- Iklan -
Kolum

Konfrontasi ganti darurat

Jelebu adalah antara wilayah-wilayah dan daerah akhir di semenanjung yang diisytiharkan menjadi 'kawasan putih'.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ketika darurat berjalan aku tinggal di Kuala Klawang. Ketika konfrontasi berjalan aku tinggal di Batu Serambai, Ulu Klawang.

Dari segi fakta sejarah untuk warga Jelebu, darurat disambung dengan konfrontasi. Malah ketika darurat di Jelebu belum selesai lagi, konfrontasi sudah sampai.

Sebelum darurat diisytiharkan, sebelum konfrontasi sampai, tentera Jepun sudah masuk melanggar Tanah Melayu. Jepun menyerang Kota Bharu pada 8 Disember, 1941.

Jepun kemudiannya kalah. Jepun mengaku kalah pada 12 September, 1945.

Ketika orang kampung baru dua musim nak menanam padi darurat pula sampai pada 20 Jun, 1948.

Ketika darurat sampai aku belum lahir lagi. Aku membesar di zaman darurat.

Di zaman darurat, Jelebu terus menjadi “kawasan hitam”, kawasan yang aktif dengan aktiviti perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) melawan penjajah Inggeris.

Jelebu sesudah Tuan Ellis dan Tuan Ebon balik kampung, masih lagi wilayah kawasan hitam.

Maknanya masih dalam suasana darurat hingga ke tahun 1965.

Jelebu adalah antara wilayah-wilayah dan daerah akhir di semenanjung yang diisytiharkan menjadi “kawasan putih”.

Kawasan Putih bermakna semua gerakan gerila PKM sudah tumpas.

Belum pun sempat darurat ditamatkan, konfrontasi bermula.

Aku ingat lagi ada keramaian di Padang Kuala Klawang apabila Jelebu diisytiharkan sebagai kawasan putih.

Keramaian ini diadakan pada waktu malam di bahagian padang tempat permainan kanak-kanak.

Padang awam Kuala Klawang terletak di tepi pekan di hadapan rumah pasung.

Malam itu aku berada di sana. Aku datang dengan harapan untuk berhibur dan bercanda-canda kerana ada keramaian.

Rupanya malam itu bukan untuk berhibur.

Malam itu ada beberapa orang bekas gerila PKM datang berceramah.

Aku tak tahu buah butir yang dituturkan oleh bekas gerila ini. Entah berapa orang yang berucap pun aku tak tahu. Mereka berucap melalui alat pembesar suara dalam bahasa Tionghoa.

Juruhebah pun bertutur dalam bahasa Tionghoa.

Aku nampak ramai warga Kuala Klawang dan orang Jelebu datang mengelilingi pentas. Budak-budak bawah umur seperti aku ini hanya datang buat ramai. Kami tidak tahu hujung pangkal.

Aku tertanya-tanya apa yang berlaku. Yang aku dengar hanya ayat, “Cina komunis serah diri”.

Ini bukan bermakna PKM tiada gerila dan penyokong Melayu. Malah aku sendiri tahu di Jelebu ada gerilawan PKM yang tersohor bernama Zaiton.

Anak gadis bernama Zaiton Kidon ini adalah legenda dan kemegahan orang Kampung Amar Penghulu dan Ulu Klawang.

Daripada apa yang aku dengar keluarga Pakcik Kidon ini tinggal di Kampong Kelaka. Ini kampung ulu pedalaman di mana kampung Pakcik Kidon berjiran dengan kampung Orang Asli, Sakai Kelaka.

Mengikut surahnya ada pasukan gerila PKM beroperasi di sekitar Kampung Kelaka.

Ketika itu si Zaiton ini masih belasan tahun. Gerila PKM ini datang minta bantuan. Mereka meminta orang kampung membelikan bahan makanan di kedai di luar kampung.

Pasukan gerila PKM ini kerap datang ke Kampung Kelaka kerana kampung ini amat ulu dan jauh dari pengetahuan untuk dapat dihidu oleh tentera Inggeris dan Gurkha.

Si Zaiton ini akan keluar ke Kampung Amar Penghulu, ke kedai runcit Haji Ramli untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh gerila. Akhirnya hubungan keluarga Zaiton dengan gerila menjadi akrab.

Akhir setelah Zaiton mendewasa belasan tahun, gerila PKM mempelawanya untuk masuk ke hutan berjuang bersama mereka.

Pakcik Kidon dan keluarga bersetuju. Maka Zaiton masuk hutan untuk dilatih menjadi gerilawan PKM.

Pernah aku mendengar cerita komunis Zaiton ini dari Mak Long Biah, isteri kepada Pak Long Arof.

Suami isteri ini menjadi keluarga angkat keluarga Zaleha dan Rais ketika kami tinggal di Kampung Batu Serambai.

Satu malam lepas makan di rumah Mak Long Biah kisah Zaiton keluar.

Malam itu pak long dan mak long mengadakan kenduri doa selamat sempena menyambut beras baru.

Bukan kenduri besar hanya dua tiga keluarga dijemput.

Lepas makan orang-orang dewasa, mak, abah dan kakak akan bersila duduk atas tikar sambil menggulung rokok. Ada yang makan sirih sambil minum teh panas kosong.

“Den ado jumpa Zaiton…lopeh dio dah serenda… dio duduk di Klako.” Mak Long Biah memulakan cerita.

Aku, abang dan adik aku duduk melopong mendengar orang tua-tua bercerita.

Aku amat suka mendengar kisah-kisah dari mulut orang tua. Macam-macam cerita keluar dari mulut mereka.

Ada cerita pengalaman jumpa harimau, jumpa babi atau kisah menjerat kancil atau mencari ikan.

Untuk aku paling menarik bila orang tua-tua membuka kisah si anu dan si anu kena racun. Si anu kena rasuk atau si anu jumpa hantu.

Mata aku tak pernah mengantuk bila mendengar cerita-cerita ini.

“Laaa…. Eton ni kato … mak long.. tau tak.. ado sekali.. kami ateh bukit. Eton nampak mak long dalam sungai mengocar ikan. Pasukan kami mandang ke bawah dari atas bukit… tak buek apo-apo.”

Mak Long Biah bercerita tentang Zaiton dan pasukan gerila PKM yang ternampak orang kampung sedang mencari ikan dalam sungai.

“Mak Long ooi… Orang Putih tak dapek cari kami, kito pandai ilang dalam hutan… cari tak jumpo.” Mak Long meneruskan cerita.

Mata aku terbuka luas.

Kemudian mak long bersurah sebagai perawi sahih.

Mengikut cerita mak long yang didengar dari Zaiton, pasukan gerila komunis ini akan berjalan kaki ke belakang, jalan terbalik hingga sampai sebatu lebih.

Bila Gurkha jumpa tapak kaki, mereka akan anggap gerila ini jalan ke depan walhal gerila berjalan ke belakang.

“Eton ini bercerito… ada maso komineh ni manjat pokok bergayut dari pokok ke pokok macam cikah… ini untk hilangkan tapak kaki.” Mak Long Biah menjadi perawi sahih memungut surah dari Zaiton.

Baru aku sedar betapa liciknya gerila PKM ini ketika berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu.

Kami budak-budak Kampong Batu Serambai tidak pernah bertemu dengan gerila PKM.

Tapi semua orang Ulu Klawang dan mungkin juga warga Jelebu tahu atau pernah mendengar lagenda Zaiton, anak Pakcik Kidon.

Paling hampir kami dengan komunis ialah apabila bermain “perang-perang” memakai senapang buluh dengan peluru buah cenderai.

Ada yang jadi gerila komunis dan ada yang jadi tentera Gurkha. Kami bermain dalam belukar tepi sekolah di sebelah kebun getah Raja Husin.

Letih bermain perang-perang kami duduk di tepi padang sekolah bercerita tentang komunis dan darurat.

“Kau tak tahu maso.. darurat… ada kerpiu… malam tak leh keluar.”

Ayen bercerita pengalaman dirinya di zaman darurat.

Nama Ayen sebenarnya Raja Ibrahim anak kepada Raja Husin pemain silap mata yang tersohor di Jelebu.

“Konfrontasi sekarang ni… takda kerpiu.. boleh keluar malam.. malam-malam ada pengawal kampong.” Ayen bersurah sambil ketawa.

“Tu malam tak keluar, gi ngaji aaa.” Aku bertanya sama ada mereka belajar membaca Quran di waktu malam seperti kebiasaan budak-budak kampung.

“Kito mengaji di surau… surau Lobai Juri.” Ujang mencelah memberikan penjelasan.

“Jang … kao ingat tak? Ontah berapa kali… kito lari masuk dalam longkang bilo dongar ada kereta lalu… kito paling takut kereta Gurkha dari Bukit Tangga nak balik ke Klawang. Kereta perisai… ada mesingan terpasang… konfrontasi ini tak macam darurat. Gurkha pun dah takdo.” Raja Ibrahim memberi gambaran antara zaman darurat dengan zaman konfrontasi.

Aku merasa ketinggalan kerana tidak ada pengalaman macam Ayen dan Ujang yang lari masuk longkang tepi jalan. Lari menyorok dari kereta Gurkha.

Konfrontasi berterusan. Ada rapat umum di sana sini. Rapat umum mengutuk Sukarno.

Semua ini aku baca dalam Utusan Melayu. Aku membesar, aku celik dunia melalui akhbar Jawi Utusan Melayu dan akhbar hari Ahad Utusan Zaman.

Dari dua akhbar ini aku baca kempen Ganyang Malaysia berterusan di Jakarta. Tunjuk perasaan sering berlaku di hadapan Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Ketika ini Sukarno bukan lagi Bung Karno nasionalis Nusantara.

Tapi dari Utusan aku ada terbaca konsep Melayu Raya dan Maphilindo. Ketika tingkatan satu dan tingkatan dua aku tidak faham semua ini.

Satu hari ketika aku berbasikal pulang sekolah aku berselisih dengan banyak lori askar.

Aku tidak tahu apa yang berlaku.

Setelah makan tengah hari aku, berjalan mencari kawan arah ke sawah. Bila aku hampiri rumah Cikgu Ali, dia guru pencen, aku terperanjat kerana di hadapan rumahnya ada sebuah kereta jip.

Atap hijau jip ini berambu-rambu dengan kain perca hijau. Tidak ada sesiapa dalam jip ini.

Ketika ini keluarga Cikgu Ali tiada di rumah. Aku berjalan sambil tercari-cari. Tidak tahu apa yang aku cari.

Aduh! Aku terserempak dengan seorang “Negro”. Dia memakai topi besi macam askar Jerman.

Dia duduk di bawah pokok jambu di atas rumput di tepi perigi Cikgu Ali.

Di hadapan tentera Negro ini kelihatan satu kotak seperti radio dengan gagang telefon. Juga ada wayar besi sebesar jari kelengkeng terpacak di alat ini.

Negro ini tidak marah bila aku hampiri. Malah dia tersenyum menampakkan giginya yang putih.

Dari alat ini aku dengar suara. Sahih ini radio. Mungkin ini juga telefon. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku. Si Negro ini bercakap dalam bahasa Inggeris.

Apa yang aku dengar hanya “Yes Sir… roger Sir..” Siapa Roger ini tidak pula aku tahu.

Lama juga aku memerhatikan si Negro ini. Kemudian dia membawa alat ini masuk ke dalam kereta dan beredar.

Siapa Negro ini? Tentera dari mana Negro ini aku tidak tahu. Bila aku buka cerita ini kepada kawan-kawan ramai tak percaya.

Esoknya makin banyak lori askar datang. Semua lori ini membawa tentera. Kali ini aku lihat ramai tentera Orang Putih. Aku nampak juga askar Melayu.

Kami budak-budak hairan dengan apa yang sedang berlaku.

Apakah ada perang di Jelebu? Apakah askar payung terjun Sukarno sudah datang sekali lagi ke Gagu?

“Hoi… askar ni sumo pergi ke Kenaboi.” Ayen memberi maklumat.

“Perang ke di Kenaboi?” Aku bertanya.

“Bukan perang… berlatih perang.” Ayen yang lebih tua daripada kami memberi penerangan.

Kenaboi ini kawasan hutan. Kampung paling ulu di daerah Jelebu.

Ramai Sakai duduk di Kenaboi. Malah kami budak-budak kalau dituduh berasal dari Kenaboi ini menjadi satu penghinaan. Malah boleh menimbulkan pergaduhan.

Esok petang pulang dari sekolah aku melihat satu perkara yang tak pernah aku lihat.

Aku ternampak helikopter dengan dua kipas. Kami di padang sekolah bersorak-sorak bila ternampak helikopter ini.

Kemudian lebih memeranjatkan, kami ternampak helikopter dua kipas menjinjing sebuah jip. Kami budak-budak bersorak.

Kami macam menonton wayang perang. Helikopter melintas depan Kampung Batu Serambai dalam perjalanan menuju ke Kenaboi.

Satu petang dua minggu kemudian askar-askar ini pulang dari Kenaboi.

Sekali lagi mereka akan melintasi kampung kami.

Untuk kami anak-anak di zaman konfrontasi ini pesta cukup menarik.

Kami beratur di tepi jalan dan melambai-lambai pada lori dan jip.

Ada askar Melayu, ada tentera Gurkha dan ada askar Orang Putih.

Bila lori Orang Putih lalu, maka kami akan melaung “Joni, Joni, Joni” dan “Jon, Jon, Jon”.

Dari dalam lori tentera Orang Putih akan melemparkan keluar gula-gula, coklat dan biskut.

Ini bekalan makanan ration yang mereka tidak makan.

Kami budak-budak amat gembira bila lori askar Orang Putih lalu.

Kami merasa muram bila lori askar Melayu atau lori Gurkha lalu.

Mereka tidak membaling apa-apa keluar. Mereka “buat dek” saja melihat kami berdiri di tepi jalan.

Aku terus ke sekolah. Seperti biasa di sekolah kami ada latihan keselamatan jika sekolah kami kena bom.

Aku terpikir juga siapa agaknya yang hendak mengebom sekolah kami.

Ketika itu aku tidak terfikir askar payung terjun Sukarno akan datang ke Jelebu.

Aku yakin tentang ini kerana aku sudah melihat dengan mata kepala aku sendiri alat radio askar Negro yang canggih.

Aku juga yakin askar Indonesia tidak memiliki helikopter dua kipas seperti yang aku saksikan melintas di Kampung Batu Serambai.

Malah Utusan Malaysia dan Radio Malaya selalu melaporkan berita ramai rakyat Indonesia miskin hingga mereka makan tikus.

Tiba-tiba satu pagi pada September 1965, aku dengar berita Sukarno kena tangkap.

Aku dalam tingkatan dua atau “form two”.

Aku tak tahu apa yang berlaku.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.