- Iklan -
Kolum

Satu mimpi peribadi

Setiap Tahun Baru Cina, kami akan pulang ke rumah nenek untuk makan besar bersama.

Timmy Say
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Sebelum dibawa ke medan permainan, pembesar suara mengingatkan saya mengenai cabaran yang bakal dihadapi.

“Kamu akan masuk gelanggang tanpa membawa apa-apa. Pada masa ke semasa, saya akan pinjamkan kamu sesuatu dan mengambil semula sesuatu daripada kamu sebelum tamatnya masa permainan. Semua ini akan dilakukan tanpa sebarang notis. Apabila tamatnya masa permainan, saya akan membawa kamu keluar dari gelanggang ini. Ini juga dilakukan tanpa notis,” kata pembesar suara itu.

“Berapa masa yang saya ada?” jerit saya.

“Kamu ada masa sehingga masa yang membawa kamu keluar dari gelanggang ini. Layanlah setiap perkara yang saya pinjamkan dengan baik sebelum saya mengambilnya semula. Ingatlah pesanan ini dengan hati dan jiwa kerana minda kamu akan dikosongkan apabila kamu masuk gelanggang nanti.”

Tiba-tiba saya terjaga dari tidur. Rupa-rupanya ia satu mimpi.

Saya bergegas menyiapkan diri untuk ke sekolah.

Kalau tertinggal bas sekolah, ia akan menyusahkan ibu kerana terpaksa membawa saya ke sekolah dengan bersama-sama menaiki bas awam sebelum pulang ke rumah.

Kehidupan saya berjalan seperti biasa, mimpi yang aneh itu dilupakan sama sekali.

Teringat satu Tahun Baru Cina ketika saya ketika saya remaja.

Tahun itu, atuk baru sihat sedikit selepas menjalani kemoterapi kerana kanser.

Namun, Tahun Baru Cina ini terpahat di minda kerana inilah pertama kali saya dimarahi atuk kerana cuba memberinya anggur.

Masa itu, tiada yang faham mengapa. Semua cuba diam menarik saya menjauhi atuk.

Selepas beberapa bulan, atuk meninggal ketika saya bermalam di kampung.

Nenek tidak mengejutkan saya ketika itu, kerana bimbang saya ketakutan.

Pada pandangan nenek, saya tetap seorang budak.

Beberapa tahun selepas itu, atuk sebelah bapa pula meninggal.

Mata atuk saya ini sudah buta selama beberapa dekad.

Ada satu tahun, atuk terjatuh ketika berada dalam tandas.

Semenjak itulah, saya dan keluarga menjaganya.

Memimpinnya ke tandas dan bilik air, membawanya ke kedai gunting rambut dan juga ulang-alik hospital.

Atuk meninggal dalam tidur ketika usianya menjangkau 100 tahun.

Namun, sebenarnya kami tiada pertalian darah kerana bapa saya adalah anak angkatnya yang dilayannya seperti anak kandung.

Setahun selepas itu, nenek pula meninggalkan kami.

Nenek sakit teruk sejak anak bongsunya (makcik saya) meninggal empat tahun yang lalu tetiba akibat kanser.

Nenek saya tugasnya berat sepanjang hidup.

Selain menjaga atuk saya, nenek juga menjaga seorang abang dan adiknya yang hidup sebatang kara sehingga kematian mereka.

Nenek terpaksa mengharungi kematian suami, anak dan juga kesakitan berpanjangan sehingga beliau meninggal dunia.

Setiap Tahun Baru Cina, kami akan pulang ke rumah nenek untuk makan besar bersama.

Saudara mara dari Singapura juga datang.

Empat tahun lepas, bapa saya pula meninggalkan kami.

Ketika kanser yang dihidapi bapa masuk tahun keempat, saya tidak berani melangkah jauh daripada Lembah Klang.

Saya pastikan diri saya sentiasa berada di kawasan yang boleh pulang ke rumah dengan segera.

Namun begitu, pada tanggal 12 Disember tahun itu, saya mengambil keputusan untuk hadir satu mesyuarat kerja tergempar yang penting di Kulim.

Ketika itu, saya terasa ia hanyalah satu lawatan kerja yang pendek.

Ketika meninggalkan rumah pada sebelah pagi sebelum ke lapangan terbang, saya memberitahu bapa saya bahawa akan pulang pada sebelah petang.

Setibanya saya di Kulim, ibu menelefon saya memberitahu bapa sudah tiada. Saya bergegas balik.

Dalam banyak hari yang saya tidak berani berada jauh daripada rumah, bapa saya sentiasa menunggu saya balik.

Pada satu-satunya hari itu yang saya terpaksa pergi ke Kulim, bapa pula meninggalkan kami.

Mungkin bapa tidak mahu saya melihatnya pergi.

Semenjak ini, Tahun Baru Cina menjadi berbeza.

Tanpa bapa, atuk dan nenek, tiada siapa lagi yang pulang ke kampung.

Saudara mara di Singapura akan meraikan Tahun Baru Cina sendiri dan begitu juga keluarga saya.

Apabila keadaan ini berlaku, itu petanda saya kehilangan satu generasi keluarga.

Tiada lagi bapa, atuk dan nenek.

Yang ada hanyalah ibu sebagai orang paling “tua” di dalam kehidupan saya.

Tiba-tiba saya teringat mimpi saya ketika kecil.

Saya bertanya pada diri saya, apakah saya membuat sebaik mungkin untuk kedua-dua atuk, nenek, bapa dan makcik ketika Tuhan pinjamkan mereka di dalam hidup saya sebelum mengambil mereka pergi?

Bagaimana pula dengan ibu dan adik-beradik dan ipar-ipar saya?

Apakah saya menjadi anak yang baik dan abang yang bertanggungjawab?

Bagaimana pula dengan abang angkat, ayah angkat, pakcik, cikgu dan sifu yang dipinjamkan kepada saya?

Apakah saya dapat membantu ketika mereka memerlukan bantuan?

Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat dan mereka yang diletakkan di hidup saya walaupun sekejap?

Apakah saya melakukan amanah saya sedaya mungkin?

Apakah saya ada menzalimi mereka?

Jika ya, apa yang perlu saya lakukan untuk memperbetulkannya?

Masalahnya, berapa masa lagi yang saya ada untuk melakukannya?

Sempena Tahun Baru Cina hari ini, saya ingin berpesan agar setiap kita dapat menghayatilah dan bersyukur dengan apa yang ada selagi kita masih diberi masa.

Jangan angkuh, dan jangan simpan kemarahan dan dendam lama-lama kerana tiada siapa yang tahu bila kita akan dikeluarkan daripada gelanggang dunia ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.