- Iklan -
Kolum

Pusing papan di Batu Gajah

Baru aku sedar Pusing ini nama tempat.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Sarapan pagi di Kampar tidak istimewa seperti menikmati Lai Chee Kang.

Awal pagi kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke utara.

Di luar kawasan sekolah kami terserempak dengan budak Cina menjual mee goreng dan kuah apam di simpang jalan.

Mee goreng kami bungkus. Kemudian kami singgah untuk beli teh di kedai tolak pakcik India di tepi pekan Kampar.

Pagi ini kami merancang hendak ke Batu Gajah.

Kami hendak singgah dan melawat rumah kakak aku Khamsiah Rais yang tinggal dengan suaminya di Batu Gajah.

Suami kakak aku seorang pegawai tentera.

Di luar pekan Kampar sebuah jip lama berhenti. Pemandu abang Cina.

“Ipoh?” Abang Cina bertanya.

“Batu Gajah.” Aku menjawab sambil memanjat masuk ke bahagian belakang jip.

Lee Keong duduk di sebelah pemandu.

“Batu Gajah kena berhenti di simpang Gopeng. Gua drop lu orang sana.”

Abang Cina menerangkan arah jalan. Tentang arah jalan ini aku tidak arif.

Semua jalan yang aku lalui adalah jalan-jalan yang baru pertama kali aku teroka.

Apa yang aku diberitahu kami wajib sampai ke Batu Gajah dahulu sebelum ke Ipoh.

Simpang menyimpang ini aku tidak tahu.

“Ikut wa dulu. Masuk lombong. Nanti keluar Gopeng boleh henti.” Abang Cina menerangkan.

Lombong? Lombong apa? Aku hanya bertanya dalam kepala aku sendiri.

Rasa takut sampai kerana jip ini bergerak menyimpang masuk ke jalan kecil berpasir.

Jip melintas kawasan belukar. Kemudian kami lalui jalan tanah berpasir di tepi bekas lombong.

Mata aku terbuka luas. Ini kali pertama aku nampak kolam dan tasik bekas lombong yang besar dan amat luas.

Kemudian abang Cina berhenti di sebuah rumah kayu. Dua lelaki Cina muncul. Mereka bertiga berbincang. Aku hanya memerhati. Lee Keong mungkin faham.

Kemudian kami bergerak keluar kembali ke jalan besar.

Hati aku merasa lega bila nampak ada kereta lain lalu-lalang. Abang Cina memberhentikan jip. Pada hemat aku ini pastilah simpang Gopeng.

“Sana jalan ke Batu Gajah. Arah pusing.” Abang Cina memberi penerangan.

“Thank you.” Aku berbahasa Inggeris.

Terima kasih yang jujur kerana tadi hati kecil aku curiga dengan niat abang Cina ini.

Dalam masa yang sama aku tak faham kenapa perlu berpusing lagi.

Di tepi jalan kami menunggu kereta arah ke Batu Gajah.

“Tadi tu lombong apa? Dua orang tu sapa?” Aku bertanya pada Lee Keong.

“Kau takut ke tadi? Dia tu bos. Dua orang tu pekerja dia. Jaga enjin dalam rumah tu. Aku pun takut juga bila jip masuk jalan pasir. Bila dengar mereka bercakap. Baru hati senang.”

Lee Keong menjawab.

Baru aku sedar bahawa Lee Keong juga merasa curiga bila jip mengelencong masuk ke jalan pasir.

Hari makin panas. Agak lama menunggu. Aku merasa lapar. Air sejuk dalam balang aku hampir habis.

Sebuah kereta kecil berhenti.

“Woit. Sekaut. Nak camping di mana tengah-tengah panas ni? Nak ke mana? Pakcik Melayu bersuara.

“Batu Gajah.” Pantas aku menjawab.

Dalam kereta kami di soal siasat.

Pertama kali aku ditanya bagaimana aku kenal Lee Keong.

Lalu aku bersurah tentang sekolah kami di Kuala Klawang.

“Bagus lah budak Cina kawan budak Melayu. Kau orang cari apa di Batu Gajah?”

Dari saku baju aku keluarkan alamat rumah sewa kakak aku. Aku bacakan alamat.

“Alamat ni belum masuk pekan lagi. Rumah sapa di sini?” Pakcik bertanya.

“Kakak…dia sewa rumah kat situ.” Aku menjawab ringkas.

Kami diberhentikan di tepi jalan. Aku tidak tahu di mana kami berada.

Mata aku mencari orang untuk bertanya.

Dari jauh aku nampak pakcik berjalan ke arah kami.

Bersenjatakan alamat rumah aku berhadapan dengan pakcik.

“Tak jauh dari sini, sebelah kiri jalan ke depan nanti nampak rumah kampung. Rumah Melayu, rumah tiang tinggi. Pokok kelapa tepi rumah, kalau sesat kau tanya lagi di sana.”

Pakcik memberi penerangan yang agak jelas.

Kami menapak dalam keadaan letih dan panas.

Aku nampak rumah seperti yang digambarkan oleh pakcik tadi.

Aku terperanjat kerana rumah papan ini semacam sama bentuknya dengan rumah Wan Timah aku di Kampung Chenor.

Bertiang tinggi, beratap zink.

“Makcik, abang, pakcik, tuan rumah.”

Semua aku panggil. Aku melaung dua kali di tepi tangga.

“Ooo saya. Ada apa?” Pintu depan terbuka.

Muncul makcik di tepi pintu.

“Khamsiah Rais ada duduk di sini ke? Saya adik dia dari Jelebu. Dari kampung.”

Aku memberi penjelasan.

“Oooo dari Negeri Sembilan. Alaaaa dia tak duduk sini lagi. Dulu menyewa rumah di belakang, Dah pindah ke Ipoh.” Jawapan makcik yang mengecewakan hati aku.

Aku memandang Lee Keong untuk mencari jawapan apa yang wajib dilakukan.

“Ipoh di mana?” Lee Keong bersuara.

“Makcik ada alamat kakak saya di Ipoh?” Aku meminta.

“Alamat takde. Kem askar renjer di Tambun. Kau cari di sana.”

Aku mengangguk kepala bila mendengar jawapan makcik ini.

Sebenarnya hati aku gelabah.

Ipoh daripada apa yang aku difahamkan sebuah bandar besar.

Berganda lebih besar daripada bandar Seremban.

“Naik la dulu.” Makcik mempelawa kami.

Aku menoleh kepada Lee Keong. Belum sempat Lee Keong memberi jawapan aku bersuara.

“Tak pa laaa. Terima kasih. Kami gerak dulu ke Ipoh.”

“Di Ipoh nanti kau tanyalah polis mana kem renjer. Tambun arah ke Tanjung Rambutan. Kau nak ke Ipoh ni ikut jalan pusing.”

Sekali lagi aku dengar jalan pusing. Jalan berpusing ke mana aku tak tahu.

Kami kembali ke jalan besar.

Batu Gajah bukan pekan besar tapi ada perhentian kereta api. Kami tidak susah mencari jalan arah ke Ipoh.

Sebelum mencuba nasib di tepi jalan kami berhenti membeli roti inti kelapa di sebuah kedai runcit India.

Ini makan tengah hari kami bersulamkan air sejuk.

Sebuah kereta pakcik Cina berhenti.

“Ipoh… Ipoh.” Aku bersuara.

Kami masuk ke dalam kereta berwarna hitam.

Aku duduk di belakang.

Kemudian Lee Keong bercakap dalam bahasa Cina.

Pasti menerangkan siapa kami, budak Melayu dengan budak Cina hitch hiking ke Ipoh.

Mata aku terbuka bila aku nampak papan tanda: “Pusing”.

Baru aku sedar Pusing ini nama tempat.

Jalan Pusing ini bermakna jalan menghala ke Ipoh.

Kemudian aku nampak papan tanda Kampung Baru Papan.

Aku tersenyum kerana di Batu Gajah ada nama Kampung Papan, ada nama Kampung Pusing.

Aku bertanya dalam hati papan apa yang berpusing hingga kampung mendapat nama ini.

Senyuman aku belum tamat aku nampak papan tanda Mengelembu.

Aku usik bahu Lee Keong dan tunjukkan papan tanda di tepi jalan.

“Tengok… Mengelembu.”

Aku mentertawakan nama kampung ini. Aku ketawa.

Lee Keong tak nampak apa yang lucu.

“Sini… kacang baik oooi.”

Pakcik Cina memberi penerangan yang aku tak faham apa maksudnya.

Pakcik Cina berhentikan kami dalam bandar yang kami tak tahu hujung pangkal.

Dalam kepala aku hanya ada satu ingatan, mencari mata-mata untuk bertanya.

Kami menapak dalam pekan Ipoh.

Tak ada arah tujuan. Mencari-cari dengan harapan terserempak dengan abang mata-mata.

Selalu aku dengar: “Mata-mata ini susah kita nak ditemui bila kita perlukan dia. Tapi bila kita tak perlukan mata-mata akan muncul tanpa dicari. Bila nak mencuri ada saja mata-mata sampai.”

Baru aku faham makna ayat ini.

Apakah perlu aku mencuri agar mata-mata akan muncul.

Nasib aku baik. Aku tak perlu mencuri.

Dua mata-mata tercegat berdiri di hadapan kedai jam tangan.

“Bang. Boleh tolong, nak tahu jalan. Macam mana nak pegi ke kem askar renjer di Tambun?”

Aku bertanya.

“Kau orang pengakap dari mana?” Abang mata-mata bertanya.

“Bukan pengakap, kami hitch hiking dari Negeri Sembilan. Nak pegi kem askar di Tambun.”

Aku memberi penjelasan.

“Kena ambil bas merah arah ke Tanjung Rambutan.. Minta turun depan kem. Driber tahu, kau jalan ke depan belok kiri. Sampai Jalan Yang Kalsom, tunggu bas merah di situ. Dekat pokok kat sana.” Abang mata-mata beri arahan.

Kami mengikut arahan abang mata-mata. Kami jumpa Jalan Yang Kalsom. Kami jumpa pokok kayu di tepi perhentian bas. Bas Merah ialah bas Kinta.

Kami menunggu bas yang menghala ke Tanjung Rambutan.

Bila sampai kami masuk aku merasa selesa kerana penumpang tak ramai.

Ketika konduktor datang menjual tiket. Aku minta tolong agar kami diberhentikan di Kem Askar Renjer Tambun.

Bas bergerak meninggalkan bandar. Kemudian bas ke kawasan perumahan.

Wow. Mata aku terbuka. Belum pernah aku ternampak kawasan seperti ini.

Ini kawasan perumahan orang kaya-kaya.

Banglo dua tingkat di kelilingi taman bunga. Aku belum pernah melihat kawasan lumayan seperti ini. Satu demi satu rumah banglo kami lintasi.

Loceng bas berbunyi. Ada penumpang nak turun.

“Tiger Lane. Tiger Lane. Sapa nak turun Tiger Lane?” Suara dari konduktor.

Tiga orang murid sekolah turun, baju putih dan seluar putih turun.

Mata aku tak melepaskan nikmat memerhati rumah-rumah orang kaya ini.

Ada rumah banglo di pagari oleh pokok teh.

Rumah ada pokok durian. Tapi bukan macam durian belakang rumah aku. Ini durian hiasan.

Indah. Cantik dan lumayan.

Loceng bas berbunyi.

“Canning Garden. Sapa nak turun sini?”

Suara konduktor ketika memberi laluan kepada seorang Achi dan Minah Melayu.

Aku menyangka tak mungkin Achi dan minah ini tinggal di kawasan mewah ini.

Kalau rumah mereka besar mengapa mereka naik bas.

Aku terfikir mungkin mereka ini pembantu rumah, tukang masak atau babu.

Mereka bekerja untuk tuan empunya banglo.

“Kem renjer.” Suara konduktor.

Lee Keong dan aku bangun.

“Terima kasih bang.”

“Sekaut, nak jadi askar ke?” Abang konduktor membuat lawak.

Di tangga bas kami semua ketawa.

Hari makin petang. Kami menapak ke pintu kem. Ada pengawal bersenjata.

“Nak jumpa Yusof Hassan. pegawai renjer.” Aku bercakap dengan penuh sopan kepada pengawal.

“Numbo pegawai tahu? Alamat tau?” Pengawal minta maklumat.

“Tak tahu. Warrant Officer Yusof Hassan.” Aku mengulangi.

Pengawal keluar dari bilik kawalan dan membawa kami masuk ke satu bangunan lagi.

Pengawal meninggalkan kami berhadapan dengan seorang lagi pegawai muda yang berpakaian lengkap.

Aku memberitahu pegawai muda ini niat aku masuk ke kem.

“Oooo kamu adik dia ke?”

“Tidak. Kakak saya kahwin dengan dia.”

“Duduk dulu…rehat dulu… minum teh petang dulu.”

Pegawai muda ini cukup ramah.

Aku dan Lee Keong hanya tersenyum gembira kerana tempat yang nak kami tuju sudah ditemui.

Pegawai Muda membuka buku mencari sesuatu. Kemudian dia membawa kami ke satu lagi bangunan.

“Ini kelab pegawai…siang kosong nanti malam ramai…alamat Warrant Officer Yusoff dah jumpa. Kita minum teh dulu, lepas minum kita bergerak. Naik jip. Pernah naik jip?” Pegawai muda bertanya.

“Ada. Pernah.” Aku menjawab.

Aku teringat dengan abang pegawai di Kem Kuala Kubu Bharu dan jip di jalan lombong.

Selesai minum teh kami naik jip dan terus dihantar ke rumah kakak aku.

Anak buah aku, Norita dan Hazlan masih kanak-kanak.

Mereka akan gembira bila kami sampai.

Abang ipar aku tidak ada di rumah, bertugas.

Aku juga gembira kerana sampai ke tempat yang dituju.

Sesudah makan malam kami menapak berjalan ke luar untuk melihat malam.

Lalu kami sampai kembali ke bangunan di tepi pintu masuk.

Aku nak menjenguk di tepi pintu pejabat pegawai muda.

Aku menyimpan niat hendak berkenal mesra.

“Ha. Pengakap dua orang sudah sampai.” Matanya memandang kaki kami berdua.

“Isham dan Lee… maaf malam ni kamu tak boleh masuk.” Ayat yang memeranjatkan aku.

“Siang tadi ok… kamu berdua pakai kasut. Sekarang kamu berdua pakai selipar. Undang-undang kelab askar tidak dibenarkan sesiapa masuk kalau memakai selipar.”

Aku mendengar dengan jelas. Ini satu perkara baru yang wajib aku ketahui.

“Tak pa bang… nak cakap terima kasih sekali lagi.” Kami bersalaman.

Aku merasa agak kecewa.

Dalam dewan makan askar kami sudah makan.

Dalam kem askar kami sudah tidur.

Kini aku terlepas peluang hendak mengalami apa yang ada dalam kelab askar ini.

Kami menapak pulang. Pulau Pinang semakin dekat.