- Iklan -
Kolum

Cabaran dunia berdepan gelombang Omicron

Daripada pandemik ini, banyak pelajaran yang perlu diambil oleh dunia.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Setiap kali Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media, ataupun Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberikan kenyataan, mereka disambut dengan kritikan, kata-kata sinis, dijadikan bahan lawak.

Malahan luahan berbentuk caci-maki yang tidak beradab, baik dalam bentuk komen di media sosial, mahupun dalam perbualan biasa dalam kalangan orang ramai.

Begitulah juga apa yang berlaku pada dua sidang media beberapa hari lalu, dan minggu sebelumnya iaitu ketika negara sedang bertungkus lumus menghadapi gelombang varian Omicron virus Covid-19.

Kenyataan-kenyataan mereka disambut oleh sebahagian rakyat negara ini dengan sikap negatif.

Bukannya tidak boleh mengkritik atau menegur menteri dan kementerian.

Tetapi tentu mudah untuk melihat perbezaan antara kritikan membina dengan kata-kata untuk menyakitkan hati.

Sikap positif atau negatif boleh dilihat daripada komen-komen itu.

Begitu juga nada kebencian boleh terserlah dalam kata-kata mereka itu.

Ada juga kritikan bermotifkan politik.

Kritikan itu bertujuan untuk memaparkan kelemahan parti yang menerajui kerajaan.

Lebih-lebih lagi apabila kerajaan yang ada tidak berdiri di atas mandat rakyat melalui pilihan raya.

Menteri bukanlah seorang yang sempurna, begitu juga dengan para pegawai kementerian.

Tetapi mereka memikul tanggungjawab dan perlu melaksanakannya semampu mungkin.

Tentulah terdapat pelbagai pilihan dalam membuat sesuatu keputusan, tetapi akhirnya mereka kena memilih satu yang terbaik setelah menimbang pelbagai faktor.

Dengan mempunyai kemahiran, terlatih dan pengalaman untuk melaksanakan tugas, tentu kakitangan kerajaaan dikira paling layak dan sesuai.

Bersama maklumat yang mereka memiliki tentu keputusan yang dibuat mengambil kira pelbagai sudut.

Sistem politik dan pentadbiran negara ini dikira baik dan berkesan walaupun banyak perkara boleh dibaiki.

Sistem perkhidmatan kesihatan negara ini boleh dianggap antara yang baik di dunia.

Dalam pada itu, walaupun Umno tidak sepopular seperti dahulu tetapi Khairy adalah antara ahli politik yang masih boleh dianggap berkesan.

Sebenarnya sebahagian besar rakyat mempunyai sikap positif dalam usaha melawan Covid-19 dengan mereka memberi kerjasama mematuhi segala arahan terkini baik dalam hal SOP mahupun mengambil vaksin termasuk dos penggalak.

Tetapi mereka tidaklah aktif menulis komen berbanding golongan yang memperlekehkan usaha kementerian kesihatan (KKM) itu.

Jadinya, penentang-penentang usaha KKM itu kelihatannya lebih vokal dan ia mempengaruhi sebahagian rakyat yang pada asalnya bersedia menerima vaksin termasuk dos penggalak.

Maka adalah tidak menghairankan apabila menteri ada menyebut bahawa dalam kalangan orang Melayu, mereka yang mengambil dos penggalak tidak sampai 50%.

Apabila disebut Melayu, maka perkara ini sudah dilihat dari sudut kaum.

Dalam hal ini, ada tiga stereotaip, tetapi ia boleh jadi ada asas fakta, yang dikaitkan dengan orang Melayu.

Pertama, orang Melayu kurang mengambil berat terhadap kesihatan berbanding kaum lain.

Kedua, orang Melayu cenderung untuk mempercayai rawatan alternatif berbanding perubatan berasaskan sains.

Ini membawa kepada perkara ketiga. Orang Melayu kurang membaca untuk memahami sesuatu perkara dan berfikir secara rasional.

Bayangan stereotaip ini pernah diungkapkan dalam buku Revolusi Mental yang ditulis oleh sepasukaan pemikir Melayu dan diterbitkan oleh Umno pada awal tahun 1970-an.

Sekarang generasi orang Melayu sudah berganti. Kini terdapat ramai doktor Melayu.

Orang Melayu yang belajar, meminati dan mendukung sains juga sudah ramai.

Begitu juga, sudah banyak orang Melayu yang lebih berfikiran rasional.

Tetapi dari pengalaman saya, dengan melihat media sosial dan mendengar perbualan di tengah-tengah masyarakat, soal kesihatan, menolak cara fikiran saintifik dan rasional adalah amat tebal.

Malah tidak kurang pula ada kalangan mereka yang lulusan sains tetapi lebih mempercayai rawatan-rawatan yang tidak ada asas rasional.

Apabila membaca hantaran dan komen dalam media sosial, saya boleh tambah lagi dua stereotaip untuk orang Melayu.

Pertama, mereka tidak serius dan gemar membuat lawak tentang perkara-perkara serius.

Kedua, mereka kurang beradab walaupun kuat beragama dalam hal amal ibadah dan hukum-hakam.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia juga sedang dihadapi negara-negara lain, malah lebih teruk lagi.

Di Kanada, New Zealand, Belanda dan Jerman, ada sebahagian rakyatnya keluar ke jalan raya berdemonstrasi kerana membantah SOP bagi Covid-19.

Mereka enggan divaksin dan menggunakan pelitup muka.

Di Barat, sama juga seperti di Malaysia, ada golongan anti-vaksin dan pendokong teori konspirasi.

Kalau di negara ini, usaha membendung Covid-19, malah kemunculan virus itu dikaitkan dengan Dajjal dan konspirasi Barat tetapi di sana, rakyatnya marah kerana pihak berkuasa menyekat kebebasan.

Bagi mereka kebebasan adalah sesuatu yang suci dan perlu dipertahankan walaupun apa keadaannya sekalipun.

Maknanya pihak berkuasa kena mencari jalan untuk menghadapi Covid-19 ini tanpa menjejaskan kebebasan mereka.

Para penunjuk perasaan itu adalah umumnya dari golongan sayap kanan dan mereka melihat sebarang usaha menyekat kebebasan ini adalah merupakan agenda golongan kiri untuk menerapkan sistem autoritarian.

Pada pihak sayap kiri pula, mereka mengungkit betapa syarikat-syarikat besar mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika manusia sedang sengsara menghadapi wabak.

Tetapi sistem dan struktur global yang ada pada hari ini sudah terbina sebegitu rupa yang menyebabkan kaedah mengatasi Covid-19 ini menjadi sedemikian.

Dunia moden atau moderniti hari ini berasaskan kepada sains dan teknologi.

Maka perubatan juga berasaskan pada sains.

Tidak ada bidang lain yang cukup tinggi kedudukannya seperti sains, teknologi dan perubatan.

Maknanya, dunia sudah menerima bahawa sains dan teknologi adalah cara mengatasi semua masalah yang dihadapi manusia.

Amalannya pula berasaskan kepada sistem politik negara bangsa, politik separa demokrasi dan ekonomi separa kapitalis.

Semua wilayah di dunia ditadbir dalam bentuk negara yang mengamalkan pelbagai jenis sistem, bercampur antara demokrasi dan autokrasi.

Dalam ekonomi pula, ia diurus dalam sistem bercampur antara kapitalis dan sosialis.

Jadi apabila muncul Covid-19, sesebuah negara akan bertindak melalui pihak berkuasanya dalam bidang kesihatan.

Mereka ini membuat rangkaian dengan pihak berkuasa negara-negara lain yang akhirnya diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihataan Sedunia (WHO).

Sistem kesihatan ini berkaitan dengan bidang sains, teknologi dan ekonomi yang melibatkan syarikat-syarikat komersial.

Merekalah yang kemudian menghasilkan vaksin, ubat dan peralatan dengan berkesan.

Sistem ini bukanlah sempurna dan serba adil.

Banyak perkara boleh dibaiki lagi supaya lebih adil dan tidak eksploitatif.

Umpamanya perpindahan besar-besaran dana awam kepada syarikat gergasi farmasi bagi mendapatkan vaksin dan ubat dengan cepat adalah tidak patut dan tidak adil.

Syarikat perniagaan, mereka berhak mengaut keuntungan tetapi ia wajar dikawal oleh negara dan badan dunia.

Umpamanya paten ubatan wajar dikawal supaya negara-negara tidak perlu membeli dengan harga tinggi.

Daripada pandemik ini, banyak pelajaran yang perlu diambil oleh dunia.

Untuk kesejahteraan manusia sejagat, suatu reformasi global dalam memperbaiki sistem kesihatan sedunia juga perlu dilakukan.

Namun perubatan yang berasaskan sains, teknologi dan polisi awam bukan saja perlu diteruskan tetapi wajar ditingkatkan.

Varian Omicron ini bukanlah yang terakhir, begitu juga dengan Covid-19 walaupun pandemik ini akan beralih kepada endemik.