Pada tahun 1968 aku mengambil peperiksaan Senior Cambridge (SC) dan Malaysian Certifficate of Education (MCE).
Peperiksaan akhir tingkatan lima ini dikendalikan oleh kementerian pelajaran di Malaysia dengan kerjasama lembaga peperiksaan Cambridge University, United Kingdom (UK).
Kertas jawapan kami diterbangkan ke UK untuk diperiksa dan diberi markah.
Hampir empat bulan kami wajib menunggu keputusan.
Hanya Bahasa Melayu dan Sastera Melayu yang diperiksa oleh guru tempatan.
Justeru bayaran untuk SC dan MCE agak mahal iaitu sebanyak 90 ringgit.
Aku sudah bersedia untuk mengambil peperiksaan ini.
Semenjak tingkatan empat aku duduk di asrama yang hanya lima minit menapak ke Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ).
Aku membuat persediaan yang rapi. Mengulang dan membaca.
Persediaan yang lumayan, asrama ada lampu elektrik, air paip dan bilik bacaan.
Bukan duduk di rumah guru Sekolah Melayu Amar Penghulu. Membaca pakai lampu pelita. Mandi guna air perigi.
Ketika itu aku gila membaca. Perpustakaan jadi tempat rehat. Banyak buku yang aku pinjam. Banyak juga buku dari perpustakaan yang tidak aku pulangkan.
Pada permulaan memasuki tingkatan lima aku dilantik untuk menjadi “prefect” atau pengawas. Aku diberi lencana untuk dipasang pada baju. Aku merasa bangga.
Satu hari semunya berubah. Aku dipanggil ke pejabat guru besar.
“You gave a bad example… you know what you have done?” Guru besar memandang tepat ke muka aku.
Aku tunduk tidak bersuara. Aku memulangkan kembali lencana pengawas kepada guru besar.
Status pengawas ini diambil kembali oleh guru besar Mister Francis Xavier.
Ini kerana aku mengambil banyak buku dari perpustakaan. Aku gagal memulangkannya kembali.
Buku-buku ini tersusun dalam lokar aku di asrama. Aku berniat hendak membuat perpustakaan sendiri dengan mencuri buku dari perpustakaan.
Tapi babak “niat baik jalan salah” ini tidak mematahkan semangat aku untuk terus membaca.
Di asrama penghuni wajib semua ke katil jam 11.00 malam. Lampu akan padam.
Tapi ada beberapa orang yang dalam tingkatan lima termasuk aku akan “menyeludup” untuk terus membaca di bilik bacaan hingga melintas jam 12.00.
Hidup di asrama ini agak rutin.
Rabu dan hujung minggu saja warga asrama boleh dibenarkan masuk ke pekan Kuala Klawang untuk berjalan-jalan atau menonton wayang di Panggung Ruby.
Aku tidak merasa terkurung kerana kawasan asrama dan kawasan sekolah cukup luas untuk bermain, bersukan atau bercanda-canda.
Aku ingat lagi Mr Balasubramaniam guru mata pelajaran sejarah turun dengan kereta Volvo merah pada hari Sabtu dari Seremban untuk memberi kuliah tambahan.
Aku ingat juga Mister Tay guru kelas “form five arts” yang juga guru ilmu alam memberi kuliah tambahan.
Guru-guru ini bertungkus-lumus agar kami anak murid SMUJ yang majoritinya Melayu mencapai kejayaan dalam peperiksaan.
Dua guru ini amat-amat kami hormati. Mereka penuh dedikasi mahu memberi kami pencerahan.
Mereka bersungguh-sungguh mahu menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kami.
Dua guru ini adalah guru pertama memiliki ijazah dari Universiti Malaya yang mengajar di SMUJ.
Kami murid-murid merasa bangga kerana dua orang guru kami lulusan universiti. Mereka berijazah bukan dari maktab perguruan.
Dalam kelas kami selalu berbisik-bisik dan berborak sesama sendiri tentang berapa agaknya gaji guru lulusan universiti ini.
Pada tahun 1968 universiti ini tidak pernah masuk dalam perbualan kami murid di SMUJ.
Aku ada dengar nama Universiti Malaya. Di ceruk mana di Kuala Lumpur letaknya kami tidak tahu.
Sebelum peperiksaan sekolah mengadakan “mock exam” periksa olok-olok untuk melatih agar kami semua bersedia ketika peperiksaan betul-betul berjalan.
Ini untuk menyediakan jati diri kami ke dalam suasana peperiksaan. Ketika peperiksaan berjalan guru penyelia bukan dari sekolah kami.
Peperiksaan berjalan lancar tiga minggu pada bulan September 1968.
Sesudah peperiksaan SC/MCE cuti panjang sekolah belum bermula.
Ketika ini masa yang terbaik untuk kami datang ke sekolah dan tak perlu belajar. Pelajar tingkatan lima dan tingkatan tiga selesai periksa.
Masa berbulan madu di sekolah.
Kami seronok bermain dam, ular dan tangga serta daun terup.
Sebulan lebih suasana indah yang tak akan datang kembali.
Perasaan lapang tanpa tanggungjawab. Semua tugas sebagai pelajar sudah beres. Tugas pergi ke sekolah untuk menyempurnakan kehendak hati ibu bapa selesai.
Kami hanya menunggu keputusan yang akan sampai tahun depan.
Untuk murid tingkatan lima, hari sebelum cuti panjang bermula adalah hari akhir kami di sekolah. Bila sekolah di buka kembali kami sudah menjadi warga asing.
Selamat tinggal kami adalah selamat tinggal kali terakhir untuk SMUJ.
Tempat terkencing lagi dikenang inikan pula tempat lencana pengawas dicabut dari baju.
Ketika ini aku ada buku autograf.
Kawan-kawan akan menulis kata-kata ingatan dalam buku bersaiz A4 ini.
Buku dari kertas lukisan ini aku buat sendiri.
Hasil dari ilmu belajar mengikat dan menggam buku dalam kelas lukisan.
Dalam umur yang muda aku tidak ada apa-apa rancangan. Sebenarnya aku tidak pernah merancang masa hadapan hidup aku.
Apa yang sampai akan sampai. Apa yang datang akan datang.
Hidup penuh gembira atau “joie de viver” atau “enjoi de menjoi”.
Aku ingat lagi kawan-kawan asrama mengumpul baju mengikat beg untuk pulang ke kampung masing-masing.
Aku ingat lagi petang itu kami mengucap selamat jalan di Perhentian Bas Lim dalam pekan Kuala Klawang.
Ada yang pulang ke Kenaboi, Peradong, Gagu dan ada yang pulang ke Petasih.
Paling jauh Ahmad Babar atau yang kami gelar Mat Burn. Dia pulang ke Durian Tipus, wilayah bersempadan dengan Karak, Pahang.
Aku pulang ke Kampung Chenor, dua batu setengah dari pekan Kuala Klawang.
Seminggu kemudian aku merasa bosan duduk di kampung.
Lalu aku berbasikal berjumpa dengan Lee Keong kawan sekelas aku.
Keluarga Lee Keong duduk di berek kerajaan di Kaman Keling.
Ayahnya, Lee Senior pekerja Public Work Department (PWD).
“Boring.. nothing to do.” Lee Keong membuka salam.
Dalam kepala aku sudah ada satu rancangan.
Tapi aku tak tahu sama ada Lee bersetuju dengan rancangan ini.
Aku merancang untuk mengembara dengan “hitch-hiking” tumpang-tumpang kereta dari tepi jalan.
“Mari kita hitch hike. Kakak aku ada di KL seorang, di Batu Gajah, Perak seorang. Mrs Ali… ada di Kangar.” Aku membuka jalan untuk memberahikan Lee.
“Good idea Isham.” Lee Keong dengan cepat menyokong rancangan aku.
“Tapi.. kita takda duit.” Aku mencelah. Mata aku memandang Lee.
“How much?”
“Kita perlu duit… kurang-kurang 20 ringgit duit poket nak berjalan.” Aku menerangkan.
“Let’s do job week.” Lee Keong mencadangkan.
Job week atau minggu kerja adalah budaya pengakap.
Kami berdua pengakap maka kami tahu cara pengakap mengumpul dana.
Kami sudah beberapa kali melakukannya. Kami sudah arif.
Bezanya kali ini kami minta kerja dan duit bayaran bukan untuk dana pengakap tapi masuk saku kami.
“When to start?” Lee Keong bertanya.
“My house first.. tomorrow.”
Aku ingat lagi esok petang Lee Keong berbasikal datang ke rumah aku di Kampung Chenor.
Aku sudah beri tahu emak aku tentang rancangan aku nak berjalan ke Perlis. Malah aku membesarkan cerita yang aku nak masuk sampai ke Siam.
Aku beritahu Cikgu Zaleha yang kami akan membuat apa saja yang diminta dengan syarat ada bayaran.
Bayaran terpulang kepada tuan rumah. Ini budaya dan cara job week.
Petang itu Cikgu Zaleha meminta kami membersihkan laman, merumput dan kemudian meratakan sebuah busut kecil depan rumah.
Ini rumah baru Cikgu Zaleha yang dibina atas bekas kebun getah.
Beres. Petang itu kami dapat lima ringgit seorang.
Esoknya aku dan Lee berbasikal ke pekan menuju ke rumah Mister Hussein, ketua jurutera PWD Jelebu.
Rumah di atas bukit tidak jauh dari sekolah lama kami.
Aku kenal baik keluarga ini kerana isteri dan Nelly anak gadis Mister Hussein adalah teman Cikgu Zaleha. Mereka semua berkenalan dalam Women’s Institute (WI).
Kami diminta menyiram dan membersihkan kebun bunga. Ketika kami sedang bekerja datang pula isteri OCPD Jelebu melawat keluarga Mister Hussein.
Lalu kami nyatakan niat kami. Sang isteri mempelawa kami datang esoknya ke rumah OCPD di atas bukit belakang rumah pasung.
Petang itu kami dapat lagi lima ringgit seorang.
Esoknya aku dan Lee menapak naik bukit ke rumah OCPD.
Isteri OCPD sudah tahu apa niat kami. Kami diminta membersihkan pembidang buluh yang berhabuk. Kemudian kami diminta membersihkan kawasan rumah.
Sebenarnya isteri OCPD ini sengaja nak bantu kami berdua kerana Tuan OCPD ada pembantu rumah dan tukang kebun.
Sebaik saja kami selesai Tuan OCPD sampai. Dia hairan melihat kami berdua.
“Sapa budak-budak ni?” Tuan OCPD bertanya pada isterinya dengan gaya mata-mata.
“Pengakap Job Week.” Isteri menerangkan.
“Tengok betul-betul. Ada surat ke?” OCPD memandang kami.
Aku merasa cuak juga kerana ini bukan job week.
“Kelmarin dia orang ni buat kerja di rumah Tuan Hussein atas bukit… jumpa mereka di sana.” Isteri OCPD bercakap sambil menghulurkan kepada aku 10 ringgit.
Kami beredar. Aku merasa cuak dengan Tuan OCPD ini kerana kami bukan pengakap dan duit ini bukan untuk job week.
Kami kira duit yang terkumpul. Masih tidak cukup.
“Aku rasa tak cukup… aku leh minta tambah daripada emak aku.” Aku terus mempertahankan cita-cita.
“Tak pa.. minggu depan my father akan jual babi dua ekor… I will ask from him.”
Lee meyakinkan aku.
Aku juga yakin kerana aku tahu Lee Senior ada memelihara beberapa ekor babi.
Aku sudah beberapa kali datang melihat kandang babi ini.
Melawat kandang babi Lee Keong menjadi salah satu tarikan ketika kami budak-budak hostel jika berjalan ke Kaman Keling pada tahun 1968.
Dana sudah cukup. Kami perlu meminjam khemah dari guru pengakap SMUJ Mister Gama Khan.
Guru pengakap ini kenal kami berdua. Malah kami berdua ini adalah pengakap yang paling setia mengikuti segala program.
Kami pernah berkhemah tiga malam di Batu Empat di Port Dickson. Kami pernah berkhemah empat malam di Bukit Tangga.
Kami pernah berkelah di Jeram Toi Jelebu.
Semua ini program yang dikendalikan oleh Mister Gama Khan.
Justeru meminjam khemah sekolah walaupun kami sudah bukan lagi murid sekolah tidak menjadi halangan kepada Mister Gama Khan.
Khemah ini perlu jika kami tidak ada tempat menumpang tidur.
“Where are you going?” Mister Gama Khan bertanya.
“North… until Siam.” Aku dengan bangga menjawab.
“Good luck.”
“We will visit Mister Tay in Taiping and Mrs Ali in Kangar.” Aku mula mengatur rancangan.
“Don’t forget Kuala Kangsar… my home town.” Mister Gama Khan memberi ingatan.
Minggu depan aku dan Lee Keong akan memulakan hitch hiking ke Utara Tanah Melayu.
Aku tak sabar nak bergerak hendak meninggalkan Jelebu dan melihat feri ke Pulau Pinang.
Ke wilayah yang belum pernah aku jejaki.
Aku hendak keluar dari tempurung selamat aku di Jelebu.