- Iklan -
Rencana

Realiti negara tidak seteruk persepsi antarabangsa?

Kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 tidak mencerminkan tindakan SPRM dalam usaha berterusan memerangi rasuah di negara ini.

Zharief Adam
3 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Malaysia jatuh lima anak tangga kepada kedudukan ke-62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dikeluarkan Transparency International (TI) berbanding kedudukan ke-57 pada 2020.

Malah negara kita juga mencatat skor 48 dari 100 berbanding skor 51 pada 2020, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).

Secara ringkas dengan melihat kepada angka sahaja, kejatuhan kedudukan dan skor ini sememangnya memberi tanggapan kegiatan rasuah semakin serius di negara ini.

Bagaimanapun, kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 tidak perlu dilihat dari sudut persepsi semata-mata tetapi juga sudut realiti.

Perkataan persepsi pun sudah boleh dipersoalkan kerana bahasa mudahnya ia hanyalah tanggapan. Bak kata pepatah “jangan nilai buku dari kulitnya”.

Apabila semua pihak lihat dari sudut realiti, indeks itu mencerminkan keseriusan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pelbagai operasi penguatkuasaan yang akhirnya membuahkan hasil apabila banyak tangkapan rasuah dibuat. Indeks realitinya pula, kita boleh rujuk data statistik tangkapan dan kejayaan izin mendakwa yang diperolehi SPRM.

Jika dilihat persepsi dan realiti, selalunya ia sentiasa bertembung dan terbalik. Kalau nampak persepsi turun (kedudukan), kita juga perlu teliti data SPRM merangkumi jumlah tangkapan, pertuduhan dan sabitan kes yang direkodkan.

Apa bukti rasuah banyak dan adakah ia merujuk kepada jumlah tangkapan?. Bila tangkapan banyak, mesti ada persepsi. Ini masalah persepsi dan realiti yang selalu bertentangan. Kita nampak SPRM bersungguh-sungguh buat kerja. Jadi, sebab itu kita nampak kes rasuah banyak berlaku sedangkan ia sudah menjadi tugas suruhanjaya itu membanteras rasuah.

Misalnya, pada tahun 2021, statistik tangkapan SPRM menunjukkan seramai 847 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Jika dirujuk laman sesawang SPRM,  kadar sabitan agensi itu juga turut meningkat termasuk pengekalan jatuh hukum terhadap bekas perdana menteri.

Kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 juga jelas tidak mencerminkan tindakan SPRM dalam usaha berterusan memerangi rasuah di negara ini.

Ini kerana kedudukan dan skor itu tidak selari dengan tindakan SPRM membanteras isu rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (rasuah berskala besar) yang seiring dengan transformasi ekonomi dan perkembangan sosiobudaya masa kini negara kita.

Malaysia sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik jika mengambil kira tindakan agresif dan tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah.

Rakyat juga seharusnya bijak menilai dan tidak melihat hanya dari sudut persepsi pakar antarabangsa semata-mata. Sebaliknya turut melihat kepada aktiviti dan tindakan yang sudah dilaksanakan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Kita harus sedar, laporan mengenai kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 dibuat berdasarkan persepsi daripada ekspatriat luar negara dan bukannya oleh masyarakat tempatan.

Malah hasil laporan berkenaan juga tidak selari dengan tindakan dilakukan agensi-agensi di Malaysia.

Sebagai contoh, kebanyakan kajian CPI 2021 menyentuh isu perundangan dan melibatkan Perlembagaan Persekutuan seperti transformasi institusi pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dan SPRM, pindaan peruntukan undang-undang berkaitan dana politik, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, kes yang melibatkan “dilepaskan tanpa dibebaskan” (DNAA) dan lain-lain itu adalah di luar bidang kuasa SPRM.

Isu yang disentuh ini melibatkan peranan serta fungsi badan atau agensi berkaitan. Janganlah hanya menuding jari kepada agensi penguatkuasa seperti SPRM sahaja kerana banyak agensi kerajaan yang lain juga terlibat.

Perlu diberi perhatian juga, di Malaysia sistem pengasingan kuasa dilaksanakan berbentuk dasar pentadbiran dengan pihak legislatif menjalankan fungsinya, pihak eksekutif menjalankan fungsinya manakala pihak judisiari menjalankan fungsinya tanpa sebarang campur tangan.

Segala tindakan tidak dibuat oleh satu pihak sahaja. Masih ada mekanisme semak dan imbang.

Bagi mengukuhkan serta meningkatkan lagi keberkesanan CPI ini, ia perlu melibatkan peranan serta tanggungjawab dari semua pihak berkaitan dasar pentadbiran negara.

Justeru, perlu lihat dari sudut realiti kerana persepsi ini pelbagai macam, mungkin kita boleh terima namun realiti sebenarnya bagaimana?

Jadi, janganlah melihat kepada kedudukan dan skor ini, ia akan membuat kita terus berduka cita sebaliknya, kita  harus memberi semangat kepada semua agensi terutama SPRM untuk melaksanakan tugas.

Kita seharusnya melihat ini sebagai cabaran yang perlu ditangani bersama dan berharap masyarakat turut memberi sokongan dan memainkan peranan untuk melihat negara bebas rasuah serta isu salah guna kuasa.

Zharief Adam adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow