- Iklan -
Rencana

Gesaan buka sempadan tepati kehendak rakyat Johor

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hari ini sekali lagi menjelaskan manfaat sekiranya sempadan negara dibuka semula.

Saladin Hasan Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Majlis Pemulihan Negara diketuai Muhyiddin baru-baru ini mencadangkan supaya sempadan negara dibuka.
Majlis Pemulihan Negara diketuai Muhyiddin baru-baru ini mencadangkan supaya sempadan negara dibuka.

Gesaan Perikatan Nasional (PN) supaya kerajaan pusat segera membuka sempadan negara adalah manifestasi kefahaman dan sikap cakna parti itu terhadap kehendak rakyat dan komuniti perniagaan di Johor.

Sebagaimana dinyatakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sewaktu melancarkan ikrar parti sempena PRN Johor hari ini, negeri itu akan menerima banyak manfaat limpahan ekonomi apabila sempadan negara dibuka semula.

“Kita akan dapat melihat aktiviti ekonomi negeri Johor terutamanya dalam sektor pelancongan dan peruncitan akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negara.

“Ini tentunya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pendapatan rakyat,” demikian kata Muhyiddin.

Beberapa kenalan yang baru pulang meninjau suasana pilihan raya di Johor Bahru mengesahkan suasana bandar raya itu tidak semeriah dahulu. “Nampak sunyi,” begitulah kesimpulan mereka.

Tiada lagi kelibat warga Singapura berbelanja, malah hampir 200,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura juga tidak boleh berulang alik sebagaimana kebiasaan.

Akhirnya, yang mendapat tempias positif daripada perbelanjaan harian mereka sewaktu “terperangkap” ialah negara seberang tambak itu, bukannya Johor.

Selain pertimbangan ekonomi, gesaan PN supaya sempadan negara dibuka juga dapat merawat kesan negatif terhadap aspek sosial apabila 200,000 pekerja terbabit terpisah daripada keluarga untuk tempoh sangat panjang.

Ia bukanlah gesaaan populis PN untuk memancing undi kerana Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Muhyiddin sudah dua kali membuat syor supaya sempadan negara dibuka dengan yang terbaru pada awal Februari lalu, lengkap dengan cadangan tarikh pembukaan iaitu seawal semalam (1 Mac).

Syor dan cadangan itu bukan keputusan solo Muhyiddin, sebaliknya konsensus MPN yang dianggotai pakar dalam bidang berkaitan dan dibuat berdasarkan data kementerian kesihatan (KKM) dan kementerian dalam negeri (KDN).

Pun begitu, kerajaan pusat yang diterajui perdana menteri dari Umno, Ismail Sabri Yaakob menolak tarikh yang disyorkan dan setakat ini hanya mampu menjelaskan, ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

Seorang pemilik restoran makanan laut, Loh Kah Hwa dalam ruangan pendapat “What You Think” portal The Malay Mail menyatakan bagaimana beliau sangat gembira mendengar cadangan MPN supaya sempadan negara dibuka bermula 1 Mac 2022.

Bagi Kah Hwa, kesan pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu sangat memeritkan dan jika bukan kerana pelbagai bantuan kerajaan seperti subsidi gaji dan geran kepada peniaga kecil sepertinya sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri, sudah banyak perniagaan gulung tikar.

“Saya sangat gembira apabila Pengerusi MPN, Muhyiddin mencadangkan kepada kerajaan supaya sempadan dibuka semula pada Mac tahun ini.

“Bagi kami, ia adalah cadangan yang berani dan melihat jauh ke depan. Tetapi bayangkan kekecewaan kami apabila cadangan itu ditolak kerajaan.

“Lebih teruk lagi, pemilik perniagaan masih belum mendapat bayangan bila sempadan akan dibuka semula. Komuniti perniagaan tidak menggemari ketidakpastian kerana kita perlu merancang sumber lebih awal,” katanya.

Dalam pendapatnya, Kah Hwa percaya sebagai perdana menteri yang banyak menyaluran bantuan kritikal dan memperkenalkan pakej rangsangan sewaktu pandemik Covid-19 berada pada tahap kemuncak, Muhyiddin lebih merasai denyut nadi komuniti perniagaan.

Dan buat masa ini, kata Kah Hwa, komuniti perniagaan hanya mempunyai satu mesej: Buka sempadan sekarang!

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.