- Iklan -
Rencana

Apa kesudahan siasatan penyelewengan RM800 juta Projek Jiwa Murni di Sarawak?

Sikap berdiam diri SPRM berhubung siasatan projek itu dikhuatiri akan menyebabkan syak wasangka dan pandangan serong masyarakat terhadapnya semakin menebal.

Saladin Hasan Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Hasil siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM800 juta dalam projek pembinaan jalan raya di Sarawak perlu diumumkan SPRM bagi membolehkan individu yang terkait membersihkan nama mereka. Gambar: Pexels
Hasil siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM800 juta dalam projek pembinaan jalan raya di Sarawak perlu diumumkan SPRM bagi membolehkan individu yang terkait membersihkan nama mereka. Gambar: Pexels

Sejak tersungkurnya kerajaan Umno, Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018, terdapat senarai panjang kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan “jerung” yang telah disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan.

Selepas beberapa tahun, ada orang kena tuduh (OKT) sudah dibebaskan, antaranya Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan; bekas bendahari Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula dalam proses membela diri atas 47 pertuduhan menyalahgunakan dana yayasan yang bertujuan membantu orang miskin dan ibu tunggal.

Begitu juga bekas perdana menteri, Najib Razak yang sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selain masih bergelut dengan beberapa pertuduhan lain.

Walau apa pun pengakhirannya (sama ada menepati kehendak kita atau tidak), ia menunjukkan satu kitaran proses pengadilan yang lengkap mencakupi fasa siasatan, pendakwaan, pembelaan dan jatuh hukum.

Pun begitu, ada juga kes yang tidak diketahui kesudahannya, seolah-olah dibiarkan gantung tak bertali sehingga mengundang tanda tanya masyarakat, apakah yang telah berlaku.

Secara khusus, ia berkenaan dakwaan penyelewengan RM800 juta dalam projek pembinaan jalan raya di pedalaman Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga di Sarawak yang dilaksanakan di bawah Projek Jiwa Murni kelolaan kementerian pertahanan.

Kes ini bermula dengan Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang mendapati kualiti kerja pengurusan Projek Jiwa Murni kurang memuaskan dan ada jalan yang tidak dibina bahu jalan serta longkang mengikut standard jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) disebabkan peruntukan tidak mencukupi.

Apabila Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan pusat, mesyuarat jemaah menteri pada 30 Mei 2018 meluluskan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan Ambrin Buang.

Kementerian pertama disiasat jawatankuasa itu ialah kementerian pertahanan dan ia dibuat atas pemintaan menterinya pada masa itu, Mohamad Sabu.

Pada 30 Januari 2019, Mohamad menegaskan kementeriannya tidak pernah menutup siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam Projek Jiwa Murni di Sarawak.

Beliau membuat penegasan itu bagi menjawab desakan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penyelewengan projek menaik taraf jalan di pedalaman Sarawak kerana dikatakan tidak menepati piawaian selain gagal disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan dipercayai akibat faktor rasuah.

Jalan-jalan itu hanya diletakkan lapisan tar yang dianggarkan setebal dua inci di atas permukaan tanah tanpa lapisan batu kerikil dan pasir seperti syarat kontrak.

Ini menyebabkan jalan yang dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori-lori balak mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pedalaman.

Rentetan itu, SPRM pada 8 September 2020 memulakan tindakan dengan menahan dua pengarah sebuah syarikat berusia 42 tahun dan 44 tahun bagi membantu siasatan dakwaan melakukan tuntutan palsu berjumlah RM800 juta.

Namun mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 seorang dengan seorang penjamin.

Pada 19 September 2020 pula, dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Turut ditahan ialah pengarah sebuah syarikat pembekal.

Menurut laporan media, mereka merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan pembinaan jalan.

Selepas gegak gempita berita penahanan individu terbabit oleh SPRM dua tahun lalu, perkembangan kes itu bagaimanapun bagaikan tergantung tak bertali.

Sehingga hari ini, tiada berita terbaru dari SPRM sama ada siasatan masih berjalan atau suruhanjaya itu mendapati tiada kes untuk pendakwaan atau ia dalam proses untuk dihadapkan ke mahkamah.

Adalah tidak wajar SPRM mendiamkan kes ini selepas ia dilaporkan secara besar-besaran oleh pelbagai media kerana ia mengundang implikasi negatif ke atas individu yang pernah ditahan untuk siasatan dan suruhanjaya itu sendiri.

Jika tiada kes, SPRM bertanggungjawab mengumumkannya bagi memberi keadilan kepada individu yang pernah ditahan sekaligus membolehkan mereka membersihkan nama.

Sikap berdiam diri SPRM dikhuatiri menyebabkan syak wasangka dan pandangan serong masyarakat terhadapnya semakin menebal selepas beberapa isu yang melingkari suruhanjaya itu menjadi topik perdebatan awam beberapa bulan lalu.

Adalah amat tidak berbaloi untuk SPRM mempertaruhkan nama baiknya hanya kerana tidak memaklumkan status terkini siasatan dakwaan penyelewengan RM800 juta dalam Projek Jiwa Murni itu.

Apa yang perlu dibuat SPRM hanyalah memaklumkan perkembangan siasatan.

Bukannya berterusan mengunci mulut dengan harapan masyarakat melupakannya.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.