- Iklan -
Kolum

Mengapa perang tidak diharamkan?

Kalau manusia boleh mengharamkan perhambaan dan berjaya menghapuskannya, mengapa tidak peperangan?

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Tentera Rusia masuk ke Ukraine dan perang sedang berlaku di negara itu. Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah gagal menghalang peperangan itu.

Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang tujuan kewujudannya adalah untuk mengelak perang.

Antara sumbangan idea Dr Mahathir Mohamad kepada dunia adalah ajakannya supaya manusia mengharamkan perang.

Beliau mengemukakan gagasan itu pada tahun 2005 dan kelihatannya itu adalah tumpuan utamanya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ketika itu.

Dalam hidupnya, beliau mengalami Perang Dunia Kedua, sesuatu yang kebanyakan orang Malaysia sekarang tidak lalui.

Ramai orang tentu fikir bahawa adalah mustahil untuk mengharamkan perang.

Tetapi kalau manusia boleh mengharamkan perhambaan dan berjaya menghapuskannya, mengapa tidak peperangan?

Untuk itu, beliau mahukan supaya peperangan dianggap sebagai satu jenayah.

Satu perisytiharan rasmi dibuat dan pertubuhan bagi mengharamkan peperangan juga ditubuhkan.

Usaha untuk menubuhkan dana untuk menjalankan kegiatan juga diadakan.

Pada masa itu, kerajaan juga menyokong inisiatif itu. Kini pertubuhan itu masih ada tetapi kegiatannya tidak kedengaran.

Namun gagasan asasnya tetap relevan dan wajar dihidupkan kembali.

Ukraine dirasakan begitu jauh dari Malaysia.

Apa yang berlaku di situ, iaitu perbalahan antara Rusia dengan Ukraine, Eropah dan AS tentu tentu tiada kaitan dengan Malaysia.

Tetapi Malaysia adalah antara mangsa awal konflik di Ukraine dengan kapal terbang MAS ditembak jatuh oleh pejuang pemisah yang didukung oleh Rusia pada tahun 2014.

Berpuluh-puluh tahun, rakyat Malaysia yang menaiki pesawat untuk pergi dan balik dari Eropah akan melalui ruang udara Ukraine. Ia adalah laluan terdekat dan menjimatkan minyak.

Walaupun tentera Rusia baru masuk ke Ukraine minggu lalu, peperangan di situ kira sudah bermula lebih awal lagi dengan gerakan pemisahan di situ.

Perang saudara itu menyaksikan Ukraine kehilangan wilayah-wilayahnya.

Crimea terlepas kepada Rusia dan kemudiannya para pemisah menubuhkan republik Donetsk dan Lugansk.

Maknanya kegagalan kerajaan Ukraine menghentikan perang saudara itu kini merebak hingga membawa kepada kemasukan tentera Rusia.

Begitu juga akan berlaku tindakan balas dari AS dan Eropah terhadap Rusia yang kesannya akan dirasakan oleh seluruh dunia termasuk Malaysia.

Tentu dunia umumnya wajar berasa bimbang terhadap perkembangan ini kerana jika tidak terkawal, ia boleh mengheret manusia ke Perang Dunia Ketiga, yang boleh memusnahkan planet bumi.

Rusia, AS, Britain, Perancis dan China mempunyai senjata nuklear. Malah Ukraine juga mampu membangunkannya.

Golongan yang gemar pada senario bencana akhir zaman tentu mudah untuk percaya bahawa Perang Dunia Ketiga akan berlaku.

Tetapi bagi kebanyakan orang tentulah berasakan perang itu hanya terhad di Ukraine, yang akhirnya akan berhenti sendiri. Manusia sudah cukup matang untuk mengelak peperangan.

Sudah dua Perang Dunia berlaku, tidakkah manusia serik? Sejak Perang Dunia Kedua tamat, banyak kajian dan perbincangan mengenai punca kedua-dua peperangan itu dibuat.

Apa yang dilihat ialah suatu krisis tempatan tidak ditangani segera dengan sepenuhnya melarat menjadi besar, hingga tidak terkawal.

Perang Dunia Pertama yang tidak diselesaikan dengan elok membawa kepada Perang Dunia Kedua, yang lanjutannya adalah Perang Dingin.

Sementara krisis Ukraine hari ini adalah hasil Perang Dingin yang tidak diselesaikan dengan baik. Maknanya bibit-bibit peperangan sentiasa ada walaupun bergantian generasi.

Setiap generasi wajar membanteras akar umbi yang boleh menyebabkan peperangan. Peperangan adalah seperti kemarahan yang jika tidak disejukkan boleh bersemarak menjadi pergaduhan.

Perang Dunia Pertama dirasakan hanya berlaku di Eropah dan tidak berkaitan dengan Malaya. Tetapi pertempuran berlaku juga di luar pantai Pulau Pinang antara Jerman dan Britain.

Malaya menanggung juga kesan ekonomi dan rancangan pentadbir kolonial untuk memantapkan pembangunan juga terjejas.

Selepas perang itu, banyak tanah diberikan kepada para pegawai veteran British untuk dibuat ladang getah.

Ia juga bermakna pembawaan masuk pekerja dari luar. Salah satu kawasan ladang itu terletak di hutan Ayer Hitam, Selangor dan dinamakannya Prang Besar atau Great War sempena Perang Dunia.

Di tapak itulah kini terletak Putrajaya.

Apabila Presiden Vladimir Putin berhujah mengapa Rusia marahkan Ukraine, beliau menyebut mengenai sejarah.

Putin mengkritik Soviet Union yang memberikan Crimea dan wilayah Donbass kepada Ukraine, sedangkan ia pada asalnya milik Rusia.

Semasa Soviet Union ada, perkara ini tidak menjadi isu kerana Ukraine dan Rusia adalah sebahagian daripada kesatuan itu.

Ia menjadi masalah apabila Soviet Union tumbang dan Ukraine merdeka.

Maka Rusia dapati bahawa Crimea dan Donbass yang didiami oleh etnik Rusia berada dalam Ukraine.

Hubungan antara kerajaan Ukraine dan penduduk etnik Rusia menjadi tegang apabila mereka dikehendaki menggunakan bahasa Ukraine.

Ada benarnya apabila Putin berkata bahawa Ukraine dan Rusia adalah sebangsa.

Mereka adalah dari rumpun Slav dan bermazhab Kristian Ortodoks.

Malah pada zaman silam raja Ukraine di Kiev turut memerintah hingga meliputi Moscow.

Tetapi itu sejarah. Ukraine tetap negara berasingan dan mempunyai kedaulatan terhadap wilayah-wilyahnya.

Orang Rusia adalah golongan minoriti di Ukraine.

Tetapi kehadiran mereka di situ juga berpunca dari perpindahan paksa yang dilakukan oleh Moscow pada zaman Soviet.

Crimea yang asalnya mempunyai penduduk etnik Tartar beragama Islam yang ramai tetapi mereka dipaksa pindah dengan segala kesengsaraan ke wilayah Rusia yang lain.

Tempat mereka diganti dengan orang Rusia.

Crimea amat penting bagi Rusia kerana di situ terletak pangkalan tentera laut iaitu di Svestapol.

Semasa ia berada di bawah Ukraine, Moscow terpaksa membayar sewa, sesuatu yang Putin tidak suka.

Kepentingan strategik Crimea boleh dilihat bahawa ia satu-satunya akses laut bagi selatan Rusia.

Amat rasa tidak selesa melihat kapal-kapal tentera AS dan British berada di Laut Hitam itu.

Sememangnya Rusia berasa dirinya terkepung. Walaupun ia merupakan sebuah negara terbesar di dunia tetapi kedudukan geografinya sebegitu rupa hinggakan ia tidak bebas bergerak.

Di sebelah utara ialah Lingkaran Artik yang melumpuhkan sebarang pergerakan kapal pada musim sejuk.

Di sebelah utara, ia berdepan Kanada dan Norway. Di sebelah selatan, ia berdepan dengan Turki.

Di sebelah barat, ia berjiran dengan AS, kesemuanya adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang merupakan pakatan tentera.

Jadi Putin tidak terima bahawa Ukraine mahu menyertai Nato. Bagi Putin, ini menunjukkan Barat mahu menguasai Rusia.

Tetapi bagi Barat, Nato itu adalah usaha untuk melindungi negara-negara anggotanya daripada ancaman Rusia.

Ternyata apa yang dibimbangi oleh Ukraine itu ada benarnya kerana pelanggaran tentera Rusia itu.

Sememangnya Barat menyeru Rusia supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.

Tetapi AS sendiri tidak mempunyai rekod yang baik. Perkara ini diungkit oleh Putin.

Baginya gelagat Nato di Iraq, Serbia, Afghanistan dan Syria tidak menepati undang-undang antrabangsa.

Banyak usaha boleh dilakukan untuk mengelak perang.

Tetapi akhirnya perdamaian terletak pada prinsip seseorang, khususnya para pemimpin.

Jika Putin mendukung prinsip itu tentulah beliau tidak melancarkan perang walaupun apa saja yang dilakukan oleh Ukraine, Nato dan AS.