- Iklan -
Kolum

Punca sakitnya Malaysia

Masalahnya, siapa yang pilih pemimpin yang ada ini kalau bukan kita?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ketika sihat, kita mudah untuk membuat rancangan.

Isnin selepas kerja boleh berjoging.

Selasa pula ajak sahabat baik untuk makan malam dan seterusnya.

Tetapi dalam keadaan tidak sihat, cubalah seseorang membuat rancangan.

Setiap hari tiba-tiba menjadi tidak menentu.

Tidak menentu kerana tidak pasti sama ada hari itu kita akan dikurniakan kesihatan untuk melakukan apa yang dihajat atau tidak.

Kalau tidak cukup duit, kita boleh ikhtiarkan.

Cuma kalau tidak cukup sihat, kita cuma boleh berharap ubat yang kita telan hari ini dapat menyembuhkan kita.

Tiba-tiba di dalam jiwa kita, timbul niat untuk bersenam peluh setiap hari.

Timbul kesedaran di dalam diri kita keperluan untuk makan secara sihat, seimbang dan sederhana.

Sakit menyebabkan kita memahami harta manusia paling berharga bukanlah duit, tetapi tubuh yang sihat.

Namun ketika sakit, apa yang paling kita harapkan ialah Tuhan masih sayang kepada kita dan sanggup memberikan masa kepada kita untuk menukar cara kehidupan kita.

Cuma masalahnya, kebanyakan kita, setiap kali selepas sembuh semula, kita terus ketepikan niat bersenam dan makan secara sihat, seimbang dan sederhana.

Kita kembali ke “petak satu” dan terlupa bahawa setiap hari yang berlalu bermaksud ketibaan hari kita ditimbus tanah semakin hampir.

Bagaimana pula dengan negara yang sakit?

Negara sakit kerana sikap pemimpinnya.

Sikap pemimpinnya pula ditentukan oleh rakyatnya.

Malaysia, jika ditinjau pandangan pemimpin-pemimpin negara lain, ialah negara paling bertuah di dunia.

Apa sahaja biji yang jatuh ke tanah boleh tumbuh menjadi pokok.

Bukan itu sahaja, di dalam tanah Malaysia terdapat pelbagai galian yang diperlukan pasaran dunia – daripada minyak hinggalah ke bauksit.

Di atas tanah pula, Malaysia dikurniakan hutan khatulistiwa yang penuh dengan pelbagai hasil.

Sekelilingnya, Malaysia diberikan laut yang penuh dengan ikan dan juga petroleum.

Yang paling hebat ialah semua kurniaan ini dilindungi daripada malapetaka bumi yang dahsyat seperti gempa bumi, “cyclone”, “hurricane”, empat musim dan kemarau menggila.

Disebabkan itu, siapa yang tidak cemburu dengan apa yang ada di Malaysia?

Malaysia ini boleh dikatakan satu kurniaan yang lengkap seperti seorang manusia dikurniakan tubuh badan yang sempurna.

Seperti tubuh badan yang sempurna, Malaysia hanya memerlukan seorang pengurus yang baik bagi mengembangkan potensi setiap bahagian tubuh agar ia kekal sihat dan berfungsi.

Malangnya, Malaysia tetap jatuh sakit kerana para pemimpinnya lebih suka berbalah daripada mentadbir dan mengurus.

Hari ini negara kita sedang sakit.

Sakit ekonomi, sakit politik dan sakit Covid-19.

Apa yang disibukkan sesetengah pemimpin yang berkuasa ialah pilihan raya.

Selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka, mahu pula PRN Johor.

Selepas Johor, mahu pula pilihan raya umum (PRU).

Apakah pilihan raya ubat kepada sakit-sakit yang sedang dialami negara?

Jika rakyat tetap memilih muka-muka yang sama, janganlah harap ada keajaiban yang bakal berlaku.

Sepertimana apabila kita sakit, kita mudah menyalahkan cuaca, makanan dan sebagainya.

Jarang kita melihat diri sendiri sebagai punca lemahnya tubuh badan kita.

Hari ini, rakyat dilihat agak bersatu menyalahkan para pemimpin yang ada atas masalah kesihatan yang dialami Malaysia.

Masalahnya, siapa yang pilih pemimpin yang ada ini kalau bukan kita?

“Katak” pun kita yang pilih.

Itulah punca sakitnya Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.