- Iklan -
Kolum

Apakah Ismail akan jadi PM tersingkat dalam sejarah?

Jika PM tidak bersetuju membubarkan Parlimen, sokongan terhadapnya boleh ditarik semula oleh ahli Parlimen Umno.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Formula kemenangan Barisan Nasional (BN) amat mudah.

Ia hanya memerlukan pertandingan pelbagai penjuru dan bertindak cepat tanpa was-was untuk mengambil kesempatan dalam situasi itu.

Antara faktor terbesar kejatuhan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah tindakan was-was bekas perdana menteri, Najib Razak.

Beliau tidak membubarkan Parlimen lebih awal dan sebaliknya membiarkan Dr Mahathir Mohamad bergerak sehingga berjaya menggabungkan pembangkang untuk menghadapi BN.

Bagi BN, perkara ini tidak boleh diulangi. Perang mesti dipanggil ketika musuh belum bersedia.

Musuh mesti ditewaskan sebelum mereka membina kekuatan.

Selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dan kini Johor dengan begitu bergaya, tidak pelik untuk BN mendesak diadakan PRU15.

Keadaan sekarang amat subur untuk BN menguasai politik negara.

Atas sebab itulah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terus mendesak untuk PRU15 diadakan lebih awal.

Tapi apakah keadaan yang amat subur ini baik untuk BN ini sama baiknya untuk politik dalaman Umno?

Jika BN kembali menguasai politik negara, siapa pula yang bakal menguasai Umno?

Apakah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ataupun Zahid atau bekas presiden Umno Najib?

“Tidak bolehlah disebabkan dalam satu kumpulan kecil terjerit-jerit nak pilihan raya, kita buat pilihan raya,” kata Ismail kepada pemberita ketika menjawab desakan dalaman Umno untuk diadakan PRU15 secepat mungkin.

Reaksi Ismail ini langsung tidak pelik.

Ini adalah fokus politik selepas PRN Johor.

Kemenangan bergaya BN di Johor tidak bererti ia menguntungkan Ismail di dalam politik Umno.

Ia sebaliknya mungkin menjejaskan kedudukan beliau.

Beliau mungkin menjadi perdana menteri tersingkat dalam sejarah Malaysia.

Namun begitu, jika Umno betul-betul ingin mengadakan PRU15 manakala Ismail tidak bersetuju, sebenarnya ahli-ahli Parlimen yang bersekutu dengan Zahid dan Najib boleh menarik sokongan kepada perdana menteri.

Seperti mana yang mereka lakukan terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Mengadakan PRU15 lebih awal hanya akan menguntungkan BN dan mereka yang tidak seiring dengan Ismail dalam Umno ketika pembangkang tidak bersatu.

Menyedari perkara ini, tidak hairanlah mengapa Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mencadangkan melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) antara gabungan pembangkang dan kerajaan yang berakhir 31 Julai ini.

Perkara ini nampaknya disambut positif oleh Ismail.

“Cadangan DAP untuk MoU itu juga kita akan ambil kira, yang pentingnya, kepentingan rakyat kita kena jaga, sebab itu saya katakan tadi, belum sampai masa untuk pilihan raya umum, kita tunggulah,” katanya.

Selepas Johor, perang politik kini beralih ke peringkat Parlimen.

Apakah Umno mampu memaksa kerajaan yang diterajui Ismail untuk dibubarkan lebih awal sejajar dengan desakan Zahid?

Apakah Ismail dapat bertahan dengan sokongan pembangkang melalui MoU?

Mungkinkah Ismail dicalonkan semula calon perdana menteri BN tanpa menjadi presiden Umno?

Semua ini akan menjadi penentu hala tuju negara.

Ya perang sesama ahli politik yang menentukan hala tuju negara dan bukannya rakyat.

Patut pun rakyat malas mengundi, betul kan?