- Iklan -
Rencana

Pesta jutaan ringgit, champagne dan artis Hollywood hasil wang rompakan 1MDB

Imej integriti dan kecekapan Malaysia merudum apabila berita ini dilaporkan oleh media massa di seluruh dunia.

Khairuddin Othman
4 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB masih disiasat pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Gambar: AFP
Skandal 1MDB masih disiasat pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Gambar: AFP

Dunia digemparkan lagi. Butir-butir bagaimana dana kepunyaan rakyat Malaysia dari 1MDB dibelanjakan membuat ramai orang menggeleng kepala sambil bertanya bagaimana ini semua boleh berlaku.

Berjuta dolar Amerika didakwa ditabur apabila menganjurkan pesta makan dan minuman alkohol mahal, membayar bintang Hollywood dan selebriti menghadirinya, dan membayar rasuah kepada pemimpin-pemimpin negara, termasuk kakitangan bank pelaburan Goldman Sachs yang dilantik oleh 1MDB.

Imej integriti dan kecekapan Malaysia merudum apabila berita ini dilaporkan oleh media massa dari seluruh dunia.

Di hari pertama perbicaraan kes “rompakan berbilion dari dana kerajaan Malaysia,” Brent Wible, pendakwa dari Jabatan Keadilan Amerika, berkata skandal ini bermula apabila kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.5 bilion) daripada anggaran AS$6.5 bilion (hampir RM27 bilion) bon terbitan 1MDB yang dilakukan Goldman Sachs tiga kali di antara 2009 dan 2014, lapor The Guardian pada 14 Februari lalu.

Secara ringkas, kes ini melibatkan konspirasi dua kakitangan Goldman Sachs, Timothy Leissner dan Roger Ng, serta dalang Jho Taek Low atau Jho Low. Ng dan Jho Low adalah rakyat Malaysia.

Pihak pendakwa berkata ketiga lelaki tersebut telah merancang untuk membayar rasuah AS$1 bilion (lebih RM4 bilion) kepada pegawai-pegawai tinggi Malaysia dan lain negara supaya Goldman Sachs boleh menganjurkan AS$6.5 bilion terbitan bon 1MDB untuk membiayai projek-projek berfaedah bagi rakyat Malaysia, lapor New York Times pada 13 Februari 2022.

Tetapi, sebilangan besar wang didakwa diseleweng ke poket Jho Low, Leissner, Ng dan seorang pemimpin Malaysia. Wang rompakan 1MDB juga digunakan untuk membeli hotel butik di Beverly Hills, beberapa bangunan apartmen, beberapa lukisan (Claude Monet, Andy Warhol, Jean-Michel Basquiat dan Picasso), kapal layar mega (benilai lebih RM1 bilion), jet peribadi, hadiah sebuah piano akrilik telus (bernilai RM4 juta) untuk supermodel Miranda Kerr, dan saham dalam syarikat portfolio EMI Music Publishing, tambah New York Times dan BBC News pada 2 Julai 2020.

Pihak juri telah ditunjuk invois berjumlah hampir AS$3.6 juta (RM15 juta) dari pesta di Las Vegas yang dianjurkan oleh Jho Low, di mana AS$100,000 (RM410,000) adalah untuk 65 botol Cristal Champagne serta AS$38,955 (hampir RM160,000) sebagai tip perkhidmatan, lapor Bloomberg pada 16 Februari 2022.

Angka-angka ini didedah oleh Alex Cohen, ketua pegawai kewangan syarikat hiburan dan pemasaran Strategic Group yang menganjur beberapa majlis pesta untuk Jho Low di perbicaraan itu. Tambahnya lagi, majlis-majlis pesta untuk Jho Low itu mewakili 25% keuntungan syarikat pada 2012.

Anggota juri juga dapat melihat bayaran-bayaran perkhidmatan untuk selebriti Amerika hadir di pesta-pesta Jho Low: Leonardo DiCaprio: AS$250,000 (lebih RM1 juta), Paris Hilton: AS$100,000 (RM410,000); Megan Fox: AS$250,000 (lebih RM1 juta); Kim Kardashian: AS$50,000 (RM205,000).

Bloomberg melaporkan suasana di pesta Jho Low adalah “seperti tiada hari esok”.

Cohen turut menamakan artis Sean “Diddy” Combs, Jamie Foxx dan Fergie anggota The Black Eyed Peas yang hadir di pesta-pesta tersebut selaku para jemputan atau penghibur. Dalam satu acara, syarikatnya dibayar AS$5,000 (lebih RM20,000) untuk mendapat wanita yang boleh meriuhkan suasana pesta.

Pendakwaan ini berlaku di Amerika kerana negara tersebut mempunyai Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) yang melarang syarikat dan rakyatnya, serta bukan negarawan melakukan rasuah dan pengubahan wang haram melalui sistem kewangannya.

Nampaknya Jabatan Keadilan Amerika lebih pantas dan serius dalam membasmi gejala rasuah berbanding Malaysia. Lihat sahaja mereka yang telah dijatuh hukum dan didakwa di mahkamahnya.

Ng dituduh melanggar FCPA dengan memberi rasuah pegawai-pegawai di luar negara, memintas kawalan perakaunan, dan pengubahan wang haram, lapor Hadi Azmi di South China Morning Post pada 18 Febuari 2022.

Jho Low, yang turut didakwa bersama Ng sejak 2018 masih belum ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika dan Malaysia. Pihak Malaysia berkata dia dilihat di China, tetapi Beijing menafikannya.

Selaku bekas ketua pelaburan perbankan di Goldman Sachs Malaysia, Ng tidak mengaku salah. Di dalam afidavit setebal 126 muka surat (kenyataan bertulis mengesahkan secara bersumpah untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah), peguambela Ng berkata kliennya dijadikan kambing hitam di dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah Wall Street.

Jika Ng, 49 tahun, didapati bersalah atas tuduhan menerima AS$35 juta (RM146 juta) rasuah dalam peranannya membantu menyeleweng dana 1MDB, dia boleh dipenjara selama 20 tahun dan lima tahun bagi setiap dua tuduhan rasuah.

Bagi Leissner, bekas majikan Ng dan pengerusi Goldman di Asia Tenggara, dia telah mengaku salah pada 2018 di mahkamah Amerika atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan melanggar FCPA.

Dia mengaku memberi rasuah kepada pegawai-pegawai Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu untuk melicinkan urusan penjualan bon oleh Goldman Sachs.

Mahkamah Amerika telah mengarah Leissner membayar denda AS$44 juta (lebih RM180 juta) serta jaminan akan dipertimbangkan hukuman ringan.

Bagaimanapun, Leissner berkemungkinan dipenjara lebih dari 10 tahun apabila dijatuh hukum dalam tahun ini, lapor Bloomberg, 18 Februari 2022.

Andrea Vella, bekas ketua bersama di Asia bagi pelaburan perbankan Goldman Sachs dikatakan oleh Leissner menyokong dan mengetahui peranan Jho Low selaku pembuat keputusan ke atas transaksi 1MDB.

Bank pusat Amerika Federal Reserve telah mengharamkan Vella seumur hidup daripada bergiat dalam industri perbankan kerana peranannya dalam skandal 1MDB.

Hanya Jho Low yang masih bebas dan diburu oleh agensi berkuasa Amerika dan Malaysia.

Menurut pihak pendakwa Amerika, Jho Low dituduh mengambil peluang daripada hubungan kuat politik untuk mendapatkan perniagaan bagi 1MDB melalui bayaran rasuah bernilai ratusan juta dolar.

Malahan, berbilion dolar telah melalui sistem kewangan Amerika bagi tujuan pengubahan wang haram.

Jho Low digambarkan sebagai gemar mencampurkan urusan perniagaan dengan hiburan.

Dia terkenal dengan temasya mewah dan rakan-rakan berprofil tinggi bersama kerabat diraja Arab dan selebriti ternama di Amerika, seperti penyanyi Britney Spears yang muncul keluar dari kek di sambutan hari jadinya di Las Vegas pada 2021.

Perbicaraan di mahkamah persekutuan New York baru bermula dan dijangka berjalan selama enam minggu (mengapa di sini perbicaraan segera dan pantas tidak dilangsungkan?).

Tentunya lebih banyak rahsia-rahsia akan terbongkar seperti siapa penerima rasuah daripada wang rompakan 1MDB.

Jika anda hanya membaca berita dari suratkhabar dan menonton TV ketika kehangatan skandal 1MDB pada 2015, anda akan tertipu dengan kenyataan semuanya baik di negara ini.

Wartawan dan editor Malaysia mengetahui laporan mengenai 1MDB mengundang bahaya dan risiko lesen perniagaan disekat, lapor BBC News pada 9 Ogos 2019.

Tetapi kerajaan Barisan Nasional dahulu sudah berlalu.

Oleh itu, untuk menjadi lebih prihatin berhubung skandal 1MDB ini, diharapkan para wartawan dan editor lebih berani bersuara, membongkar kejahatan yang merugikan rakyat.

Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kenyataan Dr Mahathir Mohamad:

“(Usaha Umno untuk menang di PRN Johor) mesti digagalkan kerana jika ia berkuasa semula, ini bererti negara akan dikawal dan diperintah oleh seorang kleptokrat (pemerintah menggunakan kuasanya untuk merampas sumber kekayaan negara) dari kluster mahkamah untuk terus merompak.”

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.