Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan seorang calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini. Sosialis? Ada lagi rupanya sosialis pada zaman ini.
Lebih-lebih lagi di Malaysia. Golongan dan fahaman sosialis mengalami pukulan maut apabila Soviet Union runtuh pada tahun 1989.
Ramai orang sosialis yang meninggalkan fahaman mereka apabila kuasa besar itu tumbang walaupun sememangnya ideologi Soviet berbeza, malah bertentangan dengan kebanyakan aliran yang mereka pegang.
Tetapi dengan jatuhnya Soviet, semua aliran fahaman sosialisme itu juga dianggap gagal dan hanya menjadi rujukan sejarah dan bahan nostalgia.
Banyak parti-parti sosialis dan komunis di seluruh dunia menggugurkan ideologi itu daripada perlembagaan mereka dan melakukan penjenamaan semula.
Mereka kini lebih dikenali sebagai golongan kiri yang fahaman politiknya menjadi pelbagai bentuk. Sementara yang masih mahu memegang fahaman komunis dipanggil sebagai aliran kiri jauh (far left).
Tetapi kebanyakan golongan sosialis merupakan kiri tengah (centre left).
Selepas kejatuhan Soviet Union itu, sosialisme yang dahulunya menjadi tarikan dalam kalangan intelektual dan anak-anak muda sudah tidak popular lagi.
Paling hampir mereka mendukung fahaman kiri adalah dengan mereka memilih aliran demokrasi sosial, iaitu pegangan politik di sebahagian besar negara-negara Eropah khususnya di rantau utara atau Nordic.
Maka dengan kehilangan tarikan daripada fahaman sosialisme, ramai orang beralih kepada liberalisme, konservatisme dan nasionalisme.
Golongan pekerja dan marhaen yang dahulunya bersama sosialisme beralih kepada sikap populis kanan dengan berasaskan pada etnik atau agama.
Di negara Islam pula, anak-anak muda yang dahulunya mesra terhadap sosialisme pada tahun 1950-an dan 1960-an cenderung kepada Islamisme pada tahun 1980-an, selari dengan apa yang dipanggil sebagai Era Kebangkitan Islam, ditandai dengan Revolusi Islam Iran.
Namun begitu, ada segelintir golongan kiri terus memegang fahaman mereka walaupun perbahasaan mengenai ideologi itu berterusan dalam kalangan intelektual dan aktivisnya.
Tetapi mereka amat kecil dan tidak mampu memberi impak terhadap politik negara masing-masing.
Sementara itu, ada sosialis dalam kalangan warga tua berpegang pada fahaman itu sebagai nostalgia dan warisan satu perjuangan yang hanya wujud dalam impian atau fantasi.
Tetapi dalam tahun 2000-an, bibit-bibit tarikan fahaman ini kelihatan muncul di kalangan anak muda di sebahagian dunia yang tidak berkaitan antara satu-satu sama lain.
Golongan kiri memenangi pilihan raya atau sekurang-kurangnya mempunyai kerusi cukup banyak untuk menentukan kerajaan.
Di Eropah, ia berlaku di Greece, Sepanyol dan Portugal. Kini, Parti Komunis duduk dalam kerajaan di Lisbon.
Tetapi tentunya komunis dekarang tidak seperti dahulu. Tentulah mereka mengambil pelajaran daripada kegaagalan eksperimen Soviet Union.
Ahli-ahli politik itu adalah dari kalangan anak-anak muda yang tiada kaitan dengan generasi sosialis sebelum ini.
Malah ada daripada mereka menamakannya “Sosialisme Abad ke-21” untuk membezakan dan memisahkannya daripada fahaman terdahulu yang gagal dan penuh penuh penderitaan.
Tetapi asas pada nilai kiri tetap ada iaitu kawalan terhadap kapitalisme, kesaksamaan, keadilan sosial, penekanan terhadap kepentingan rakyat dan pembelaan kaum pekerja dan golongan marhaen.
Ciri penting abad ke-21 ialah kebebasan, hak asasi manusia, kemanusiaan dan demokrasi yang mana pada abad ke-20, banyak pendukung sosialisme bersikap autoritarian dan meremehkan demokrasi.
Paling ketara kebangkitan semula sosialisme ini berlaku di Amerika Selatan yang mana pemimpin-pemimpin kiri memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan, walaupun ada antaranya gagal juga untuk mengurus ekonomi dan ditolak oleh rakyatnya.
Ia berlaku di Brazil, Argentina, Bolivia, Uruguay, Venezuela dan Nicaragua.
Tahun lalu, calon kiri di Chile berjaya memenangi pilihan raya presiden.
Di negara Barat iaitu Greece, Itali, Portugal dan Sepanyol mempunyai parti kiri yang kuat serta ada yang sudah menjadi kerajaan.
Di Amerika Syarikat, pencabar utama Joe Biden untuk menjadi calon Parti Demokratik, Bernie Sanders mengisytiharkan dirinya sosialis demokratik.
Beliau kemudian meminta penyokongnya memberi undi kepada Biden bagi menghalang Donald Trump dipilih semula.
Di Malaysia, sosialisme mempunyai stigma negatif kerana seringkali dikaitkan dengan komunisme dan amat sukar untuk menarik sokongan orang ramai.
Tambahan pula, sosialisme memerlukan pengetahuan dan pembacaan luas untuk memahaminya.
PSM mengemukakan seorang pengarah filem yang pernah memenangi hadiah peringkat antarabangsa, R Arangkannal, berusia 46 tahun, asal Skudai.
Beliau berkelulusan bidang perfileman dan sains politik dari Universiti Sains Malaysia.
Arangkannal atau Ara merupakan aktivis sosial yang menawarkan khidmatnya kepada penduduk Kota Iskandar dengan tumpuan kepada tiga isu iaitu mengurangkan kos hidup rakyat, perumahan mampu milik dan program jaminan kerja rakyat di Johor.
Beliau berdepan dengan penyandang iaitu Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) yang meraih kemenangan selesa dengan majoriti 14,543 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Setiausaha Kerja Umno Johor Pandak Ahmad dari Barisan Nasional (BN), Samsudin Ismail dari Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Dr Zaini Abu Bakar dari Pejuang.
Tumpuan pertandingan ini adalah lebih kepada antara PH dan BN.
Sementara kehadiran calon Bersatu dan Pejuang dipercayai hanya menghakis undi PH.
Ini kerana dalam PRU14 lalu, Amanah menang ketika mana penyokong-penyokong Bersatu dan Pejuang sekarang berada dalam PH.
Calon Amanah turut memperoleh banyak undi daripada penyokong DAP dan mereka yang menolak BN.
Pengundi PAS pula akan menyokong PN. Dalam keadaan ini, PSM kelihatannya tidak ada tempat.
Sementara undi anak-anak muda pula tidak diketahui akan ke mana.
Tetapi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar terletak di bawah kawasan Parlimen Iskandar Puteri yang diwakili oleh Lim Kit Siang, pemimpin DAP.
Satu lagi kawasan DUN ialah Skudai yang turut dikuasai DAP dalam PRU14.
Iskandar Puteri adalah kawasan yang awalnya dibentuk daripada kawasan Gelang Patah.
Dalam sejarah pilihan raya, Razak Ahmad dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) pernah menjadi pencabar utama BN.
Paling akhir beliau bertanding di Gelang Patah ialah pada tahun 1995 ketika PRM merupakan sebahagian daripada gabungn Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, presiden Parti Melayu Semangat 46.
Razak adalah pemimpin PRM Johor sejak tahun 1970-an lagi, ketika parti itu masih bernama Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).
Walaupun beliau tidak pernah menang tetapi Razak menjadi suara tunggal melawan BN ketika Johor masih merupakan kubu Umno.
Beliaulah yang meletak asas penentangan rakyat Johor terhadap BN.
Selepas kejatuhan Soviet, PSRM menggugurkan sosialisme daripada perlembagaannya dan parti itu hanya dikenali sebagai PRM.
Ekoran itu, salah seorng pemimpinnya, Nasir Hashim keluar parti dan menubuhkan PSM bersama beberapa NGO kiri.
Kerajaan tidak meluluskan PSM dan ia hanya didaftarkan selepas 20 tahun berjuang di mahkamah.
PSM memperoleh satu kerusi Parlimen dan satu DUN dalam pilihan raya tahun 2008 melalui pakatan dengan PKR dan Pakatan Rakyat (PR).
PSM dapat bertahan satu kerusi Parlimen tetapi gagal dalam kawasan DUN, apabila PAS yang walaupun anggota PR turut bertanding dan memecah undi pembangkang dengan mengakibatkan kemenangan BN di Kota Damansara pada PRU tahun 2013.
Selepas itu, PSM terus kalah apabila bertanding sendiri dalam PRU tahun 2018 dan pilihan raya kecil kawasan DUN Semenyih pada tahun 2019.
Rakyat Malaysia tidak dapat menerima sosialisme tetapi akan sentiasa ada generasi baru yang meneruskan perjuangan ideologi itu.