- Iklan -
Rencana

Syarikat mesti rebut peluang potongan cukai anjur program kesedaran benci rasuah

Perkara ini adalah sumbangan penting syarikat swasta atau organisasi korporat dalam usaha membudayakan integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat.

Abdul Hakim Abdullah
2 minit bacaan
Kongsi

Langkah kerajaan melalui kementerian kewangan yang bersetuju meluluskan secara dasar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan potongan cukai pendapatan kepada mana-mana syarikat swasta atau organisasi korporat yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkait usaha pencegahan dan pendidikan anti rasuah di negara ini amat dialu-alukan dan disambut baik oleh semua pihak.

Pelaksanaan program ini membolehkan syarikat swasta atau organisasi korporat mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Berdasarkan peruntukan itu, syarikat atau organisasi korporat dan swasta layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

Insentif pelepasan cukai tersebut dilihat dapat menggalakkan lebih banyak syarikat swasta atau organisasi korporat bekerjasama dengan SPRM dalam melaksanakan program pencegahan dan pendidikan antirasuah.

Perkara ini adalah sumbangan penting syarikat swasta atau organisasi korporat kepada usaha membudayakan integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat kita.

Program pencegahan serta pendidikan antirasuah yang dilaksanakan oleh syarikat swasta atau organisasi korporat menerusi penganjuran program CSR ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah dan bukan hanya kepada kakitangan syarikat itu sendiri.

Lebih menarik, program-program yang dilaksanakan juga bukanlah aktiviti yang mengutamakan perniagaan, tidak bermotifkan keuntungan serta tidak menyentuh isu politik semasa.

Kini, peluang dan ruang telah dibuka maka kesedaran serta perhatian terhadap kesan rasuah terhadap masyarakat dan negara perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat bagi menghindari impak dan kesan negatif yang boleh menghancurkan masa depan negara.

Sinergi antara syarikat swasta atau organisasi korporat, SPRM dan masyarakat dalam membanteras gejala rasuah perlu dijalin dengan baik malah secara berterusan.

Jadi, apa yang ditunggu lagi?

Gapailah peluang ini dengan menghubungi SPRM untuk mendapat maklumat lanjut atau memulakan perbincangan supaya program integriti dan antirasuah dapat dianjurkan demi kepentingan semua lapisan masyarakat.

Abdul Hakim Abdullah adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.