Bagi orang luar yang menyaksikan perjalanan Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU 2021) ia mencerminkan parti yang berpuak dan ucapan penuh sindiran dan mengakuan keburukan tingkah laku pemimpin-pemimpin mereka.
Dalam ucapan perasmiannya kepada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan mengumumkan prestasi menteri-menteri Umno dalam kerajaan tidak menimbulkan keyakinan seperti diharapkan, lapor Bernama 17 Mac 2022.
Kritikan ini tidak boleh diterima oleh beberapa menteri Umno.
Hishammuddin Hussein, menteri Umno di kementerian pertahanan, berkata kritikan tersebut seharusnya mengemukakan bukti jika dia atau menteri-menteri Umno lain telah menunjukkan prestasi yang rendah.
“Jika kami (menteri-menteri Umno) benar tidak berprestasi, saya fikir kejayaan parti kita pada beberapa pilihan raya negeri (PRN) tidak akan tercapai kerana ia bergantung kepada kejayaan dan prestasi kami dalam kerajaan,” tambahnya.
Turut mempersoalkan ketelusan ucapan dari pemimpin Umno ialah menteri Umno Annuar Musa, dari kementerian komunikasi dan multimedia, yang ingin tahu apa yang tidak kena dengan pentadbiran kerajaan sekarang yang diterajui oleh Umno.
“Saya ingin tahu apa yang tidak memuaskan? Atas dasar apa, dan mana fakta-faktanya? Kementerian (portfolio) mana yang tidak memuaskan?
Tentunya kesan daripada pertelagahan pemimpin-pemimpin Umno ini melahirkan banyak soalan dari orang ramai.
Bukankah tugas-tugas menteri-menteri Umno ini untuk menunaikan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk memberi fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat dengan tumpuan ke atas ekonomi ketika krisis (Covid-19)?
Adakah setelah mendapat berkenan dari Yang di-Pertuan Agong, Umno telah hilang arah dan pergelutan kuasa antara puak menjadi keutamaan? Oleh itu, tidak harian apabila ada ahli-ahli Parlimen dari Umno dan pembangkang turut menyoal tujuan sebenar Umno dari PAU 2021.
Ada yang menyoal mungkin ada agenda tersorok dari desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera diadakan tanpa mengira keadaan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi dan ekonomi yang perlu dipulihkan.
“Umno sudah ada perdana menteri, sudah ada menteri. Adakah desakan PRU15 segera diadakan bukan lagi untuk rakyat atau hanya untuk manfaat individu-individu tertentu?” tanya Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen ketika melontarkan soalan melalui Sinar Harian, 20 Mac 2022
“Umno perlu mengelak dilihat seperti oportunis (hanya memikirkan kepentingan sendiri) dan ingat hanya mereka yang ‘tiada kuasa’ dalam parti memainkan desakan supaya pilihan raya awal diadakan,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno, Nazri Aziz.
Apatah lagi, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga ahli Parlimen dari Umno, mensyorkan jangan ada PRU15 dalam masa terdekat ini.
Dia mahukan perwakilan di PAU 2021 menerima perdana menteri mempunyai kata putus sama ada Parlimen patut dibubarkan untuk PRU15 ketika pandemik ini.
“Saya yakin selaku ketua kerajaan, Ismail akan mengambil kepentingan kesihatan awam,” tambahnya.
Oleh itu, semua kenyataan daripada ucapan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendesak segera PRU15 boleh dipertikaikan.
Dakwaan kononnya beberapa kali pertukaran kerajaan sejak pilihan raya umum yang lalu telah merosakkan kestabilan politik negara dan mencengkam pertumbuhan ekonomi.
Oleh itu, negara “tiada pilihan” tetapi mendapatkan semula mandat rakyat, katanya kepada perhimpunan pemuda Umno.
Orang ramai telah lama tahu Umno terlibat dengan beberapa kali pertukaran kerajaan.
Pertama kali kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebab perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, masih belum bersedia untuk menetapkan tarikh dan menyerahkan tampuk kerajaan kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim.
Ini menyebabkan pertelagahan dalam PH. Mahathir telah ditekan dengan kata-kata nista dan dikecam oleh pihak-pihak tertentu.
Keadaan politik telah tidak menentu. Mahathir tidak dapat melihat peluang penyelesaian, lalu meletak jawatan perdana menteri.
Mahathir yang sedang berusaha membentuk kerajaan sementara dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong telah digagalkan oleh Langkah Sheraton pada 20 Februari 2020 apabila Umno, PAS dan beberapa ahli Parlimen PKR bersama Azmin Ali mendorong pemimpin Bersatu Muhyiddin Yassin agar bersetuju menubuhkan kerajaan campuran dan melantiknya sebagai perdana menteri.
Jika tiada konspirasi bersama Umno ini, tentunya kerajaan campuran tersebut tidak akan wujud.
Bersatu menggugurkan Mahathir yang tidak mahu bersekongkol dengan Umno yang dia mendakwa dipimpin oleh perasuah dan penjenayah.
Kira-kira setahun kemudian, pada awal Mac 2021, kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu menjadi tidak stabil.
Kali ini Umno penyebabnya. Menurut Muhyiddin, BN-Umno telah menarik sokongan dari PN, menyebabkan Kabinetnya meletak jawatan.
Alasan Umno adalah ia sepatutnya memimpin kerajaan dengan perdana menteri dari parti itu.
Menurut Muhyiddin pula, kejatuhan Kabinetnya adalah kerana dia enggan membebaskan beberapa pemimpin Umno (digelar kluster mahkamah) yang sedang dibicara di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Rentetan dari itu, Ismail Sabri Yaakob dari Umno telah dipilih sebagai perdana menteri.
Sekarang berlaku lagi “ketidakstabilan politik” yang dikemudi oleh Umno. Dakwaan ini terlalu rapuh kerana Bersatu, PAS dan parti-parti pembangkang telah bersetuju untuk tidak menggugat kestabilan politik sehingga Julai 2022 melalui perjanjian persefahaman dan mereka sanggup menyambungnya sehingga PRU15 pada pertengahan 2023.
Persoalannya, apa sebenarnya Umno mahu dari “ketidakstabilan politik” kali ketiga ini?
Adakah perdana menteri mereka Ismail masih enggan menggugurkan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dari kluster mahkamah? Ini mungkin benar kerana perbicaraan mereka akan menuju penghujung dan tidak memungkinkan mereka bertanding jika disabit kesalahan. Mereka akan reput dalam penjara.
Adakah Umno sanggup menggugurkan Ismail?
Menurut Nazri, Tok Mat ingin menjadi perdana menteri pada PRU15. Apatah lagi Tok Mat sendiri berkata kerajaan pimpinan Ismail lemah.
Bolehkan Ismail percaya ketika Zahid membayangkan dia akan terus menjadi perdana menteri apabila BN menang pada PRU15?
Dalam ucapannya di PAU 2021, Zahid telah membuat beberapa kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan sebenar.
Pertama, dakwaan bahawa Mahathir mengenakan tuduhan jenayah ke atasnya dan beberapa rakan termasuk “Bossku” kerana dia enggan membubarkan Umno.
Ini sukar diterima ramai kerana tidakkah mahkamah Malaysia yang dihakimi oleh mereka yang arif berkelulusan lebih tinggi dari ahli politik negara ini sebodoh itu untuk menganiaya yang didakwa kesalahan jenayah kerana enggan membubarkan Umno.
Kedua, Zahid mendakwa Umno adalah parti sebenar membawa reformasi, bukan PH.
Katanya, Umno telah mendesak reformasi politik melalui Akta Anti Lompat Parti dan Akta Derma Politik.
Desakan sama juga dibuat oleh Asyraf.
Dalam ucapan penuh ketegasan, Asyraf berkata undang-undang derma politik boleh menyekat korupsi atau salahguna kuasa.
“Tetapi kami tahu berjuta ringgit mereka (parti-parti politik) berbelanja datang dari pembekal wang dan peniaga yang melabur wang dalam parti-parti ini supaya kemahuan mereka dituruti,” tambahnya.
Anehnya, desakan awal penubuhan undang-undang anti lompat parti dan derma politik adalah dari parti pembangkang yang telah menyaksikan kejijikan skandal 1MDB yang mana kenyataan di mahkamah New York menunjukkan sebahagian besar wangnya didakwa untuk Umno membiayai PRU13 dahulu.
Sementara Asyraf membuat dakwaan ke atas parti-parti politik tanpa bukti, dia sepatutunya melihat ke arah bekas bendahari dan menteri Umno dihadapannya yang dibebaskan oleh mahkamah rayuan atas kes RM2 juta derma kepada Umno dari tauke pemaju perumahan walaupun perayu didapati telah memasukkan wang dalam akaun bank peribadi.
Ketiga, Zahid telah mebocorkan banyak rahsia kotor yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno.
Dakwanya, terdapat dua kem dalam Umno, satu golongan inginkan PRU15 segera dan satu lagi yang inginkan pemilihan parti diadakan dahulu sebelum PRU15.
Tambahnya lagi, gerakan dalam Umno itu membayar ahli-ahli akar umbi bagi mendorong pemilihan parti diadakan sebelum PRU15.
Gerakan ini juga telah membayar ahli di pilihanraya negeri Johor dan Melaka Zahid, begitu juga pada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.
Ini adalah perbuatan rasuah dan jenayah. Ia patut dilaporkan kepada polis.
Keempat, ketika mencabar ahli-ahli yang “berani” untuk bertanding jawatan Presiden Umno yang dia sandang sekarang, Zahid berkata dia tahu terdapat beberapa orang yang telah mula merancang kempen pemilihan parti.
“Selaku presiden yang pernah menjadi menteri di kementerian pertahanan, bahagian risikan adalah dibawah saya. Juga, saya pernah memegang jawatan menteri dalam negeri, Cawangan Khas (Special Branch) adalah dibawah saya. Saya tahu siapa pengurus-pengurus kartel, pengurus-pengurus kewangan,” katanya.
Baru-baru ini, pihak sisatan polis berkata tiada bukti wujud kartel dalam polis. Tetapi sekarang Presiden Umno kata ada.
Tidakkah pihak polis sepatutunya menyiasat kenyataan Zahid ini?
Kesimpulannya, inilah tragedi Melayu apabila pemimpin mereka berkata sesuatu, tetapi melakukan sebaliknya.
Kegilaan mengejar kuasa ke atas jutaan ringgit untuk kegunaan peribadi membina harta mereka hanya terus memiskinkan orang Melayu dan warganegara lain.
Apakah yang boleh kita harapkan dari 5,571 orang perwakilan yang telah menghadiri PAU kali ini?
Bolehkah 959 perwakilan dari pergerakan Wanita, 971 perwakilan Pemuda dan 961 perwakilan Puteri dan 61 perwakilan Mahasiswa Nasional membawa perubahan sedangkan pakar putar belit politik Umno sentiasa mempengaruhi mereka?
Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow