- Iklan -
Rencana

Politikus Ukraine dihumban ke tong sampah jika rasuah, di Malaysia?

Dua bekas pemimpin yang terpalit rasuah ligat menjelajah Johor, berkempen supaya parti mereka diberi kepercayaan oleh rakyat walaupun sudah terbukti miskin integriti.

Saladin Hasan Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Najib Razak memakai baju dengan slogan yang menunjukkan kesetiaan kepada bekas perdana menteri yang disabitkan pelbagai kesalahan jenayah tersebut.
Penyokong Najib Razak memakai baju dengan slogan yang menunjukkan kesetiaan kepada bekas perdana menteri yang disabitkan pelbagai kesalahan jenayah tersebut.

Masih ingatkah anda dengan sebuah klip video viral yang menunjukkan seorang pemimpin kanan parti politik Ukraine dihumban ke dalam tong sampah oleh aktivis anti rasuah pada penghujung 2014?

Ia merupakan hasil “cabaran tong sampah” yang digerakkan kumpulan aktivis berkenaan kerana sudah muak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang membarah di negara itu.

Berdasarkan laporan media tempatan, seramai lapan pemimpin politik dan pegawai kerajaan menjadi “mangsa” cabaran berkenaan.

Satu dunia bertepuk tangan dan mengalu-alukan tindakan aktivis itu, namun di Malaysia, senario sebaliknya telah berlaku dan ia semakin menjadi-jadi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Individu yang sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta sehingga digelarkan pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebagai “memalukan negara” kerana menyonglap duit rakyat, diberi sambutan sebagai wira.

Begitu juga yang sudah diperintahkan Mahkamah Tinggi supaya membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan yang ditubuh untuk membantu orang miskin.

Kedua-duanya ligat menjelajah Johor, berkempen supaya parti mereka diberi kepercayaan oleh rakyat walaupun sudah terbukti miskin integriti.

Nampaknya, Malaysia telah menghantar isyarat yang salah kepada komuniti antarabangsa.

Seolah-olah seluruh rakyat merestui perbuatan rasuah berskala mega.

Walhal perbuatan meraikan orang yang miskin integriti itu hanya dilakukan segelintir pihak yang masih tertutup mata hatinya sehingga yang “hina menjadi mulia” dan yang “hitam menjadi putih”.

Trend memalukan itu tidak memberi gambaran tepat mengenai rakyat Malaysia dan PRN Johor adalah pentas terbaik untuk menghentikan sikap “luar tabii” itu sekaligus membuktikan kita semua ada maruah serta harga diri dan tidak akan sesekali berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Mengangkat parti yang dikuasai golongan rasuah pastinya memberikan persepsi negatif dalam kalangan pelabur asing kerana ia menunjukkan Malaysia tidak menitikberatkan integriti.

Dari kaca mata pelabur asing, selain ketidakstabilan politik, kemiskinan integriti juga boleh mencetuskan masalah kronik yang meletakkan pelaburan mereka dalam situasi berisiko.

Tidak perlu melihat jauh, tolehlah ke arah negara jiran di seberang Tambak Johor.

Kemajuan mereka tidak hanya disumbangkan oleh kestabilan semata-mata, malah turut ditunjangi nilai integriti.

Kerana itu, kerajannya tidak teragak-agak menutup operasi cawangan dua bank Switzerland, BSI dan Falcon pada 2016 kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di samping menjatuhkan hukuman penjara kepada pegawai yang terlibat.

Selain itu, Pusat Kewangan Singapura (MAS) turut melarang seorang bekas perancang kewangan bank BSI, Yeo Jia Wei yang dijatuhi hukuman penjara 54 bulan daripada mengambil bahagian dalam semua hal pengurusan atau nasihat kewangan di negara itu selama-lamanya.

Malangnya di Malaysia, individu yang menyebabkan 1MDB menanggung hutang sehingga RM39 bilion bukan sahaja diraikan umpama hero sepanjang kempen PRN Johor, malah dengan selamba cuba mengajar kerajaan bagaimana untuk melunaskan hutang yang ditinggalkannya.

Malulah sikit Bossku!

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.