‘Berserah kepada Allah’, seperti tertera pada jata negeri Johor
Ia lebih bermaksud kepada bersikap tenang dan redha terhadap ketentuan takdir setelah segala usaha dilakukan.
Pak Zin
Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.
Cogan kata pada jata negeri Johor Darul Takzim ialah “Berserah kepada Allah” .
Jata negeri itu adalah tertua di Malaysia, dan ia mula digunakan pada tahun 1860, lebih awal daripada mana-mana jata negeri lain, yang diperkenalkan hanya pada abad ke-20.
Termasuk juga Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang ditubuhkan pada tahun 1895.
Sementara perlembagaan negeri Johor yang dikenali sebagai Undang-undang Tubuh Negeri Johor mula digunakan pada tahun 1895.
Perlembagaan ini menjadikan Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.
Dalam sejarah negara ini, perlembagaan ini adalah penting kerana ia dijadikan asas oleh Onn Jaafar untuk mempertikaikan kesahihan Malayan Union.
Perlembagaan ini menunjukkan adanya “kuasa rakyat” melalui Majlis Mesyuarat Negeri yang kini menjadi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Walaupun masa itu, pilihan raya negeri (PRN) belum ada, tetapi ahli majlis mesyuarat yang dilantik sultan dari golongan elit berpendidikan pada semangatnya adalah turut mewakili rakyat.
Daripada tindakan mempertikaikan Malayan Union ini, maka ia membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kemerdekaan dan akhirnya penubuhan Malaysia.
Tentunya cogan kata “Berserah kepada Allah” tidak bermaksud menyerah kepada keadaan tanpa usaha.
Ia lebih bermaksud kepada bersikap tenang dan redha terhadap ketentuan takdir setelah segala usaha dilakukan.
Sikap tawakal ini suatu sikap dihargai oleh agama Islam.
Sebuah lagi negeri yang mempunyai cogan kata serupa ialah Kelantan dengan kata-kata “Berserah kepada Tuhan”.
Di peringkat dunia, cogankata rasmi Amerika Syarikat ialah “In God We Trust”.
Ia tertera pada wang kertas dolar tetapi tidak pada jata negaranya.
Ia juga bermaksud mempunyai keyakinan terhadap Tuhan berhubung apa saja pemberian-Nya.
Dengan semangat “Berserah kepada Tuhan”, apa saja pergolakan di Johor, bersama usaha pelbagai pihak bersaing di pentas politik, akhirnya demi ketenangan suasana, rakyat wajar bertawakal terhadap apa yang berlaku dan meneruskan kehidupan seharian mereka.
Pengenalan jata negeri dan bendera rasmi pada penghujung kurun ke-19 itu adalah usaha Sultan Abu Bakar menjadikan Johor sebuah negara bangsa moden yang boleh berdiri sama tinggi dengan Britain.
Maknanya baginda membawa Johor keluar daripada sistem tradisi kesultanan Melayu kepada monarki berperlembagaan.
Warna biru tentera laut atau “Navy blue” pada bendera Johor secara rasminya melambangkan kerajaan dan rakyat.
Maknanya rakyat sudah diberi tempat dalam konsep bernegara Johor moden.
Pada masa itu, Johor adalah sebuah negara merdeka.
Belum ada perjanjian naungan dengan United Kingdom.
“State of Johore” itu bermaksud Negara Johor.
Perkataan “State” ketika itu masih bermaksud “negara” dan bukan negeri.
Hanya kemudian apabila British mewujudkan persekutuan di Malaya, “state” diterjemah menjadi “negeri.”
Ketika Onn mengetuai perwakilan ke Ekspo Antarabangsa di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1915, Johor diketengahkan sebagai sebuah negara peserta yang merdeka.
Sultan Abu Bakar dikenali sebagai Bapa Johor Moden.
Kemunculan baginda berlaku pada zaman negara-negara Asia sedang berubah untuk menjadi moden.
Di Jepun ada Maharaja Meiji, di Siam ada Raja Mongkut dan China mempunyai Sun Yat Sen.
Tetapi perubahan ini tidak lancar kerana ia diganggu oleh beberapa kuasa Barat yang hendak menakluk negara-negara Asia.
Britain, Perancis, Jerman, Rusia, malah AS turut berasak-asak mahu menakluk kesemua wilayah Asia.
Sebelum Perang Dunia Pertama, tidak ada kuasa Barat yang mahu menerima adanya negara Asia merdeka.
Johor melalui cabaran ini ketika mahu menjadi sebuah negara moden.
Perancis dan Jerman turut berlumba mahu mendapatkan tapak di Asia Tenggara.
British sudah menguasai di bahagian tengah Semenanjung dan Singapura.
Belanda sememangnya menguasai Sumatera termasuk Riau dan pulau Natuna.
Realiti geopolitik ini menuntut Johor berhati-hati dengan kuasa-kuasa Eropah termasuk Britain untuk mengelak daripada dijajah dan dikuasai.
Ketika inilah cogan kata “Berserah kepada Allah” digunakan dan lagu negeri yang liriknya bermula dengan kata-kata “Allah peliharakan Sultan.”
Untuk mengukuhkan identiti dan jati diri Johor, Tanjong Puteri dijadikan ibu kota yang dinamakan Johor Bahru.
Kedudukannya yang bukan saja strategik tetapi juga indah, dengan mempunyai esplanade bersama Pantai Lido menghadap Selat Tebrau.
Tiga bangunan penting dijadikan mercu tanda Johor moden.
Kalau London ada Buckingham Palace, St Paul Cathedral dan Whitehall, maka Johor Bahru memiliki Istana Besar, Masjid Sultan Abu Bakar dan Bangunan Setiausaha Kerajaaan.
Bangunan-bangunan gah ini didirikan untuk memantapkan kedudukan Johor sebagai sebuah negara moden.
Dalam menghadaapi cabaran geopolitik, Johor menjadi sekutu Britain melalui Perjanjian Inggeris-Johor.
Johor menubuhkan angkatan tenteranya pada tahun 1886, satu-satunya negeri yang berbuat demikian.
Pasukan yang kini dikenali sebagai Askar Timbalan Setia Johor turut menyertai Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
Antara syarat penyertaan Johor ke dalam Persekutuan Tanah Melayu ialah pengekalan pasukan itu.
Johor seperti banyak bahagian dunia lain turut ditakluk Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Dari Johor Bahru, Jepun melancarkan serangan ke atas Singapura.
Kejatuhannya sekaligus meruntuhkan empayar British di Asia Tenggara.
Penduduk Johor seperti mana tempat-tempat lain juga menanggung kesusahan semasa pendudukan Jepun dan Darurat.
Begitu juga rakyat Johor turut menikmati kemakmuran selepas kemerdekaan dan apabila pembangunan pesat dilaksanakan sehingga hari ini.
Tahun 1955 menandakan permulaan penyertaan rakyat dalam menentukan wakil mereka dalam majlis perundangan negeri apabila pilihan raya umum diadakan.
Usaha sememangnya sentiasa dilakukan tetapi akhirnya rakyat perlu “Berserah kepada Allah” untuk menghadapi realiti bagi meneruskan kehidupan.
Apabila melihat ke belakang sejak negara mencapai kemerdekaan, adalah dirasakan bahawa Johor sepatutnya boleh menjadi lebih baik.
Masa depan Johor tentunya banyak ditentukan juga oleh kerajaan persekutuan tetapi di peringkat negeri banyak perkara boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan.
Di peringkat akhir, sebarang perubahan terletak pada daya cipta dan daya usaha rakyat Johor sendiri.
Mereka bukan saja yang memilih wakil dan kerajaan negeri tetapi turut bekerjasama dan menyertai sebarang usaha pembaikan.
Dalam PRN yang baru lalu, penekanannya adalah pada golongan muda.
Perjalanan politik berlalu secara penggal lima tahun ditandai dengan pilihan raya.
Hanya beberapa penggal saja, orang muda akan menjadi golongan tua.
Maka semasa muda ini, mereka wajar bingkas bertindak untuk melakukan perubahan.
Sepanjang kempen PRN itu terserlah pelbagai isu di setiap kawasan DUN yang menuntut perhatian oleh kerajaan negeri yang bakal mentadbir.
Semua kawasan DUN dipertandingkan dan ia membolehkan isu-isu rakyat diketengahkan.
Ini kerana kunci kejayaan sebenarnya masih terletak pada kerajinan bekerja dalam apa jua bidang.
Ia termasuklah pada usaha secara bijak bagi mencapai penyelesaian secara kreatif dan bersungguh.
Serta bebas daripada penyelewengan atau korupsi. Jika tidak, negeri akan kekal sebegitu rupa tanpa perubahan.
Lebih-lebih lagi perbezaan akan dirasakan begitu ketara apabila dibandingkan dengan Singapura.
Apabila mencecah usia tua, seseorang tidak dapat banyak berbuat apa-apa.
Ketika itu, apa yang boleh dilakukan hanyalah “Berserah kepada Allah” untuk meneruskan hidup dengan ketenangan.
Terkini
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.