- Iklan -
Kolum

‘Zombie’ sudah wujud dalam kalangan kita

Sepatutnya alamnya di drama dan filem.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Pontianak muncul pada waktu malam. Pontianak adalah manusia mati yang hidup semula.

Ia hanyalah watak yang diwujudkan. Alamnya di drama dan filem. Ia tidak lebih daripada imaginasi. Realitinya belum ada.

Watak “zombie” juga sepatutnya begitu.

Watak Zombie dipopularkan oleh filem “Train to Busan” dari Korea Selatan di mana manusia bertukar menjadi zombie setelah digigit manusia lain.

Manusia yang digigit terus hilang sifat keperikemanusiaan lalu bertindak menyerang manusia lain tanpa mengira usia, jantina mahupun hubungan semasa manusia.

Watak zombie juga adalah fantasi. Sepatutnya alamnya di drama dan filem.

Namun sedihnya, watak zombie sudah bertapak di bumi.

Alamnya di media sosial yang mempunyai ruangan komen.

Asalkan ada ruangan komen akan kita berjumpa zombie zaman moden.

Di media sosial hari ini, manusia tak kira siapa, hilang sifat kemanusiaan umpama zombie.

Tidak kira siapa, apakah orang itu keluarganya, sahabatnya, guru, pemimpin, mufti ataupun Yang di-Pertuan Agong. Mereka menyerang tanpa adab, akhlak dan akal seperti zombie.

Sifat manusia menghilang di alam media sosial. Tiada lagi sifat rendah diri, saling menghormati dan bertoleransi semasa manusia.

Setiap berita, paparan mahupun gambar, ada sahaja yang akan mencerca bagai zombie.

Mereka terlupa orang yang mereka cerca dan dimalukan juga ada ahli keluarga, sahabat dan kenalan seperti mereka juga.

Mereka tidak peduli mengenai perasaan orang lain, asalkan nafsu menaip perlian, cacian, kemarahan dan penghinaan dapat dipuaskan.

Ramai yang hilang “3A” di media sosial.

3A yang dimaksudkan ialah akhlak, adab dan akal.

Malangnya, ramai yang tidak sedar mereka sudah kehilangan 3A.

Bukan itu sahaja, media sosial juga melahirkan satu generasi baru yang amat mudah tersinggung.

Apa-apa sahaja boleh membuat mereka untuk “trigger” sehinggakan soalan mudah seperti ahli keluarga bertanyakan apakah pekerjaan mereka juga menjadi isu hari ini.

Ke manakah generasi baru selepas ini?

Manusia nampaknya semakin dimusnahkan oleh teknologi yang dibinanya sendiri.