Gendang PRU-15 telah dipalu dengan cukup kuat di WTC. Melihat kepada “mood” Perhimpunan Agung Umno 2021 yang sebulat suara mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera, Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin mampu bertahan lama untuk menindakkan kehendak partinya.
Ini kerana semua sedia maklum, Ismail tidak menguasai Umno, gerak kerja politik naib presiden Umno itu lembik, lemah serta tiada kemajuan.
Beliau bukan sahaja tidak boleh mengawal Majlis Kerja Tertinggi Umno – jauh sekali ketua-ketua bahagian.
Itulah sebabnya hanya empat sahaja dari 190 bahagian Umno yang mahukan pemilihan Umno dibuat sebelum PRU dilunaskan.
Baki 186 bahagian lagi dikuasai Ahmad Zahid Hamidi walaupun presiden Umno itu terpalit dan telah pun diminta membela diri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa serta rasuah.
Semua ini hanya akan memungkinkan PRU15 bakal diadakan dalam masa terdekat – sama ada Ismail suka atau pun tidak.
Lihat sahaja bagaimana Ismail dimalukan di PRN Johor dan di WTC oleh Zahid.
Namun, persoalan yang lebih penting daripada sekadar memperkatakan apa yang berlaku di WTC ialah apa hala tuju PN dan pembangkang untuk berdepan Umno dan BN dalam PRU15 nanti?
Apakah masih mahu bertahan dengan ego politik seperti sekarang atau segera membuat kesatuan politik baru.
Apa yang terjadi di Melaka dan Johor sudah terang lagi bersuluh bahawa jika ingin mengalahkan Umno dan BN, hanya satu sahaja caranya iaitu Perikatan Nasional dan penentang BN perlu Bersatu – tiada Pilihan lain.
Orang kata, kekalahan di PRN Melaka dan Johor adalah “learning mistake” tetapi jika tetap juga berdegil mahu menghulur tengkuk dengan perpecahan serupa untuk berdepan PRU-15, itu adalah “stupid mistake” kerana hanya keldai yang jatuh ke lubang sama untuk kali kedua.
Persoalannya pihak mana yang lain paling layak mengetuai gabungan PN dan pakatan pembangkang?
Jawapan itu dapat dilihat kepada statistik di PRN Melaka dan Johor. Di Johor, PN menguasai undi kedua terbesar di 26 kawasan DUN, walaupun baru ditubuhkan berbanding PH.
Paling penting, PN ketika ini adalah kerajaan yang memerintah walaupun dipimpin oleh Umno dan dari segi rekod pentadbiran, PN diterima baik oleh rakyat – sedangkan di pihak PH pula, label 22 bulan kerajaan gagal cukup diingati oleh pengundi terutamanya orang Melayu.
Justeru, segeralah kembali ke meja rundingan jika matlamatnya adalah untuk memenangi PRU15 kerana membenarkan Umno dan BN menang pilihan raya bererti memberi lampu hijau buat kluster mahkamah kembali berkuasa. Nauzubillahiminzalik!!!.
Bentuklah satu kesatuan baru yang kukuh, satu manifesto, satu logo serta satu gerak kerja politik bagi menyakinkan rakyat bahawa inilah alternatif terbaik untuk didokong bagi menjayakan transformasi negara yang tergendala dek pergolakan politik berpanjangan sebelum ini.
Realitinya, Umno dan BN juga sebenarnya seboleh mungkin tidak mahu berdepan satu kesatuan politik baru PN dan pakatan pembangkang tetapi jika jalan perpecahan yang terus dipilih oleh pemimpin, jangan salahkan Umno dan BN jika mereka awal-awal lagi sudah bertepuk tangan.
Mikail Firdaus adalah pembaca MalaysiaNow.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow