Tora! Sementara Jeneral Tomoyuki Yamashita yang mengetuai penaklukan tentera Jepun ke atas Semenanjung digelar Harimau Malaya.

Nama Harimau Malaya dicipta oleh pihak kolonial British.

Ketika mereka pertama kali melihat harimau di India, mereka amat kagum hinggakan penyair William Blake menulis puisi mengenai haiwan itu.

Harimau pertama yang mereka lihat ialah di Benggala dan dinamakannya Bengal Tiger.

Maka apabila British masuk ke Perak dan didapati di situ ada juga harimau, maka dinamakannya Malayan Tiger.

Kedua-dua harimau ini adalah dari subspesies yang sama.

Ketika pentadbir British membuat kajian dan pemerhatian terhadap budaya temptan, maka didapati orang Melayu mempunyai perasaan takut, kagum dan hormat terhadap harimau.

Oleh kerana orang Melayu tradisi hidup dengan pertanian, maka mereka terpaksa hidup di bawah bayangan ancaman serangan harimau.

Dalam ilmu tradisi Melayu seperti terkandung dalam buku Malay Magic oleh Walter M Skeat, orang Melayu membangun suatu ilmu bagi menghadapi hidupan liar khususnya harimau melalui petua-petua dan jampi perbomohan.

Kini walaupun kebanyakan rakyat Malaysia sudah jauh daripada ancaman harimau tetapi setiap kali ada berita mengenai harimau, pasti ia menjadi tarikan orang ramai.

Tidak lama dahulu di Terengganu, ada peristiwa seekor harimau keluar hutan dan berjalan di tengah-tengah adanya orang ramai.

Peristiwa itu berjaya dirakam dan ditularkan.

Orang takut pada harimau kerana ia adalah pemangsa.

Tetapi sebahagian orang suka pada harimau dengaan melihat gelagat dan perilakunya.

Di zoo yang ada harimau, “Pak Belang” ini menjadi tumpuan terutama kanak-kanak.

Manusia hanya mampu melihat dari jauh ketika ia dalam kurungan.

Rakyat Malaysia sayang pada harimau.

Haiwan ini tidak boleh dibenarkan pupus.

Sekiranya ia pupus, bermakna habitat dan ekosistemnya juga pupus.

Dalam habitatnya terdapat haiwan yang turut perlu dilindungi iaitu kancil, rusa dan lain-lain.

Maka untuk itu, sebarang usaha menghapuskan hutan mesti dihentikan serta-merta termasuk pembalakan.

“Selective logging” atau pembalakan terpilih juga wajar dihentikan demi Harimau Malaya dan haiwan lain.