- Iklan -
Kolum

Perang Ukraine: 5 pelajaran buat Malaysia

Negara yang mempunyai pertahanan kuat akan menghalang mana-mana negara jiran untuk berfikir melanggar dan menakluknya.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Perkara utama bagi sesebuah negara ialah memelihara keamanan dan mengelak peperangan.

Apabila sudah berlaku peperangan, amat sukar untuk dihentikan dan mendapatkan penyelesaian.

Namun terdapat lima pelajaran untuk Malaysia yang boleh diambil daripada Perang Ukraine.

Pertama, kepentingan kekuatan pertahanan.

Kedua, sebarang pembelian alat-alat ketenteraan hendaklah bersih dari rasuah.

Ketiga, tidak terlalu bergantung kepada pakatan ketenteraan.

Keempat, kepentingan perpaduan rakyat dan integrasi nasional.

Kelima, keperluan memiliki pemimpin yang mampu melindungi rakyatnya daripada bencana peperangan.

Malaysia dengan Ukraine adalah jauh berbeza.

Tetapi sistem bernegara moden yang diamalkan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan Ukraine adalah serupa.

Tentunya perkara ini sentiasa menjadi perbincangan dalam kalangan ahli politik, penjawat awam, ahli akademik, para penyelidik dan wartawan dalam bidang hubungan antarabangsa, pertahanan dan sejarah.

Negara yang mempunyai pertahanan kuat akan menghalang mana-mana negara jiran untuk berfikir melanggar dan menakluknya.

Sememangnya Ukraine yang merdeka pada tahun 1991 ekoran keruntuhan Soviet Union adalah kecil dalam seba-serbi berbanding Rusia.

Tetapi ia cukup besar untuk mampu berdepan dengan Moscow.

Ukraine merupakan republik kedua terbesar hasil daripada Soviet Union selepas Rusia.

Kemampuan pertahanan tentunya memerlukan kedudukan ekonomi yang baik.

Untuk itu Ukraine mampu membina pertahanannya jika diberi perhatian khusus mulai tahun 1991.

Pada masa itu pun Rusia juga berada dalam keadaan lemah.

Kedua-duanya mewarisi sistem ketenteraan Soviet Union.

Ukraine yang kuat akan membuatkan Rusia berfikir banyak kali sebelum menyerang.

Semasa baru ditubuhkan pada tahun 1991, dengan hasrat untuk hidup secara aman dan demokratik tentulah tiada tanda Persekutuan Rusia di bawah pimpinan Boris Yeltsin akan menyerang Ukraine.

Tetapi perubahan pimpinan menjadikan keadaan berbeza.

Malaysia kini dalam keadan aman, selamat dan bebas daripada sebarang ancaman asing.

Tetapi keadaan ini tidak boleh dipandang sebagai suatu yang akan sentiasa berkekalan tanpa sebarang usaha untuk memeliharanya.

Paling akhir Malaysia diancam oleh negara jiran ialah pasa tahun 1964 apabila Indonesia melancarkan konfrontasi.

Ia berakhir apabila berlaku perubahan rejim di Jakarta.

Sejak konfrontasi, kekuatan pertahanan negara dipertingkatkan untuk menghalang sebarang kemungkinan.

Tetapi dengan keadaan yang bertambah aman di rantau ini, tumpuan perbelanjaan negara tentulah kepada pembangunan seperti infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan industri.

Namun, suasana di rantau ini tetap ada cabarannya.

Bagi Malaysia, Filipina masih tidak menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

Sementara China menduduki kawasan yang masih dalam pertikaian di Laut China Selatan, yang mana Malaysia adalah antara negara yang masih mempunyai tuntutan.

Singapura, yang walaupun amat kecil melakukan peningkatan kekuatan pertahanannya sejak republik itu ditubuhkan pada tahun 1965.

Dalam pertimbangannya tentulah ia mengambil kira ancaman yang mungkin timbul dari negara-negara jirannya yang besar iaitu Malaysia dan Indonesia.

Senario jika berlaku perubahan rejim yang boleh memusuhinya tentu diambil kira.

Maknanya mana-mana negara yang menimbang untuk menyerangnya akan berfikir banyak kali kerana serangan balas boleh menjadi lebih buruk lagi.

Namun peningkatan keupayaan pertahanan yang berlebihan boleh membawa kepada perlumbaan senjata.

Kunci di sini ialah prinsip imbangan kekuatan.

Jika imbangan ini berlaku, maka persaingan perlumbaan senjata akan menimbulkan suasana tidak nyaman di rantau ini.

Singapura mampu untuk meningkatkan keupayaan pertahanan kerana kedudukan ekonominya, dari segi perbandingan, ia merupakan sesuatu yang tidak dimiliki oleh Malaysia dan Indonesia.

Langkah Singapura bekerjasama dengan Israel dalam bidang pertahanan adalah haknya sebagai sebuah negara berdaulat tetapi ia menimbulkan rasa tidak selesa dalam sebahagian kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia yang boleh melihatnya sebagai provokasi.

Seperti apa yang berlaku di Ukraine, sebuah negara berdaulat bebas hendak bersekutu atau berpakat dengan sesiapa.

Tetapi kedudukan geopolitiknya perlu mengambil kira kepentingan negara-negara jiran.

Dalam hal Ukraine, kepentingan Rusia perlu diambil kira juga.

Moscow berasa terancam dengan sebarang kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) atau sekutunya di Ukraine.

Pelajaran kedua daripada Perang Ukraine ialah rasuah dalam soal pembelian senjata dan peralatan tentera.

Ada laporan berlaku rasuah berhubung pembelian aset ketenteraan di negara itu sebelum peperangan ini.

Berita rasuah berhubung hal peralatan pertahanan adalah lumrah di dunia, khususnya di negara-negara dunia ketiga.

Umpamanya, India pernah melalui skandal ini.

Harga peralatan senjata amat mahal.

Kapal selam, jet pejuang, kereta kebal hinggalah kepada trak dan peralatan pengintipan bukannya murah.

Wang rakyat yang digunakan untuknya bukannya sedikit.

Ia pula melibatkan jurujual dan orang tengah yang meraih komisen berjuta dolar.

Tentulah perkara ini sukar untuk disiasat kerana ia merupkan perkara sensitif yang melibatkan soal keselamatan negara.

Tetapi apabila melihat aset-aset ketenteraan yang di bawah piawai, maka tentulah timbul syak-wasangka terhadap soal pembelian alat-alat ini.

Negara yang mudah terdedah kepada rasuah akan menjejaskan keupayaan pertahanannya.

Pelajaran ketiga ialah berhubung dengan pakatan pertahanan dengan negara asing.

Ukraine berharap negara-negara Barat dapat membantunya apabila Rusia menyerangnya.

Sebab itu ia merancang untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Tetapi walaupun pakatan ini boleh membantu, ia tidak menjamin keselamatan Ukraine.

Sebaliknya, ia menambahkan lagi kemarahan dan sebab untuk Rusia menyerang.

Apabila berlaku serangan, blok barat pun tidak dapat membantu menghalangnya.

Ia bermakna, menjadi sekutu barat mempunyai padahnya.

Malaysia adalah anggota Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) yang turut disertai oleh Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand yang ditubuhkan pada tahun 1971 ekoran pengunduran tentera British dari rantau timur daripada Suez pada tahun 1967.

Ia bukanlah suatu pakatan ketenteraan.

Walaupun kunci pada perjanjian ini ialah menetapkan “perbincangan segera” jika berlaku ancaman pada mana-mana anggota tetapi tiada komitmen untuk campur tangan seperti mana pakatan seumpama Nato.

Dari satu segi, ia merupakan perjanjian kuasa komanwel iaitu UK, Australia dan New Zealand untuk membantu Malaysia dan Singapura.

FDPA merupakan legasi Perang Dingin ketika mana Malaysia adalah sekutu barat.

Ia boleh membantu tetapi tidak menjamin keselamatan Malaysia jika diserang.

Pelajaran keempat dari Perang Ukraine ialah perlunya perpaduan rakyat dan integrasi nasional.

Sejak keluar dari Soviet Union, terdapat perpecahan dalam kalangan rakyat Ukraine, khususnya antara mereka yang menggunakan bahasa Ukraine dengan penutur bahasa Rusia.

Ketika Ukraine dalam Soviet Union, bahasa rasmi adalah Rusia dengan bahasa Ukraine turut digunakan.

Ditambah pula Ukraine dan Rusia adalah serumpun dengan warisan budaya kedua-duanya berkisar pada mazhab Kristian Ortodoks yang lahir di Kyiv.

Tetapi kerajaan Ukraine mengamalkan polisi menekan bahasa Rusia yang akhirnya meminggirkan penutur bahasa itu di kawasan timur yang dikenali sebagai wilayah Donbas.

Akhirnya Crimea mengisytiharkan pemisahan daripada Ukraine dan menyertai Rusia.

Wilayah Lugansk dan Donetsk mengisytiharkan kemerdekaan dan berlaku perang pemisahan.

Kesemua ini melibatkan campur tangan Rusia yang membawa kepada peperangan sekarang.

Di Malaysia, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan tetapi bahasaa Mandarin dan Tamil bebas untuk dijadikan bahasa pengantar sekolah.

Namun terdapat beberapa isu perkauman yang perlu ditangani supaya semua kaum berasa kebersamaan dalam berkongsi negara.

Selain perpaduan kaum, integrasi nasional antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah wajar ditingkatkan.

Suara-suara kemerdekaan Sarawak adalah tanda-tanda tidak baik untuk keutuhan nasional.

Pelajaran kelima adalah mengenai kepimpinan negara dan kecekapan kerajaan.

Apabila berlaku saja peperangan di Ukraine, tentulah dengan mudah dunia menyalahkan Presiden Vladimir Putin kerana beliau yang mengarahkan serangan dan pelanggaran ke atas negara itu.

Tetapi di pihak Ukraine, tentulah boleh dipersalahkan pada Presiden Volodymyr Zelensky.

Maknanya kelemahan kepimpinannya yang membawa kepada negara itu dilanggar.

Serentak itu, ia juga menandakan kelemahan jentera kerajaan Ukraine.

Daripada para diplomatnya hingga kepada jeneral yang tidak cukup berkesan untuk membantu presiden mengelak perang.

Zelensky dipilih oleh majoriti rakyatnya.

Mungkin kerana mereka menolak calon-calon presiden lain yang dirasakan bergelumang dengan rasuah sementara Zelensky adalah seorang yang bersih.

Tetapi mungkinkah beliau dipilih kerana populariti sebagai pelakon dan pelawak?

Begitulah demokrasi.