- Iklan -
Rencana

Tahniah Abah bawa Malaysia ke fasa endemik!

Kejayaan ini bermula dengan tindakan pantas kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang mengambil tindakan drastik melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada Mac 2020.

Saladin Hasan Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara  Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Alhamdulillah, semalam 1 April, negara kita sudah memasuki fasa peralihan ke endemik. Dalam bahasa mudah, kehidupan kita semua sudah kembali kepada hampir normal sebagaimana sebelum pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Sempadan negara juga mula dibuka tepat jam 12 tengah malam semalam. Suasana di Tambak Johor umpamanya, bagaikan malam raya apabila ratusan ribu pekerja rakyat Malaysia yang “terperangkap” di Singapura mengambil peluang untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Lebih istimewa, fasa peralihan ke endemik ini bermula dua hari sebelum Ramadan tiba. Bukan sahaja saf solat jemaah sudah boleh dirapatkan, malah surau dan masjid juga boleh digunakan sepenuhnya untuk memeriahkan bulan Ramadan yang membawa ribuan keberkatan dan rahmat.

Kejayaan memasuki fasa peralihan ke endemik ini bukannya berlaku dalam sekelip mata. Sudah tentu ia memerlukan perancangan dari awal sebagaimana proses membina bangunan yang dimulakan dengan kerja-kerja menanam cerucuk sebelum strukturnya didirikan.

Kita tidak boleh menafikan kejayaan ini bermula dengan tindakan pantas kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang mengambil tindakan drastik melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Tindakan tidak popular tetapi berani itu dibuat Muhyiddin hanya dalam masa 18 hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Ke-8.

Tanpa banyak pilihan, PKP itu terpaksa dilanjutkan dalam pelbagai versi seperti PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB).

PKP yang terpaksa disambung ini menyebabkan Muhyiddin diasak dengan krisis tiga serangkai iaitu kesihatan, ekonomi dan sosial namun rakyat Malaysia bertuah kerana beliau berjaya mengemudi negara walaupun tidaklah ke tahap mampu memuaskan hati semua pihak.

Tanpa membuang masa, strategi berperang dengan Covid-19 terus dirangka khasnya melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menempah lebih 87 juta dos vaksin membabitkan perbelanjaan 4.36 bilion ringgit.

Bagi mengimbangi kesan sosial dan ekonomi akibat pandemik, kerajaan pimpinan Muhyiddin turut memperkenalkan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.

Pada 2020, kerajaan pimpinan beliau memperuntukkan RM250 bilion untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), RM10 bilion untuk Prihatin SME+, RM35 bilion untuk inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan RM10 bilion untuk pakej Kita Prihatin.

Usaha itu diteruskan pada 2021 menerusi peruntukan RM15 bilion untuk bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), RM20 bilion untuk Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa), RM40 bilion untuk PemerkasaPlus dan RM150 bilion untuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Malah, kira-kira sebulan lebih sebelum beliau terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri angkara sabotaj 15 ahli Parlimen Umno kluster mahkamah, Muhyiddin sempat membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dengan kata lain, Muhyiddin telah berjaya meletakkan satu asas yang kukuh ke arah pemulihan negara menuju ke fasa endemik untuk diteruskan oleh penggantinya, Ismail Sabri Yaakob.

Dengan pengalamannya mengemudi negara sepanjang krisis kesihatan, ekonomi dan sosial akibat penularan Covid-19, tidak peliklah khidmat Muhyiddin masih diperlukan oleh kerajaan pimpinan Ismail bagi mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

MPN merupakan sebuah majlis mesyuarat bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjayakan PPN dan menyokong jemaah menteri dalam pelaksanaan langkah-langkah berkenaan.

Sebagai contoh, pembukaan sempadan negara yang telah disyorkan oleh MPN pada 8 Februari lalu yang antara lain bagi membolehkan pelancong asing dan pelabur masuk sekaligus mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

Cadangan itu akhirnya dilaksanakan oleh kerajaan bermula semalam walaupun pada asalnya, MPN mencadangkan pembukaan sempadan itu dibuat lebih awal pada 1 Mac lalu.

Maka, benarlah kata pepatah bahawa perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Terima kasih dan tahniah Abah!

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow